Sasaran WTO makin jauh tersasar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sasaran WTO makin jauh tersasar

JANGKA masa bagi Rundingan Perdagangan Doha yang ditetapkan enam tahun lalu bagi merangsang ekonomi dunia serta menghapus kemiskinan yang dihadapi berjuta-juta penduduk dunia kini semakin tersasar jauh daripada yang dirancangkan.

Diplomat perdagangan dan pegawai kanan berkata, jika segalanya berjalan lancar, satu garis panduan perjanjian dijangka akan diadakan pada bulan Januari atau Februari tahun depan dan satu majlis menandatangani peringkat awal akan diadakan pada Jun atau Julai sebelum upacara sebenar dimeterai pada 2009.

Bagaimanapun terdapat segelintir pihak mengatakan penangguhan ini merupakan satu petanda baik, bahawa 151 anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kini sudah mula membincangkan isu ini secara serius.

Negara seperti Amerika Syarikat dan Cuba terpaksa mencari lebih masa untuk menguasai isu pertanian yang penuh ranjau.

Menteri Perdagangan India, Kamal Nath berkata, peningkatan keyakinan dunia daripada usaha terbaru rundingan ini menjadi penawar berkesan bagi menangani keadaan ekonomi yang tidak keruan akibat kerapuhan sistem kredit global.

Negara-negara miskin tidak ingin berhadapan dengan sistem perdagangan bebas dunia yang boleh menimbulkan huru-hara jika berlaku sebarang kesilapan dalam sistem perdagangan dunia.

“Malah jika WTO sendiri tidak mencapai kesempurnaan yang diimpikan, apatah lagi jika tiada WTO, pasti keadaan akan lebih teruk,” kata Menteri Luar Brazil, Celso Amorim yang menghadiri Persidangan Negara-Negara Membangun di Geneva, Khamis minggu lalu.

Walaupun negara membangun meminta negara kaya memotong tarif subsidi yang diberikan kepada sektor perladangan mereka serta meminta lebih banyak pengecualian dalam pemotongan tarif industri yang diminta oleh negara-negara kaya, namun ramai yang menyedari perjanjian di Doha lama-kelamaan akan bertambah baik pada masa hadapan.

Penanda aras utama dalam rundingan seterusnya ialah apabila pengerusi persidangan tentang isu utama seperti perladangan dan industri menyemak semula kertas kerja yang dihasilkan Julai lalu dipersetujui. Isu ini telah menimbulkan perbalahan hangat sejak 11 minggu lalu dan semakan semula akan memberi kesan dalam rundingan berkenaan.

Satu isu teknikal tetapi mampu menimbulkan ketegangan ialah bagaimana menangani produk ladang yang dianggap sensitif bagi sesetengah negara dan termasuk dalam pemotongan tarif yang lebih kecil berbanding yang lain.

Menurut pengerusi bagi rundingan perladangan, duta WTO New Zealand, Crawford Falconer, beliau akan menangguhkan semakan semula bagi memberi masa kepada negara kaya untuk menyerahkan data penting tentang produk perladangan mereka. Semakan semula ini dijangka akan dilakukan pada Disember ini ataupun awal tahun depan, kata sumber dalaman WTO. Sektor perladangan merupakan kunci utama rundingan.

Falkoner telah berjaya mendapat persetujuan bersama dalam hal persaingan eksport namun isu-isu utama seperti soal tarif dan pemotongan subsidi serta kelonggaran masih belum mencapai sebarang persetujuan.

Para perunding berkata rundingan tentang barangan keluaran industri boleh diselesaikan segera tetapi negara-negara miskin terpaksa menangguhkan komitmen mereka untuk membuka pasaran bagi negara pengeluar sehingga mereka mendapat imbuhan yang diingini dari negara-negara kaya dalam sektor perladangan.

Dalam pada itu pengerusi persidangan tentang sektor perkhidmatan seperti telekomunikasi dan perbankan telah menangguhkan pengeluaran kertas kerja sehingga kertas kerja dalam sektor perladangan dan industri diperoleh.

Isu penting seperti jumlah kepenggunaan dan perbincangan susulan dijangka akan mengambil masa selama dua hingga tiga minggu lagi, kata seorang diplomat. Ini akan memberi peluang lebih cerah serta momentum baru untuk perbincangan pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, satu perhimpunan tahunan para pembuat polisi dan pemimpin perniagaan lewat Januari depan.

Bagaimanapun terdapat terlalu banyak isu yang masih belum diselesaikan untuk dibawa ke tahun hadapan bagi menjadikan persidangan tersebut lebih bermakna.

Kebanyakan permintaan yang dibuat kini dilihat sebagai satu langkah percaturan dalam “perbincangan mendatar” di mana negara akan mengisytiharkan kepentingan mereka yang boleh didagangkan.

Hanya beberapa bulan lalu harapan untuk menyelesaikan rundingan dapat dilaksanakan sebelum sambutan Krismas tahun ini. Namun menurut Menteri Luar Brazil, Amorim beliau difahamkan ia hanya akan menjadi kenyataan pada Jun atau Julai tahun depan.

Hanya selepas mereka semua bersetuju, pelaksanaan akan bermula dengan mentafsirkan formula yang dipersetujui kepada ribuan tarif untuk barangan daripada sektor perladangan dan perindustrian sebelum persetujuan tentang sektor perkhidmatan dicapai.

Bagaimanapun tempoh untuk kerja-kerja pelaksanaan dan pentafsiran akan mengambil masa selama sembilan hingga dua belas bulan.

Oleh itu jika perjanjian ini berjaya dimeterai, ia hanya akan berlangsung ketika pemerintahan AS telah pun bertukar tangan.

– Reuters

0 Komentar untuk "Sasaran WTO makin jauh tersasar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI