Bekas PM Pakistan kena tahanan rumah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bekas PM Pakistan kena tahanan rumah



BANTAH TINDAKAN: Penyokong Benazir ditahan di luar kediamannya membantah perintah tahanan rumah yang dikenakan ke atas pemimpin mereka di Islamabad, semalam.

Kerajaan bertindak halang Benazir hadiri perhimpunan parti

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan meletakkan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto di bawah tahanan rumah semalam dan dihalang daripada menyertai rapat umum besar-besaran dengan penyokongnya yang dirancang di Rawalpindi.

Lewat semalam, Timbalan Menteri Penerangan Tariq Azeem berkata Benazir akan dibebaskan daripada tahanan rumah malam ini dan menganggap langkah itu bersifat sementara atas alasan pemimpin wanita itu berdepan ancaman bunuh diri yang serius dan boleh dipercayai.


Laporan Aljazeera pula menyatakan yang Benazir boleh ditahan sehingga 30 hari lamanya. Anggota polis mengepung dan meletakkan kawat duri di sekitar rumah pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) selain menahan beribu-ribu penyokong parti itu yang membantah tindakan Presiden Jeneral Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat sejak Sabtu lalu.

Seramai 6,000 anggota pasukan keselamatan turut dikerah ke Rawalpindi, berhampiran ibu negara bagi menyekat semua laluan ke lokasi rapat umum yang dicadangkan.

Benazir cuba keluar daripada keretanya sebanyak dua kali sambil berkata: "Jangan cuba pukul wanita. Anda Muslim dan tindakan ini bercanggah dengan ajaran Islam. Tolong ketepi, kami adalah saudara kamu. Bapa saya mengorbankan nyawanya untuk membangunkan negara ini."


Malangnya, anggota polis itu bertindak lebih keras dengan menyekat keretanya dengan kereta perisai.

Sekatan terhadap Benazir yang turut dikecam sekutu rapat Musharraf, Amerika Syarikat dan Britain itu dibuat ketika satu penyerang bunuh diri meletupkan dirinya di kediaman seorang menteri di Peshawar dan meragut empat nyawa. Polis turut mengepung Hospital Barah yang ditubuhkan pemimpin pembangkang, Imran Khan dalam usaha menangkap bekas bintang sukan kriket berkenaan.

Bercakap kepada wartawan menerusi telefon dari dalam kereta di pekarangan kediamannya, beliau ber kata: �Saya tidak takut kepada taktik ini. Perjuangan saya adalah bagi rakyat Pakistan, bagi hak mereka, bagi mengakhiri pemerintahan diktator."

Tindakan ke atas Benazir itu membuktikan keengganan Musharraf bertolak ansur dengan lawan politiknya, biarpun sehari sebelumnya mengumumkan pilihan raya akan diadakan pertengahan Februari depan - awal sebulan daripada tarikh awal.

Fehmida Mirza, pembantu bekas Perdana Menteri itu, berkata kereta Benazir melepasi satu sekatan, tetapi perjalanannya dihalang sebuah bas polis di jalan sempit di belakang rumahnya itu.

"Benazir diletakkan di bawah tahanan rumah," kata seorang pegawai kerajaan yang mengesahkannya, semalam.

Seorang majistret memasuki rumah Benazir di kawasan mewah ibu negara untuk menyerahkan perintah tahanan berkenaan.

"Perintah tahanan sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada Benazir jika beliau cuba keluar dari rumah," kata seorang pegawai.

Seorang pemimpin kanan PPP, Senator Anwar Baig berkata: "Penahanan itu tidak sah. Ia adalah penahanan haram seorang pemimpin demokratik."

Kira-kira 20 penyokong PPP, termasuk wanita, dihumban ke dalam van penjara apabila mereka mula melaung slogan proBenazir.

Ketika kereta perisai polis bergerak ke arah pintu pagar kediaman berkenaan, jurucakap Benazir, Sherry Rehman berkata Benazir bertekad mahu keluar dari rumahnya walaupun ia dikawal ketat oleh polis.

Sementara itu, agensi berita AFP memetik pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Kamal Shah sebagai berkata, Pakistan sudah membebaskan Benazir da ripada tahanan rumah itu biarpun tiada sebarang pengesahan daripada pihak Benazir setakat ini. - AFP/AP

0 Komentar untuk "Bekas PM Pakistan kena tahanan rumah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI