ALOR SETAR - Indeks jenayah di Kedah mencatat penurunan sebanyak 12 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Ibrahim.

Beliau berkata dalam tempoh itu, 5,214 kes dilapor berbanding 5,933 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Dari jumlah ini 2,199 kes berjaya diselesaikan dan bagi tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak 2,777 kes diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis serah-terima tugas Timbalan Ketua Polis Kedah yang baru di Ibupejabat Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Ahmad berkata berdasarkan kajian, jenayah kekerasan mencatat 1,117 kes manakala bagi tempoh yang sama tahun lepas, 1,153 kes dicatat iaitu menurun sebanayak 3.12 peratus.

"Penurunan indeks jenayah ini adalah kerana polis berjaya menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan serta dapat membendung kegiatan jenayah lain yang berkaitan dengan kecurian kenderaan," katanya.

Beliau berkata satu pasukan khas di bawah kendaliannya ditubuhkan bagi menangani aktiviti perjudian dan maksiat yang akan melancarkan operasi tanpa mengira kawasan dan waktu.

Di majlis itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab menyerah jawatannya kepada Datuk Zaleha Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini. 

Abdul Ghafar yang menjadi Timbalan Ketua Polis Kedah pada 2010 ditukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Bernama