|
|
Sedutan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung UMNO ke-58 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang semalam.
SAYA bersyukur kepada Allah s.w.t kerana persidangan kita berjalan dengan baik dari hari pertama sampai ke hari ini. Dan daripada perbahasan yang telah berlaku dalam dewan ini, saya boleh katakan, ini juga pandangan orang lain, nampaknya kali ini pembentangan isu-isu yang penting kepada kita berjalan dengan baik, melambangkan kematangan para perwakilan.
Walaupun ada yang kata, kalau keras sikit, tidak mengapa, walaupun mereka ingat tahun depan pilihan raya.
Jadi, saya amat gembira sebenarnya, kerana perkara penting yang antaranya menyentuh sensitiviti kaum, kita telah dapat mengawal dengan baik, walaupun yang kita berikan itu adalah pandangan-pandangan yang kuat dan teguh melambangkan hasrat dan cita-cita kita.
Tetapi peradaban tatasusila, tunjuk hormat kepada kawan sentiasa menjadi perkara yang dalam ingatan kita.
Inilah yang baiknya pada UMNO. Kerananya UMNO telah diberi peranan untuk memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN). Mudah-mudahan kedudukan itu akan dapat dikekalkan.
Tetapi sebagaimana kita sepatutnya ingat, bukan tidak tahu, kita walaupun sebagai sebuah parti, kita sentiasa memahami atau perjuangkan yang telah pun tercatat cita-cita dalam Perlembagaan.
Perjuangan untuk bela nasib orang Melayu, di samping sebagai parti terbesar dalam BN dan kerajaan, kita tentulah diharapkan juga supaya dasar-dasar yang dicadang dan akan ditentukan dari semasa ke semasa, ia perlulah melambangkan hasrat seluruh rakyat Malaysia.
Inilah yang kita telah berjaya laksanakan selama ini.
Insya-Allah, rakyat akan ingat apabila kita menghadapi pilihan raya yang akan datang. (Tentang tarikh pilihan raya umum) saya belum dapat ilham lagi.
Dalam perbahasan, banyak perkara yang telah ditimbulkan, antaranya perkara yang telah saya sebutkan dalam ucapan dasar.
Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara-saudari sekelian yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan telah menyokong pembangunan koridor yang telah dilancar di Semenanjung dan akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini di Sabah dan Sarawak.
Dan saya percaya, sambutan dan komen- komen yang baik yang diberikan itu menunjukkan bahawa saudara-saudari sekelian mahu supaya cita-cita pembangunan koridor ini dicapai secepat mungkin. Kerana orang Melayu yang ramai di kawasan ini dan juga rakyat Malaysia yang dahagakan pembangunan mahu supaya koridor kita ini dapat dipesatkan dengan pembangunan yang akan kita laksanakan. Projek-projek perlu disediakan dan pelaburan dari luar perlu digalakkan. Di samping itu, kita juga ingin galakkan pelaburan di dalam negeri terutamanya dari syarikat besar terutamanya syarikat milik kerajaan (GLC).
Kita ada jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menjadi pemantau sepanjang masa apa yang berlaku di kawasan ini dan saya diberi tugas, tanggungjawab untuk jadi pengerusi. Datuk Seri Najib Tun Razak selaku timbalan pengerusi, ini di peringkat nasional. Dan di peringkat negeri, saya ditugaskan menjadi pengerusi bersama dengan Menteri Besar (MB) bagi negeri-negeri yang terlibat dengan pembangunan koridor ini.
Insya-Allah kita akan usahakan, saya berjanji dengan saudara sekalian, saya akan berusaha bersungguh supaya kita akan lihat dalam masa tidak terlalu lama, satu perubahan yang lebih baik demi kebaikan rakyat yang tinggal di kawasan ini.
Bagi orang Melayu, saya harap segala peluang yang ada, yang terbuka, yang wujud, akan dapat mereka ambil dan dapat mereka buktikan kemampuan melaksanakan projek- projek itu dengan sebaik-baiknya.
Di mana kita fikir wajar, kita bantu dan kita akan bantu dengan ikhlas. Tetapi yang pentingnya dalam hal ini, saya sudah tentu ingin melihat bahawa yang dibantu itu ada kebolehan dan keupayaan di samping benar-benar mahu menjayakan peluang yang diberikan kepada mereka.
