YANGON 9 Nov. – Ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi, dikatakan `sangat optimis’ mengenai usaha damai antara junta tentera dan kumpulan prodemokrasi tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Nyan Win memaklumkan pandangan ketua partinya itu selepas satu pertemuan dengannya, hari ini.
Menurut Nyan Win, Suu Kyi juga percaya pihak tentera kini mempunyai `kemahuan’ untuk mencapai perdamaian nasional.
Pertemuan bersama Suu Kyi, yang pertama seumpamanya sejak Mei 2004 dan diadakan di rumah tetamu kerajaan itu dihadiri oleh tiga pemimpin kanan NLD.
Pada pertemuan itu, Suu Kyi, yang dikenakan tahanan rumah sejak 12 tahun lalu, juga dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Menteri Buruh Myanmar, Aung Kyi yang dilantik junta sebagai perantara kerajaan dan pihak pembangkang.
Junta membenarkan pertemuan itu selepas utusan khas PBB, Ibrahim Gambari menamatkan misi enam harinya semalam bagi mempromosikan perbincangan antara kerajaan dan kumpulan prodemokrasi.
– Agensi
0 Komentar untuk "Suu Kyi optimis usaha damai di Myanmar"