UCAP sahaja nama Neelofa, pasti akan terbayangkan gadis bertubuh genit dari Pasir Mas, Kelantan yang begitu petah berbicara.

Sejak berkecimpung dalam industri seni pada tahun 2010, setelah memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011, nama Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor terus menjadi sebutan ramai.

Ramai juga penerbit yang berebut-rebut ingin membawa gadis berusia 24 tahun ini ke arena perfileman.

Namun, entah di mana silapnya, dua buah filem Neelofa, di mana dia sendiri bertindak sebagai teraju utama tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Malah tatkala ditanya persoalan itu, Neelofa atau mesra disapa Lofa enggan memberi sebarang komen kerana bimbang menyentuh perasaan mana-mana pihak.

Namun pengacara Nona ini bersikap positif dan menjelaskan: "Kenyataan ini Lofa buat secara umum dan bukan untuk filem yang Lofa bintangi. Pada pendapat Lofa sebagai seorang pelakon apatah lagi pendatang baru seperti Lofa, tidak semestinya untuk satu atau dua filem kita terus dapat sambutan yang memberangsangkan.

"Lofa tidak patah semangat apabila dua filem yang Lofa bintangi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Ada juga dua lagi filem yang Lofa bintangi mendapat sambutan. Lagipun Lofa sedar masih baru dan kerana itu Lofa berhasrat mengikuti kelas lakonan di New York untuk memperbaiki lagi skil lakonan Lofa."

Lofa berkata, biarpun kurang menyerlah dalam industri perfileman, ia tidak bermakna dia tidak menjadi pilihan penerbit dan pengarah masa kini.

Ujarnya, bila terjadinya dugaan sebegini ia menyebabkan Lofa lebih bersemangat untuk belajar dan tidak cepat patah semangat.

"Biarpun ada yang mengkritik, namun hari demi hari semangat Lofa untuk mendalami ilmu perfileman tidak pernah surut. Malah semasa terlibat dengan penggambaran filem Pilot Cafe, Lofa mendapat ilmu yang cukup bermanfaat dari kak Elly Suriati.

"Dia mengajar Lofa bagaimana untuk menyerahkan seluruh jiwa dan raga kepada sesuatu watak dan Lofa telah berikan yang terbaik untuk watak Sharmila dalam filem itu," katanya.


Impi program sendiri

Dalam melalui dugaan di arena perfileman, Lofa dikira cukup bertuah dalam bidang pengacaraan.

Apa tidaknya, baru sahaja setahun jagung dalam bidang pengacaraan, kepetahan Lofa telah diperakui apabila diberi kepercayaan mengemudi sebuah program bual bicara wanita bersama Fara Fauzana dalam Nona.

Lofa juga turut diberi kepercayaan menjayakan rancangan siaran langsung seperti MeleTOP dan Anugerah Lawak Warna, baru-baru ini di samping AC Mizal.

Ditanya tidakkah dia mengimpikan sebuah program sendiri, dengan nada rendah diri, Lofa mengakui program bual bicara sendiri sememangnya menjadi impiannya, namun dia berhasrat untuk mengutip ilmu terlebih dahulu.

"Lofa masih baru, masih setahun jagung lagi dalam bidang pengacaraan. Bohong kalau Lofa katakan tak teringin untuk mengacarakan program sendiri.

"Tapi biarlah setelah mendapat ilmu secukupnya terlebih dahulu. Banyak lagi yang perlu Lofa pelajari," katanya yang masih belum berhasrat berundur daripada program Nona.



Karier vs cinta

Tidak hanya menyerlah dalam profil kariernya, nama Lofa tidak terlepas dikaitkan dengan kisah cinta bersama selebriti tempatan.

Apatah lagi kini, nama Lofa dan Hans Isaac bagai satu daya tarikan magnet, yang sukar untuk dipisahkan.

Tidak melatah, Lofa berkata dia bersyukur kerana akhir-akhir ini perhatian peminat sudah mula beralih daripada membicarakan kisahnya dan Hans.

"Bagi Lofa kisah cinta selebriti ibarat satu keperluan dan ada antara selebriti lain yang turut dikaitkan dengan artis itu dan artis ini.

"Jika bandingkan dengan dulu, sekarang orang dah kurang bercakap mengenai kami. Lagipun kami berdua tidak terlalu menonjolkan diri bersama atau menunjuk gambar bersama  atau ke mana-mana bersama-sama.

"Jadi lama kelamaan tidak ada isu yang perlu dimainkan lagi dan semua akhirnya akan diam juga," katanya yang kini bercuti ke kota Londan sehingga esok.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap hubungannya dengan Hans, Lofa berkata: "Keluarga ada juga bertanya, tapi bila Lofa jelaskan mereka faham dengan ragam industri ini.

"Tapi bagi Lofa sekarang fokus Lofa adalah pada kerjaya dan suatu hari nanti jika Lofa bersedia, barulah Lofa akan ke langkah seterusnya."