Saya tidak perlu cakap panjang tentang koridor ini kerana ia telah dijelaskan dan saudara amat tahu, cuma apa yang dicadangkan itu mesti dijayakan.
Satu perkara yang telah saya catatkan dalam buku catatan saya iaitu cadangan bagi negeri Melaka dan Negeri Sembilan supaya satu kawasan pembangunan atau satu bentuk pembangunan di kawasan tengah. Walaupun Lembah Klang itu sudah menjadi satu kawasan yang cukup membangun dengan pesat, juga perlu dipastikan dapat dilaksanakan di Negeri Sembilan dan juga Melaka.
Walaupun kita tidak menjadikan kedua- dua negeri ini dalam satu kawasan pembangunan tengah tetapi kedua-dua negeri ini tidak ditinggalkan bahkan diberikan juga peruntukan-peruntukan yang besar.
Di samping itu kita mahu pastikan limpahan manfaat yang boleh diperoleh dari kawasan tengah – di kawasan Lembah Klang itu boleh diperoleh oleh negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan pada hari ini sudah dapat dilihat bagaimana pesatnya Nilai sedang membangun. Di samping itu, beberapa projek impak tinggi telah pun ditentukan untuk dilaksanakan di Negeri Sembilan, begitu juga di Melaka.
Jadi, Datuk Seri Muhammad Hassan dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam janganlah terlalu risau sangat. I will not forget both of you, kita tidak akan lupa pada Negeri Sembilan dan negeri Melaka.
Kita bercakap tentang hal yang berkaitan dengan pembangunan yang perlu dirancakkan di negara kita dan saya percaya dengan pembangunan-pembangunan di koridor-koridor yang telah ditetapkan, kita mungkin dapat memperlihatkan satu pertumbuhan lebih tinggi daripada yang ada sekarang ini.
Ini perlu kita usahakan, kita tahu bahawa kita menghadapi pelbagai saingan. Dalam dunia globalisasi ini kita menghadapi pelbagai saingan, saingan dari negara jiran dalam ASEAN. Negara ASEAN seperti Vietnam baru muncul dengan begitu hebat, (di samping) Thailand dan Singapura.
Di samping itu, kita juga memahami bahawa negara China dan India, ekonominya sedang berkembang dengan pesat, perkembangan dua digit dan di samping itu juga mereka mendapat foreign direct investmet (FDI), pelaburan-pelaburan dari luar negara yang lebih tinggi.
Datuk Seri Rafidah Aziz telah memberi kepada saya maklumat ini dan perlu juga saya sampaikan kepada saudara. China, Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) pada masa ini ialah AS$2.7 trilion, begitu besar sekali. Dan India, KDNKnya AS$886.9 bilion.
Tetapi kalau kita ambil KDNK per kapita China hanya AS$2,043, India hanya AS$797 tetapi Malaysia AS$5,859.
Kalau kita ambil kira pula purchasing power parity, maka ini bermakna kita lebih daripada sekali ganda, per kapita AS$5,859, jika kita kali dua, lebih lagi. Apa maknanya ini?
Kepesatan di negara kita lebih hebat, China memperlihatkan pembangunan dalam kawasan-kawasan tertentu, kawasan Shanghai, kawasan Guongzhou, kawasan sebelah tenggara, Shenzhen. India begitu juga, tidak merata.
Tetapi bagi negara kita, ada satu perkara yang benar jika kita ingin ambil tahu, jika kita ingin melihat bahawa pembangunan di negara kita di merata-rata.
Ada kawasan-kawasan yang membangun dengan pesat, ada kawasan-kawasan yang tidak membangun dengan pesat tetapi pengagihan peluang-peluang pembangunan di negara kita ini sebenarnya lebih baik lagi daripada apa yang terdapat di China dan India.
Mungkin kerana kita gunakan sistem Federation (Persekutuan), kita ada negeri-negeri dan Persekutuan. Negeri-negeri ini ada kerajaan sendiri dan Exconya yang diketuai oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri. Dan bagi negeri-negeri ini atau antara negeri-negeri ini sudah tentu ada saingan, Menteri-Menteri Besar kita semuanya bersaing untuk membuktikan sejauh mana mereka boleh mencapai pembangunan bagi negeri mereka.
Mereka sendiri boleh ke luar negara untuk membuat promosi, untuk menggalakkan pelaburan-pelaburan negeri masing-masing.
Ini adalah sistem yang kita benarkan, maka sebab itulah kita lihat pembangunan di merata tempat, di Semenanjung terutama sekali di Pantai Barat.
Kalau saudara berkereta dari Johor Bahru sampai ke Perlis, sepanjang jalan, saudara akan lihat pembangunan sudah ada, sama ada pekan-pekan, bandar-bandar, kilang-kilang, taman perumahan, ataupun kawasan-kawasan ladang dan pertanian.
Amat jarang sekali kita melalui di kawasan-kawasan tertentu kalau kita berkereta dalam masa lima minit, kita tidak tengok apa- apa pun sebagai tanda adanya pembangunan di negara kita ini.
Tengok sahaja bila balik nanti, inilah yang akan saudara lihat walaupun di negeri Sabah dan Sarawak belum seluas dan sepesat pembangunan di Semenanjung. Tetapi diharap juga, negeri itu yang potensinya begitu hebat, begitu besar lagi maka usaha-usaha untuk memperluaskan kawasan-kawasan pembangunan, melakukan pembahagian peluang-peluang yang seadil mungkin, akan kita lakukan.
Insya-Allah, Sabah dan Sarawak akan memperlihatkan pembangunan yang lebih hebat lagi.
Jika kita ambil dari segi kualiti hidup, mutu kehidupan di negara ini tentulah sekali lebih baik daripada negeri-negeri yang telah saya sebut tadi.
Saya sebut ini bukan hendak memanjakan saudara, supaya saudara katakan, “kalau begitu tak apalah Pak Lah that is ok we are doing fairly well.”
Walaupun umpamanya FDI pergi ke China lebih besar daripada kita, begitu juga pergi ke India tetapi kalau kita bandingkan dengan KDNK dan peratusnya, (perbezaan dengan) China hanya lima peratus. Walaupun FDI kita sedikit berbanding dengan FDI China, sebenarnya kita ada 10 peratus daripada KDNK, ini tanda bahawa kita melebihi daripada mereka.
Tetapi saya ingin menyatakan di sini, kepada saudara-saudari sekelian, bahawa kita tidak mahu mengambil satu sikap merasa senang. Ok, not bad, tak apalah. Ini adalah cakap-cakap yang tidak melambangkan keinginan untuk mahu maju lagi.
Maka sebab itulah dalam cadangan yang kita kemukakan dalam Misi Nasional yang telah kita tetapkan untuk menjadi misi rakyat Malaysia, misi bangsa kita, kita mahu supaya ditambah nilai kepada diri kita. Kita tambah nilai kepada hasil kerja kita, kita tambah nilai kepada produk-produk yang kita usahakan.
Kita mahu tingkatkan lagi taraf hidup kita, kita mahu rakyat kita mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi terkini. Kita mahu mempunyai minda kelas pertama. Kita mahu supaya kawasan-kawasan yang tidak begitu membangun akan kita bangunkan. Jurang perbezaan antara etnik dan kaum dan perbezaan antara wilayah, jurang perbezaan antara sektor, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar akan kita kecilkan. Ini hendak kita lakukan.
Kita hendak memperbaiki cara-cara kita melaksanakan kerja. Ini adalah keperluan, ini adalah strategi-strategi yang akan kita terus laksanakan. Dan jika kita laksanakan dengan baik dan jika kita bersungguh-sungguh dan jika kita utamakan pembangunan modal insan itu, saya percaya kita akan jadi lebih maju lagi daripada kemajuan yang kita peroleh pada waktu ini.
Saya telah katakan kepada Datuk Seri Mohd. Najib, dengan adanya Misi Nasional, insya-Allah Wawasan 2020 akan dapat kita capai nanti.
Dan bukan hanya dapat kita capai tetapi kita boleh terus lagi. Mencapai Wawasan 2020 itu bukanlah bermakna sudah cukup, sudah selesai – tidak perlu lakukan sebab kita sudah menjadi negara maju. Negara boleh maju satu masa dan negara boleh jadi negara mundur pada masa yang lain. Ketinggalan oleh sebab kita tidak maju, kita tidak tambah nilai kepada kemajuan, kita perlu tambah nilai kepada kemajuan, maka sebab itu misi kita ini adalah misi yang akan membuat kita terus sampai ke tahun 2057.
Selagi kita mahu maju, maka pendekatan teras Misi Nasional – menambah nilai kepada ilmu pengetahuan kepada diri kita, kepada modal insan membangunkan negara kita dengan cara kita, mahu memberi taraf hidup yang lebih baik, kita mahu mengurangkan perbezaan yang ada di negara kita, perbezaan ataupun jurang-jurang antara etnik, antara sektor, antara wilayah, antara bandar dan luar bandar itu akan kita usahakan mengurangkan semua ini. Insya-Allah kejayaan akan kita capai lebih hebat lagi daripada apa yang kita capai pada tahun 2020.
Kita mahu berpegang kepada apa yang ada pada diri kita. Kita mahu ini jadi sebahagian daripada proses pemikiran rakyat kita.
Kita mahu supaya kalau kita cemerlang kita mahu jadi gemilang, kalau gemilang kita mahu jadi terbilang. Ini hanya dapat dicapai dengan kekuatan minda yang ada pada kita. Sebab itu kita mahu menambah nilai kepada produk-produk dan perkhidmatan kita. Maka dalam hal ini kita juga menghadapi masalah yang agak besar. Saya menggunakan perkataan – satu bentuk ketagihan dalam sektor yang kita tidak boleh melarikan diri daripadanya.
Ini menjadi satu cabaran kepada kita. Apa yang dikatakan ketagihan itu?
Majikan kita suka memilih pekerja asing yang harga kos buruh rendah, ertinya gaji yang diberikan itu rendah. Ini senang dapat. Kata mereka, tidak dapat yang ada dokumen, yang datang tanpa izin ini yang mereka mahu. Dan kalau ini sudah menjadi satu keinginan mereka, bila-bila masa ada kekosongan – ambil buruh kasar, ambil pekerja dari luar maka kesannya kepada industri kita tidak akan jadi baik.
Pasal apa tidak akan jadi baik, cita-cita kita untuk meningkatkan lagi teknologi yang kita gunakan pada tahap yang lebih tinggi tidak akan dapat dijayakan sebab kos, sebab pekerja yang ingin diambil itu pekerja yang kosnya rendah, yang kemahirannya tidak begitu tinggi, yang produktivitinya kurang. Maka kita tidak lagi dapat menjayakan satu kemajuan dalam industri kita yang dapat menggunakan teknologi yang tinggi.
Di samping itu juga, kita tahu bahawa dalam tahun-tahun akan datang yang jadi bertambah penting ialah knowledge economy (k-ekonomi), ilmu pengetahuan.
Kalau inilah yang hendak kita capai, maka perubahan perlu dilakukan. Tetapi dalam keadaan sekarang ini, kita lihat pekerja-pekerja asing yang kurang kemahiran masih diperlukan. Kalau inilah yang menjadi kehendak mereka, saya bimbang nanti cita-cita untuk melihat satu pertumbuhan yang lebih tinggi tidak akan tercapai.
Kita perlu memastikan kebergantungan ini, ketagihan ini dapat diberhentikan. Maka dengan itu, kita mesti membuat perubahan- perubahan yang secepat mungkin dapat kita laksanakan. Perubahan-perubahan ini, insya-Allah kita akan pastikan dengan menyediakan pekerja-pekerja negara kita yang lebih baik, yang akan menjamin bahawa mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mempunyai keupayaan untuk meningkatkan produktiviti dalam negara kita.
Kita perlu mengambil pengajaran daripada apa yang kita usahakan sekarang ini. Dahulu kita tahu bahawa selepas darjah enam, kalau seorang murid itu hendak berhenti (sekolah), dia boleh berhenti, ataupun dia berhenti kerana dia tidak ada ibu bapa, tidak ada wang lagi. Hendak kena bayar yuran, kena bayar duit buku, sekarang sudah tidak payah lagi. Ataupun selepas itu, kalau dia tahan (mampu) belajar lagi tiga tahun, lepas Sijil Rendah Pelajaran (SRP) boleh berhenti dan cari kerja, pergi ke pusat-pusat latihan untuk mendapat kemahiran yang rendah, bukan kemahiran yang tinggi.
Rendah kemahiran yang gaji pun tidak akan menjadi tinggi bagi mereka yang mempunyai kemahiran yang seperti itu.
Sekarang tidak ada lagi, sekarang boleh ‘tutup pintu’. Anak-anak kita sekarang kalau mereka pergi ke sekolah, mereka ada harapan dan memang boleh untuk terus sampai ke tingkatan lima. Ertinya, mereka boleh mendapat peluang pelajaran sampai akhir tingkatan lima.
Semua anak-anak kita adalah mereka yang berpelajaran, sekurang-kurangnya pelajaran menengah. Ini sistem yang kita gunakan sekarang.
Dan untuk memastikan ini, supaya tidak berlaku keciciran, supaya tidak berlaku anak- anak keluarga miskin diberhentikan kerana ibu bapa tidak mampu hendak bayar yuran peperiksaan, anak pandai tapi bila tiba masanya untuk mengambil peperiksaan tidak boleh kerana ibu bapa tiada wang terpaksa diberhentikan. Tidak ada wang untuk bayar yuran, buku dan sebagainya.
Anak-anak miskin, anak-anak di luar bandar atau mereka yang miskin yang ada di bandar tidak dapat manfaat daripada pendidikan yang kita berikan. Kita beri pendidikan yang percuma, pendidikan yang akan membawa mereka dari satu premis sampai ke tingkatan lima.
Dengan itu, apabila mereka berhenti sekolah dan tidak sambung lagi ke peringkat yang tinggi, ke tingkatan enam dan terus ke universiti, mereka adalah pencari-pencari kerja yang berkelulusan lebih tinggi daripada masa dulu. Tidak ada lagi pemohon yang ada SRP ataupun yang kelulusannya lebih rendah daripada itu.
Maka, ini akan membawa kepada satu perubahan yang kita mulakan, ertinya anak- anak kita yang sudah ada sekurang-kurangnya pelajaran menengah. Mereka tentu sekali boleh mengikuti kursus-kursus latihan yang memberikan kepada mereka kemahiran yang lebih canggih, yang lebih tinggi. Apabila mereka lulus, maka peluang untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi itu akan menjadi sesuatu yang ada pada mereka. Apa maknanya ini kepada industri?
Maka industri boleh berubah, kita harap industri akan berubah kerana kita menggalakkan semua industri yang datang ke Malaysia membuat cadangan baru untuk membina kilang ataupun kilang yang ada ini hendak diperbesarkan, kita mensyaratkan supaya mereka menggunakan teknologi yang lebih tinggi, yang dapat menjamin produktiviti yang lebih tinggi di samping produk-produk yang dihasilkan itu juga bermutu tinggi.
Mana pekerjanya? Maka pekerjanya itu perlu disiapkan dan dilatih lebih awal lagi dengan muafakat dan kerjasama serta nasihat daripada industri. Maka dengan cara yang kita lakukan ini, insya-Allah akan berubah. Kita harap akan hilang ketagihan untuk mendapat pekerja-pekerja asing yang gajinya tentu sekali murah tetapi produktivitinya kurang dan hasil kerjanya tidak begitu tinggi mutunya.
Maka dengan itu kita harap perubahan ini dapat kita lakukan dan bukan satu perkara yang susah untuk melakukannya. Yang penting ia perlu dirancang dengan secepat mungkin supaya dengannya, maka perubahan yang kita harap akan kita lakukan itu juga akan berlaku dengan cepat.
Saya menerangkan perkara ini kepada saudara-saudara sekalian, perkara ini adalah perkara yang akan membuat impak termasuk juga kepada anak-anak kita yang ada di luar bandar. Kebolehan anak luar bandar bukanlah kurang daripada apa yang diperoleh oleh anak di bandar.
Peluang belajar, peluang mendapat latihan kemahiran adalah peluang yang akan diberikan, dipastikan mesti sama kualitinya, mesti sama baiknya dan jangan berlaku tidak adil. Di pekan elok, di luar bandar tidak elok, kita tidak mahu berlaku situasi seperti ini supaya keadilan dapat kita pastikan dari segi mendapatkan peluang-peluang pelajaran dan latihan yang sama mutunya.
Bercakap tentang subsidi, Datuk Seri Najib sudah sebutkan. Tapi saya ingin menyatakan bahawa kita perlu menstruktur semula subsidi kita ini, perlu.
Sebenarnya kita juga berfikir, kita akan dapati bahawa amat sukar hendak kekalkan subsidi seperti yang ada pada waktu ini.
Tapi apa yang kita dapat. Ada orang kata, kita (ambil sikap) berani mati kerana (kerja) bunuh diri sendiri ini bodoh. Ini tidak boleh berlaku. Tetapi kita tahu bahawa, kita tidak boleh menafikan subsidi langsung, yang pentingnya subsidi kita ini seharusnya disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Golongan yang berpendapatan rendah. Itu sahaja. Yang lain mampu bayar. Bukannya tinggi, naik harga sikit pun (mereka) boleh bayar. Tapi kalau kita samakan, seperti yang saya cakap pada malam taklimat, harga petrol bagi yang kaya miskin sama. Harga bagi macam-macam (barangan pun) sama. Tidak adil, tidak adil. Kita tidak buat begitu.
Jadi kita akan menstruktur dengan satu cara, bahawa pihak yang memerlukan itu, kita kenakan subsidi yang pada tahap yang kita fikir adalah sesuai untuk mereka. Dan ini akan menjadi satu pendekatan yang akan kita ambil nanti di masa hadapan. Sekarang ini, kita sedang mengkaji, apa yang perlu kita lakukan, kerana subsidi kita amat-amat tinggi, RM80 bilion, RM35 bilion minyak gas, RM5 bilion lagi subsidi yang lain. Jadi RM40 bilion, sama juga dengan peruntukan untuk pembangunan.
Kalaulah subsidi ini dikurangkan, tentulah kita ada banyak wang lagi untuk kita gunakan bagi membangunkan negara ini. Jadi pendekatan ini, akan jadi pendekatan yang akan kita gunakan, insya-Allah.
Hal perkongsian kuasa, saya amat gembira kerana semua kita memahami. Apa yang menjadi muafakat, yang bermula zaman Tunku Abdul Rahman sampai sekarang ini, kita amat-amat memahami. Tetapi saya masih ingat ada seorang pembahas yang berkata, bukankah baik jika ini yang pernah kita pertahankan, dan kalau inilah muafakat yang menjamin keamanan, kestabilan dan hubungan kaum yang baik, maka generasi muda mesti diingatkan, disiasahkan mengenainya.
Sebab itu Datuk Zainuddin Maidin, tunjuk tiap-tiap malam cerita zaman Tunku dulu, apa yang berlaku dalam pembangunan kita. Muafakat antara kaum pula, kita tahu, saya percaya orang UMNO amat-amat tahu.
Tapi kita mahu supaya kawan-kawan kita juga tolonglah faham tentang perkara ini.
Kalau kita tidak ambil faham, maka apa yang dilihat pada hari ini, mungkin dilihat sebagai diskriminasi, sebagai sesuatu yang tidak wajar, sebagai sesuatu yang payah hendak diterima.
Tapi kalau tahu sebabnya, mengapa perjanjian dan pemahaman itu telah dibuat begitu sekali maka tentulah tidak akan rasa kecewa. Bahkan ini sesuatu yang sudah menjadi wajar, ditentukan awal-awal lagi. Daripada hari ini kita menerima apa yang telah membuktikan kebaikan dan menjamin pembangunan yang berterusan, di samping kestabilan di negara kita ini.
Kita akan hadapi banyak masalah, kita akan hadapi pelbagai cabaran, tetapi kita sentiasa berusaha supaya negara kita ini berada dalam keadaan yang sentiasa stabil dan selamat. Ini menjadi prasyarat sekiranya kita mahu rancakkan pembangunan yang kita usahakan tanpa diganggu.
Kejayaan kita adalah kerana kita menjamin menikmati kestabilan. Tengok sahaja di negara lain, terlalu sibuk dengan masalah yang timbul. Masalah pergaduhan kaum, masalah rusuhan, masalah keganasan, masalah ketidakstabilan kerajaan. Bila ini semua berlaku, maka kerancakan pembangunan itu sudah hilang, terhenti, diketepikan buat sementara.
Perkara lain dilupakan kerana perlu ditumpukan kepada perkara yang ada hubung kait dengan keselamatan negara mereka. Ini perlunya kestabilan dipulihkan. Kita tidak mahu ini berlaku dalam negara kita.
Kita menjadi sebuah negara yang maju, aman dan selamat. Tapi bukan itu sahaja. Kita adalah sebuah negara yang sentiasa mengamalkan demokrasi berparlimen semenjak dulu sampai sekarang. Dari dulu sampai sekarang, kita sentiasa mengingati diri kita. Kita tidak lupa untuk menghadapi rakyat dan mendapat penilaian daripada mereka.
Apakah kerajaan kita ini dapat mereka terima dan akui sebaik-baik dan dapat membawa pembangunan sebagaimana yang diharapkan. Maka sebab itulah, kita ada pilihan raya. Pilihan raya diadakan, pada jangka masa yang ditentukan dan kita tidak pernah takut menghadapi pilihan raya. Kita bersedia menghadapi rakyat dengan dada yang terbuka.
Biarlah, biar mereka membuat perhitungan. Biar mereka membuat penilaian. Ini yang meyakinkan rakyat bahawa kerajaan kita bukan gila kuasa. Kerajaan yang bersedia, bila sampai masanya menemui rakyat, membubarkan Parlimen. Menemui rakyat untuk mendapat mandat sekali lagi dan pilihan raya kita adalah pilihan raya yang demokratik. Pilihan raya yang dijalankan dengan baik dengan selamat. Dan kita telah membuktikan kita ada kejayaan dalam Parlimen.
Dengan itu, kita amat-amat menghargai, keamanan, keselamatan dan kestabilan yang perlu kita pertahankan sepanjang masa. Kita mahu supaya negara kita ini ada undang-undang yang perlu didaulatkan.
Perlembagaan mesti diterima, keluhuran Perlembagaan kita, dipegang kuat. Ini adalah antara perkara-perkara yang menjadikan negara kita ini maju. Tetapi saya dengar pula, polis sudah maklumkan kepada saya, dengar kata akan ada satu perhimpunan haram – Bersih.
Polis sudah memberitahu pada saya, tidak ada permit yang akan diberikan. Tetapi nampaknya daripada laporan, yang saya dengar daripada pelbagai punca, pihak yang menganjur, masih mahu meneruskan apa yang mereka hendak buat.
Mereka menunjukkan satu kedegilan yang tidak peduli pada undang-undang dan peraturan.
Saya dukacita, apakah ini mereka mahu mencabar kerajaan dan kepimpinan. Sebenarnya yang mereka cabar, yang mereka hendak mengetepikan adalah undang-undang.
Mereka mencabar undang-undang, peraturan. Mereka mencabar rakyat kerana rakyat mahu negara ini aman dan selamat sepanjang masa. Itu yang dicabar, bukan saya. Tapi saya kata, saya pantang dicabar. Biasanya dia nak juga, polis kata jangan, maka tentu akan berlaku sesuatu yang tidak baik.
Biasanya, bila ada tindakan-tindakan seperti itu akan jadi kacau. Tengok apa yang berlaku di negeri Terengganu baru-baru ini.
Saudara ingat, saya pun ingat, tidak payah saya ingatkan lagi. Satu kejadian yang kita tidak dapat terima, satu kejadian yang liar, bukan cara kita, bukan cara Malaysia, bukan cara amalan demokrasi Malaysia.
Amalan demokrasi jalanan kita tidak dapat terima langsung. Bukan itu caranya kalau mahu buat perubahan. Polis suruh berhenti, berlakulah apa-apa yang tidak diingini. Selepas itu marah pada polis. Tapi sebenarnya, mereka yang menyebabkan semua ini berlaku bukan polis. Kalau ikut undang-undang, ikut peraturan, tidak akan jadi begitu.
Kalau nak buat perubahan, tunggulah pilihan raya, kita sama-sama hadapi, tengok siapa menang. Apa nak takut pada pilihan raya? Yang kata nak tong bubuh kertas-kertas undi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat tong jenis yang telus (transparent), yang boleh nampak. Mahu dakwat yang tidak boleh padam, itu pun sudah setuju.
Ada yang remeh mereka boleh runding dengan pihak suruhanjaya. Tapi tabiat mereka, kita tahu. Tengok apa yang berlaku dalam pilihan raya-pilihan raya dulu. Di Batu Talam, mereka (pembangkang) ingat tidak boleh menang maka katanya nak boikot? Tapi letak calon Bebas, senyap-senyap pergi undi calon Bebas.
Di Ijok, di Machap mereka ingat boleh menang, semua mahu (bertanding). Pasal pilihan raya (tidak bersih) sudah tidak sebut lagi, pasal SPR tidak lagi, sebab ada peluang menang. Di Machap, Melaka mereka bubuh (letak calon) DAP. Di Ijok, Keadilan bubuh, letak calon mereka. Keputusan, siapa menang? Kita menang dengan undi yang lebih baik lagi.
Rakyat tidak boleh diperdayakan. Kalau kita hendak mempersoalkan keadilan SPR, apakah di negara ini tidak ada kemenangan bagi pembangkang? Kelantan sudah berapa kali menang pilihan raya? Dahulu pun Pas biasa menang, selepas itu Perikatan ambil balik, Barisan Nasional dan kemudian mereka menang lagi. Di Terengganu pun mereka menang dulu, selepas itu kita menang pula. Di Sabah pun begitu juga. (Apakah) mereka boleh menang, kalau kita kawal (control) semuanya, jangan harap boleh menang.
Tapi itu bukan cara kita. Kita mahu rakyat supaya benar-benar memberitahu kepada kita. Apakah mereka inginkan kita? Orang Kelantan tidak mahu kita berapa belas tahun, apa boleh buat? Sebab kita menghormati keputusan pilihan raya.
Inilah pilihan raya, inilah SPR yang ada selama ini. Maka kita menang, maka mereka juga menang. Ada masa kita kalah, ada masa mereka kalah. Tetapi kita tidak pernah lari, dan kita tidak pernah mencari sebab mengapa pilihan raya itu jangan diadakan. Kita rela untuk menghadapi pilihan raya bila tiba masanya.
Jadi, saya harap rakyat akan dapat memahami bahawa demokrasi jalanan ini, bukan cara hendak membawa perubahan. Rakyat lebih bersedia untuk bawa perubahan dengan cara yang aman, bukan cara begini. Cara yang merugikan, hendak buat 10 hari bulan esok, hari Sabtu.
Keluarga datang hendak pergi makan pada hari hujung minggu. Masa-masa itulah mereka nak adakan demonstrasi mereka. Ini menyusahkan rakyat, saya harap rakyat tidak akan merestui semua ini.
Bila jadi begini orang takut nak keluar. Siapa yang rugi? Restoran rugi, pekedai rugi, warung-warung tak ada orang pergi. Kerugian akan berlaku. Maka apa yang telah saya katakan kepada saudara hari ini, saya amat kesal dengan tindakan yang diambil. Kita mahu supaya undang-undang dihormati.
Bila orang kata undang-undang, ia mesti sentiasa kita junjung, pegang kuat. Kalau undang-undang pun tidak boleh hormat, apa nak jadi? Ini nak jadi kerajaan, nak jadi pemimpin, mana boleh? Undang-undang perlu dihormati, ini adalah amat penting.
Jadi saudara-saudari, cukuplah saya cakap setakat ini saja. Mudah-mudahan negara kita ini akan sentiasa selamat, dilindungi Allah s.w.t sepanjang masa. Niat kita adalah niat yang suci, kerana kita mahu pembangunan untuk rakyat dan negara. Kepada Allah kita pohonkan hidayah sepanjang masa.
0 Komentar untuk "Pastikan negara sentiasa selamat"