'Tak adil salahkan FINAS' - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

'Tak adil salahkan FINAS'


Isu banyak filem tempatan tidak dapat sambutan perlu diselesaikan secara bersama karyawan filem

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak wajar dipersalahkan jika banyak filem tempatan terutama filem Melayu kini tidak mendapat sambutan baik di pawagam kerana bukan ruang lingkup tugas agensi itu untuk menentukan semua filem harus mendapat untung kerana ia membabitkan peranan semua pihak terbabit.
Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah, berkata adalah tidak adil untuk menuduh FINAS tidak buat kerja atau tidak melakukan apa-apa bantuan untuk filem tempatan hanya disebabkan ada pihak beremosi kerana kebanyakan filem sejak akhir-akhir ini gagal mendapat sambutan baik di pawagam seperti mana pada musim 2010 dan 2011.

“Dulu pun ada juga filem yang tidak dapat sambutan tetapi kita tidak berasa sangat sebab jumlahnya tidak banyak macam sekarang.

Sekarang jumlah filem cereka tempatan terutama filem Melayu semakin banyak, malah sekarang sudah melebihi 70 filem setahun. Jadi, apabila terlalu banyak filem di pasaran, ia berlaku lambakan dan ini membuatkan penonton terpaksa membuat pemilihan bijak kerana mungkin membabitkan kos, masa dan waktu tayangan.

Berani berdaya saing 

“Kita perlu berani berdaya saing dalam industri filem. Kita pernah letak sasaran untuk mencapai 100 filem setahun, jika sekarang sudah menjadi masalah tiada sambutan, ia perlu dilihat semula untuk karyawan filem itu sendiri menghasilkan filem yang lebih mampu menarik perhatian ramai untuk mengunjungi pawagam.
“Lagipun, industri filem kita ini unik sikit sebab kita terbahagi kepada kelompok filem Melayu untuk orang Melayu, filem Cina untuk orang Cina dan filem India untuk orang India. Tetapi kalau filem dari luar negara, semua kaum boleh pula menontonnya. Tetapi, ada kalanya filem dari Hollywood juga tidak dapat sambutan di negara ini.

“FINAS sudah bantu dalam banyak aspek untuk filem tempatan, termasuklah dana, insentif dan skim Syarat Wajib Tayang. Tarikh tayangan dan jumlah skrin ditentukan oleh produser filem itu sendiri bersama pemamer. Jadi, jika bercakap soal sambutan selepas filem ditayangkan, apa lagi yang FINAS dapat membantu.

Tak boleh paksa penonton 

“Tidak boleh nak salahkan FINAS semata-mata hanya disebabkan filem mereka tidak dapat sambutan, sebab pada masa sama ada filem orang lain yang boleh dapat sambutan baik. Ini yang perlu dikaji. Kita tidak boleh memaksa masyarakat untuk pergi ke pawagam. Kita juga tidak boleh menghalang orang membuat filem sebab ini pasaran terbuka, selagi mereka mematuhi peraturan.

“Saya tidak kisah orang hendak hentam saya, tetapi FINAS yang terjejas. Pada saya, saya lebih pentingkan FINAS sebagai organisasi yang sudah banyak membantu penggiat filem dan industri,” katanya kepada B*POP sebagai mengulas kenyataan pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham yang ‘membelasah’ FINAS dengan pelbagai tuduhan berikutan sejak tahun lalu banyak filem Melayu gagal mendapat sambutan baik di pawagam.

Sebelum ini, Ahmad Idham dalam kenyataannya dilaporkan berkata, FINAS harus berbuat sesuatu untuk memulihkan sambutan filem di pawagam dan jika tidak mampu dan jika permasalahan filem terpaksa dikemukakan kepada pihak kementerian, lebih baik FINAS ditutup saja.

“FINAS terus hanyut dan tidak melakukan apa-apa. Sampai bila FINAS hendak tidur? Mereka hanya membisu walaupun kutipan filem merosot. Sejak pelantikan Ketua Pengarah baru, saya tidak nampak apa-apa perubahan berlaku. Keadaan tidak akan menjadi kronik jika FINAS bertindak agresif dan proaktif sejak awal. Keadaan ini berlaku kerana sistem pengurusan FINAS yang lemah dan rapuh,” kata Ahmad Idham.

Raja Rozaimie juga berkata, situasi filem tidak dapat sambutan ketika ini juga membimbangkan pihaknya kerana ia membabitkan indeks kunci prestasi (KPI) FINAS sendiri tetapi masalahnya penghasilan sesuatu filem itu dilakukan oleh produser dan penggiat filem, bukan diterbitkan FINAS.

Industri bertuah ada FINAS 

“Industri filem kita bertuah kerana adanya FINAS sedangkan industri filem di negara jiran kita tidak ada badan seperti FINAS yang membantu penggiat filem mereka, cuma mereka ada persatuan saja. Kita memang risau banyak filem tak laku tetapi apa yang boleh kita buat? Sudah macam-macam perkara FINAS bantu produser. Kita kena realistik sebab penonton semakin bersifat selektif.

“Seperti juga isu Hans Isaac yang meminta kita membuat rayuan kepada pemamer supaya filemnya, Lemak Kampung Santan terus ditayangkan selama dua minggu mengikut Syarat Wajib Tayang. Tetapi setakat itu saja kita boleh bantu sebab kita tidak boleh paksa pemamer, kalau dilanjutkan tayangan sampai dua minggu pun tidak ada juga penonton, pemamer pula bising, mereka rugi hinggakan mereka mendakwa penonton minta duit balik sebab tidak puas hati dengan cerita yang dipersembahkan dalam filem.

“FINAS hanya bantu dari segi wajib tayang, untuk format tayangan, waktu dan bentuk tayangan, ia adalah antara produser dengan pemamer. Jika kutipan beberapa hari awal sudah rendah dan tidak melepasi hold over figure, pemamer boleh tarik balik sesuatu tayangan filem itu,” kata Raja Rozaimie.

Beliau turut menjelaskan, baru-baru ini, pihaknya mendapat cadangan daripada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) supaya diadakan sesi dialog bersama membabitkan FINAS, produser, pemamer dan pihak media massa untuk membincangkan isu filem Melayu tidak dapat sambutan.

“Kita terima cadangan itu untuk anjurkan forum atau dialog bagi mengupas isu topik kenapa filem tidak laku. Kita akan adakan pertemuan itu dalam masa terdekat,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TakadilsalahkanFINAS_/Article
0 Komentar untuk "'Tak adil salahkan FINAS'"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI