SHAH ALAM: Kekalahan Umno-Barisan Nasional (BN) di Selangor selama dua penggal berturut-turut sehingga menyaksikan pengurangan drastik bilangan kerusi DUN adalah berpunca daripada amalan politik kroni pemimpin parti itu.
Penganalisis politik, Datuk Seri Azman Ujang berkata, selain amalan politik yang tidak bersih itu, sikap sesetengah pemimpin yang angkuh juga menjadi faktor penyumbang mengapa rakyat Selangor menolak Umno-BN dan memilih Pakatan Rakyat (PR) sejak enam tahun lalu.
Hakikat bahawa Umno hilang kuasa di Selangor, negeri terkaya dan terpenting di Malaysia, harus dipersalahkan pemimpin atau ketua kerajaan Umno sendiri yang memerintah beberapa penggal lalu.
"Amalan politik kroni, pemimpin angkuh.. ada amalan jatuh menjatuh, cantas mencantas," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak terhadap Umno Selangor, dalam Konvensyen Umno Selangor semalam.
Dalam konvensyen yang dihadiri lebih 1,500 pemimpin parti berkenaan, Najib meluahkan rasa malu dan kecewanya kerana Umno masih bergelar pembangkang selepas dua Pilihan Raya Umum (PRU) dan perlu segera mengubah senario itu dalam PRU akan datang.
"Kita masih lembap lagi. Saya tengok angka, saya ingin katakan kita masih lembap lagi. Kenapa tak tambah pengundi... tambah ahli Umno? soalnya.
"Prestasi kita tak berapa menggalakkan lagi. Bangkitlah kita daripada keadaan ini. Dengan semangat baharu saya akan bantu Umno Selangor untuk mencapai kejayaan," katanya semalam.
Mengulas lanjut, Azman yang juga bekas Ketua Pengarang Bernama menyifatkan situasi yang dihadapi Umno Selangor sama seperti Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang tenat dan memerlukan penjenamaan semula untuk mengukuhkan kembali kedudukan seperti sebelum ini.
"Bagi pihak MAS, Khazanah Nasional telah mengumumkan 12 pelan pemulihan, (tapi) Umno perlu lebih daripada 12 pelan," katanya lagi.
Umno-BN kehilangan Selangor selepas tumbang kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), apabila hanya mampu memperoleh 20 bilangan kerusi DUN berbanding 54 kerusi DUN pada PRU11.
Parti itu mencatatkan kemerosotan yang teruk pada PRU13 tahun lalu, apabila hanya memperoleh 12 bilangan kerusi DUN
0 Komentar untuk "Umno Selangor lemah sebab pemimpin angkuh - Penganalisis"