Dituduh sesat: PAS ambil tindakan undang-undang terhadap Ku Nan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Dituduh sesat: PAS ambil tindakan undang-undang terhadap Ku Nan


BeritaPAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menuduh parti itu menyebarkan ajaran sesat, kata Datuk Mahfuz Omar.

Ketua penerangan PAS itu berkata, beliau akan merujuk kepada Lajnah Undang-undang parti Islam itu sebelum melakukan tindakan susulan.


"Kita mengecam kenyataan Tengku Adnan yang menuduh PAS sebagai sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam," kata Mahfuz seperti dilaporkan Harakahdaily.


"Kita akan mendapatkan nasihat daripada Lajnah Undang-Undang bagi mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada setiausaha agung Umno itu,” katanya.

Semalam Tengku Adnan mendakwa PAS parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam.

Sebaliknya, Umno ialah parti Melayu yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara, kata setiausaha agung Umno itu.

"Tidak ada parti seperti Umno, saya hendak beritahu. Kalau kata PAS itu Islam, pada saya, PAS itu parti mengajar ajaran sesat. Parti yang akan memesongkan akidah.

"Berapa surau, masjid yang PAS bangunkan? Yang mereka tahu, pecahbelahkan kita. Memesongkan akidah kita.

"Dia yang mulakan sembahyang dua imam, mengatakan sembelihan orang Umno tidak boleh makan, (mengatakan) imam yang digaji Umno tidak sah menikahkan anak kita," katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penutup Multaqa Kebangsaan, Biro Agama Umno di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga mesra dengan panggilan Ku Nan berkata, taman asuhan kanak-kanak yang dibangunkan PAS bertujuan merosakkan minda kanak-kanak di peringkat awal.
 

Katanya, doktrin seperti itu menjadi cabaran kepada Umno bagi menghalang usaha penyebaran fahaman PAS dilakukan dari usia muda.

"Kita jangan lupa, Umno sedang menghadapi cabaran puak PAS yang mendidik anak-anak mereka sejak kecil, dan sekarang sudah besar, mengatakan Umno ini taghut, kafir.


"Mereka tanamkan semangat ini sejak kecil. Bagaimana kita hendak kekang? Ini cabaran," katanya. – 3 November, 2014
0 Komentar untuk "Dituduh sesat: PAS ambil tindakan undang-undang terhadap Ku Nan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI