Nada dering ayat suci diharamkan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Nada dering ayat suci diharamkan

Arab Saudi anggap jejaskan kalimah al-Quran

MAKKAH: Majlis Perundangan Islam Arab Saudi mengharamkan penggunaan ayat suci al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia menjejaskan kesucian kalimah kitab suci Islam berkenaan, lapor Saudi Press Agency yang dipetik Arab News, semalam.

"Tindakan menjadikannya sebagai nada dering terbukti satu penghinaan ayat suci itu dengan menghentikannya secara tiba-tiba di tengah bacaan atau mengabaikan bacaan.

"Ia berbeza dengan merakamkan ayat dari kitab suci Quran dalam telefon dengan niat untuk membaca dan mendengarnya ialah satu perbuatan murni," kata cendikiawan dan ulama yang menghadiri majlis itu dalam satu kenyataan kepada agensi berita rasmi Saudi Press Agency dan dipetik Arab News, semalam.

Mesyuarat enam hari Majlis itu berlangsung di Makkah pada 3 November lalu. Ia dipengerusikan Mufti Besar Abdul Aziz Al-Asheikh dan dihadiri kira-kira 70 ulama Islam yang membincangkan pelbagai isu penting membabitkan umat Islam hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal.

Selain isu nada dering, Majlis Perundangan itu turut membenarkan umat Islam menentukan jantina janin mengikut kepentingan perubatan, termasuk dalam usaha mengenal pasti penyakit yang disyaki boleh menjejaskan bayi lelaki dan bukan bayi perempuan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, sebarang keputusan akhirnya mengenainya berdasarkan pandangan tiga doktor bagi mengesahkan keperluan itu mengikut prosedur perubatan.

Majlis itu juga meluluskan kaedah memusnahkan ovari yang boleh menyebabkan kecacatan bayi. Namun ia menegaskan perbuatan untuk cuba mengawal jantina seseorang bayi adalah dilarang sama sekali.

Dalam mesyuarat itu juga majlis menggalakkan penduduk Islam di negara Barat menyertai pilihan raya di negara bukan Islam dan memainkan peranan penting terutama sekiranya pilihan raya itu memberikan kebaikan kepada masyarakat dan melarang perbuatan jahat di kalangan masyarakat.

Katanya, dengan cara itu hanyalah satu-satunya cara penduduk Islam di luar negara itu menjamin hak mereka.

Selain itu mereka juga menggalakkan penduduk Islam di negara Barat bercampur dengan masyarakat Barat tetapi berhati-hati terhadap mereka supaya tidak menerima sikap Barat yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Mereka yang hadir membentangkan kertas kerja termasuk imam Masjidilharam, Sheikh Muhammad ibn Abdullah Al-Subeyel. Dalam sesi rumusan, Majlis Perundangan Islam itu menggalakkan dialog dengan bukan Islam yang disokong dengan program media adalah penting dalam usaha untuk mengatasi kempen anti Islam.

Majlis berkenaan juga menggesa penduduk Pakistan dan Palestin bersatu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi di negara mereka. - Agensi
0 Komentar untuk "Nada dering ayat suci diharamkan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI