Tindakan kibar bendera 'Sang Saka Malaya' cabar kedaulatan negara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tindakan kibar bendera 'Sang Saka Malaya' cabar kedaulatan negara

KUALA LUMPUR: Tindakan kumpulan tertentu mengibarkan bendera digelar 'Sang Saka Malaya' dan bukannya Jalur Gemilang pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di ibu negara, Jumaat lalu, disifatkan sebagai mencabar kedaulatan negara, kata pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berkata ini membabitkan soal kemerdekaan, perjuangan yang dibuat orang terdahulu untuk memastikan negara tercinta bebas daripada penjajahan.
"Ini soal negara, bukan soal politik, bagi saya, kumpulan tertentu itu telah mencabar kedaulatan negara.

"Walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, tetapi kita bercakap mengenai negara, tidak membabitkan politik," katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan tertentu yang mengibarkan bendera itu pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, di Dataran Merdeka, Jumaat lalu.

Tindakan kumpulan itu mencetuskan kemarahan seorang lelaki yang merampas bendera berkenaan lalu menggumpalnya sambil memberitahu itu bukan bendera Malaysia dan insiden itu mula dimuat turun di laman sosial.

Ramlah turut mempersoalkan matlamat kumpulan itu yang mengibarkan bendera digelar 'Sang Saka Malaya' itu.
"Mana kiblat mereka? Adakah mereka belot kepada negara? Mereka mendaulatkan sesuatu yang tidak pernah diterima pada satu masa dulu," katanya.

'Sang Saka Malaya' itu, adalah bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga baris empat jalur dilaporkan bendera milik sebuah persatuan di negara ini pada era 1940-an.

Mengulas mengenai pembabitan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Ramlah berkata, tokoh itu sepatutnya sensitif dengan perjuangan orang terdahulu daripada beliau (A. Samad), yang berusaha memperoleh kemerdekaan untuk negara.

Ramlah yang berasa sedih dengan pembabitan tokoh itu berkata, sebagai seorang yang matang dan tokoh yang dihormati, beliau perlu menghormati negara yang telah berjasa kepada beliau.

"Kerajaan mengiktiraf beliau dan kerajaan itu adalah kerajaan yang memimpin negara sekarang," katanya.

Menurut klip video itu, A. Samad dikatakan sedang mendeklamasikan sebuah sajak dengan bendera 'Sang Saka Malaya' berada berhampiran dengannya ketika seorang lelaki merampas beberapa bendera itu.

Sehubungan itu, Ramlah mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terutama yang membabitkan soal perlanggaran kenegaraan yang menyebabkan insiden seperti itu berleluasa.

Dalam pada itu, Ramlah mengucapkan tahniah kepada lelaki berkenaan yang berani merampas bendera itu.

Beberapa penganalisis politik pula berpendapat pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan api kemarahan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini termasuk mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata usaha menukar bendera negara bermula sejak tahun lalu lagi dan seperti tiada kesudahannya, insiden sama berulang semula pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Jumaat lalu.

"Pihak berkuasa perlu lebih tegas dan berani untuk mengambil tindakan serta menghukum pihak yang tidak bertanggungjawab itu kerana jika tidak ia seperti kita mengiktiraf bendera Sang Saka Malaya itu," katanya.

Beliau berkata, mereka yang memahami sejarah negara serta peri pentingnya kedaulatan itu dipertahankan, tidak akan melakukan tindakan sedemikian kerana bendera adalah nilai dan simbol negara.

Mengenai tindakan berani lelaki dalam klip video itu, Sivamurugan berkata: "Tindakan lelaki dalam klip video itu patut dijadikan contoh dan iktibar oleh semua pihak kerana beliau berani bertindak walaupun seorang diri".

Nada sama turut dilontar Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Pengajian Media Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Ismail Sualman yang berkata, tindakan berani pihak tertentu cuba mengibarkan bendera lain selain Jalur Gemilang jelas menunjukkan kurangnya penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

"Apabila bendera itu dipaparkan pada malam itu.... pihak berkuasa macam tak ambil tindakan, tiada yang ambil perhatian sehingga ada pihak ambil kesempatan," katanya.

Beliau menegaskan usaha menukar Jalur Gemilang adalah tindakan tidak berakal kerana tiada mana-mana negara di dunia ini yang menukar bendera masin-masing kerana ia simbol kedaulatan sesebuah negara.

"Pemimpin boleh bertukar dari semasa ke semasa... tapi bukan bendera. Tak ada lagi negara di dunia ini tukar simbol kedaulatan mereka," katanya.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay, berkata tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang tidak putus-putus mempersendakan Jalur Gemilang bagi memberi pengajaran kepada yang lain.

"Mengibarkan bendera yang bukan Jalur Gemilang tidak sepatutnya berlaku... mereka perlu menyanjung bendera kedaulatan kita bukan dengan mengambil kesempatan ketika Merdeka dengan mengibarkan bendera lain.

"Kerajaan tidak seharusnya duduk diam lagi... satu tindakan tegas perlu diambil kepada sesiapa saja yang tidak menghormati bendera kita... jangan biar ia merebak," katanya.

Beliau turut memuji keberanian pemuda yang merampas bendera yang digelar 'Sang Saka Malaya' itu daripada tangan individu-individu dan lantang mempertahankan Jalur Gemilang.

Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, tindakan berani pemuda itu membuktikan ada rakyat Malaysia yang berani mempertahankan bendera negara walaupun sedar berhadapan dengan sebilangan kumpulan tidak bertanggungjawab di kawasan itu.

Katanya, tindakan itu adalah mesej kepada pihak tertentu supaya tidak sewenang-wenangnnya mempermainkan bendera kebanggaan rakyat dan negara.

Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan dan menangkap individu yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" itu serta melucutkan taraf kewarganegaraan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta kerajaan mempertimbangkan supaya menarik kembali gelaran tokoh Sasterawan Negara yang diberikan kepada A. Samad.

Katanya tindakan A. Samad itu boleh mencemarkan bidang kesusasteraan negara termasuk hasil karyanya sendiri yang turut berunsurkan patriotisme.

"Kerajaan yang bagi tokoh Sasterawan Negara ini tetapi beliau (A.Samad Said) tidak sudah-sudah mempertikaikan apa yang dibuat oleh kerajaan. Sepatutnya beliau kena menjadi model yang perlu diikuti, ini tidak," katanya.

Tindakan mengibarkan 'Sang Saka Malaya' pernah berlaku semasa ambang Merdeka di ibu negara tahun lalu.

Ekoran itu, lebih 400 laporan polis dibuat berhubung insiden tahun lepas itu dan beberapa orang disiasat mengikut Akta Hasutan tetapi tiada seorang pun didakwa setakat ini. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tindakankibarbendera_SangSakaMalaya_cabarkedaulatannegara/Article/?bh
0 Komentar untuk "Tindakan kibar bendera 'Sang Saka Malaya' cabar kedaulatan negara"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI