SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad layak menjadi pendamai konflik di Mesir kerana kredibiliti dan beliau dihormati di seluruh dunia dalam pelbagai perkara, kata Pengarah Institut Pemikiran Dr Tun Mahathir, Prof Dr Abdul Rahman Abdul Aziz.

Abdul Rahman berkata, Dr Mahathir layak menjadi orang tengah melalui kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mendamaikan dua pihak iaitu jeneral yang diangkat, Dr Mohammed Mursi dan rejim tentera Al Sisi.

Menurutnya, Dr Mahathir berkemampuan untuk melaksanakan perkara tersebut kerana orang melihat kepada kejayaan yang dicapai olehnya sama ada dalam dan luar negara.

“Rakyat seluruh dunia menghormati beliau kerana kejayaannya menjadikan Malaysia kekal sebuah negara Islam walaupun pelbagai agama dan kaum berada di negara ini. Negara Malaysia adalah sebuah negara Islam kecil dan mampu menyelesaikan konflik yang berlaku.

“Orang luar juga melihat kejayaan Dr Mahathir menjadikan Malaysia maju sepanjang 22 tahun pemerintahannya dengan memelihara kebajikan ekonomi setiap kaum. Beliau melakukan anjakan hidup Melayu dan Islam sehingga ramai yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Dr Mahathir dilihat boleh menjadi pendamai antara Mursi dan Al Sisi.

Sebelum ini, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, Dr Mahathir dilihat sebagai seorang negarawan yang dihormati perlu mainkan peranan sebagai seorang pengantara yang ikhlas dan dikenali di seluruh dunia atas usahanya untuk pendamaian selama ini.

Abdul Rahman berkata, Dr Mahathir menyokong Mursi dan proses demokrasi yang dilaksanakan di Mesir.

“Saya yakin beliau boleh melakukannya. Kepimpinan akan dihormati apabila mampu memberikan kebajikan ekonomi kerana ia akan memberikan kesan kepada kestabilan politik dan sosial sesebuah negara,” katanya.