Menjelang hari kelima rayuan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya lengang setakat jam 8.30 pagi ini.
Beberapa penyokong Anwar dilihat berbual dalam kumpulan kecil, menunggu di perhentian bas dan beberapa orang lagi sedang bersarapan di seberang Istana Kehakiman.
Polis juga kelihatan tenang bersantai di perkarangan mahkamah dan berbual sesama sendiri selepas menikmati sarapan awal pagi tadi.
Kelibat penyokong pihak pengadu, Saiful Bukhari Azlan masih belum kelihatan pada pagi ini walaupun dikatakan jumlah mereka yang hadir mencecah 50 orang pada Jumaat.
Penyokong Anwar yang hadir setakat ini tidak lebih 20 orang dan ada yang mengambil peluang menghabiskan masa dengan berbual bersama wartawan.
Pasukan pendakwaan akan meneruskan hujah pada hari ini selepas ditangguhkan pada Jumaat.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui selepas selesai perbicaraan minggu lalu berkata, hujah pendakwaan sudah 20% selesai dan ia akan diteruskan pada hari ini.
Katanya, teori konspirasi yang diketengahkan pihak pembelaan tidak masuk akal selain Umno, media, doktor perubatan kerajaan, dua ahli kimia dan hakim diheret ke dalam dakwaan konspirasi Anwar apabila kenyataan kepada mahkamah diberikan.
Bagaimanapun, Anwar pada Jumat berkata pihak pendakwaan dalam rayuan liwatnya sengaja mensensasikan hujah di Mahkamah Persekutuan untuk media pro kerajaan.
Katanya, Shafee mengaitkan hal sensasi dalam hujahnya supaya akhbar pro-kerajaan dapat memainkan isu berkenaan.
"Timbalan Pendakwa Raya memetik perkara sensasi dalam hujahnya untuk Utusan dan TV3," katanya. – 3 November, 2014.
0 Komentar untuk "Hari kelima rayuan kes Liwat II Anwar, perkarangan Istana Kehakiman lengang"