Zizan ajak generasi muda beri sokongan padu kepada filem Tanda Putera
Menganggap dirinya bertuah, Zizan dua kali didatangi bayangan llahyarham dalam mimpinya ketika menjalani penggambaran filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba atau Shumi itu.
Pertama, saya lihat Allahyarham melintas di depan dan kali kedua, saya bermimpi melakukan babak berdepan dengan media asing. Beliau berada di belakang saya." Zizan, pelakon watak Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam Tanda Putera.
“Ketika penggambaran, saya sering mendoakan kesejahteraan Allahyarham di alam barzakh. Tidak lupa juga dititipkan bacaan surah Al-Fatihah apabila teringatkannya. Bagi saya, ia adalah perkara biasa yang dilakukan, apatah lagi membawakan watak seorang insan hebat dan istimewa yang sudah meninggal dunia.
“Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan, dua kali saya didatangi bayangan beliau. Pertama, saya lihat Allahyarham melintas di depan dan kali kedua, saya bermimpi melakukan babak berdepan dengan media asing. Beliau berada di belakang saya.
Terjemah mimpi
“Apabila saya terpandang, beliau angkat muka. Itulah saat manis buat saya apabila dapat bertentang mata dan melihat beliau dengan jarak dekat. Mungkin sekadar mimpi, tapi ia cukup bermakna buat saya. Cara beliau angkat muka dan memandang, saya terjemahkan dalam filem Tanda Putera,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem Tanda Putera, sebelum terbang berbulan madu ke Eropah bersama isterinya selama tiga minggu.
Tanda Putera yang diklasifikasi sebagai 13PG diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Multimedia Development Corporation (MDeC). Ia diedar dan dibantu promosi Alternate Pictures Sdn Bhd.
Selain Zizan, filem yang menelan belanja lebih RM4.5 juta itu juga dibintangi Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Faezah (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norashikin Mohd Seth), Kamarulzaman Taib (Tunku Abdul Rahman), Sahee Shamsuddin (Najib Tun Razak), Razif Hashim (Johari Tun Razak), Azma Aizal Yusoof (Tawfik Tun Ismail), Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson), Norman Hakim (IGP Hanif Omar) dan ramai lagi.
Filem yang kini mencetuskan konflik baru apabila kerajaan DAP Pulau Pinang menyekat penayangannya di Pulau Mutiara itu menemui penonton di pawagam sejak Khamis lalu. Alasannya, kononnya filem itu ada unsur fitnah terhadap DAP dan boleh menyebabkan perbalahan kaum.
Cepat serasi
Zizan berkata, dia dan Rusdi cepat serasi biarpun pertama kali bergandingan bersama.
“Saya lihat lakonan Rusdi sebagai Tun Abdul Razak sangat mengagumkan. Jujurnya, saya kagum dengan Rusdi sejak di bangku sekolah lagi. Saya bukan hanya kagum dengan kehebatan lakonannya, saya juga kagum dengan keperibadiannya. Orangnya sederhana dan merendah diri.
“Bayangkan pada permulaan latihan, saya dan Rusdi menyertai kelas kenal sejarah bersama Shumi selama tiga minggu. Memang terpinga-pinga jugalah. Itu belum lagi latihan membabitkan babak-babak penting. Saya dan Rusdi saling bergantungan dalam filem ini kerana banyak babak bersama,” katanya.
Filem berani
Akuinya, filem Tanda Putera filem berani. Mungkin kita perlu lebih berani untuk mengambil risiko dan mencuba sesuatu pembaharuan.
“Bagi saya, Shumi seorang yang berani. Ini kerana beliau berjaya mencari titik temu antara nilai artistik, hiburan dan fakta sejarah untuk diketengahkan. Tiada sebab mengapa filem bercorak kenegaraan tidak menghiburkan dan pada masa sama, berbicara mengenai kejadian silam yang dipanggil sejarah.
“Saya percaya dengan perancangan rapi dan segala adunan yang betul, filem berunsur sejarah dan kenegaraan akan mendapat perhatian, terutama apabila penonton mula muak dengan hidangan filem dalam genre hari ini.
“Kepada generasi muda, jangan jadikan filem sebagai ruang untuk berhibur saja, filem juga berperanan mendidik dan menyampaikan sejarah dengan cara berkesan.
Sejarah perlu dikongsi, jika kita tidak menyampaikan dengan cara hormat dan tanggungjawab, jangan salahkan pihak di negara luar yang sentiasa mencari peluang untuk memporak perandakan negara kita, dengan niat tersendiri,” katanya.
0 Komentar untuk "Jumpa Tun Dr Ismail dalam mimpi"