LEBIH profesional. Itu gambaran yang boleh diberikan sepanjang perjalanan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dun Perak ke-13 yang berlangsung lima hari berakhir, 30 Ogos lalu.

Meskipun pada peringkat awal persidangan, keadaan seakan panas apabila barisan pembangkang cuba membawa masuk isu penolakan mahkamah terhadap petisyen PRU13, namun situasi itu tidak berlarutan bagi memberi peluang kepada wakil rakyat berbahas.

Mungkin insiden yang berlaku pada hari kedua persidangan itu bagi mewujudkan ‘mood’ terutama kepada Yang Berhormat baru merasai kemeriahan dalam Dewan.

Sebelum sesi persidangan bermula, 26 Ogos lalu, Speaker Dewan, Datuk S K Devamany pada sidang medianya sudah memberi peringatan awal bahawa, Dewan Persidangan bukan tempat permainan.

Beliau juga mengharapkan kerjasama semua wakil rakyat agar berbahas dalam suasana aman.

Nyata titipan pesanan yang dibuat tidak sia-sia apabila semua ahli Yang Berhormat tampil menonjolkan diri sebagai wakil rakyat matang.

“Permulaan yang molek..’ itu reaksi yang diberikan Devamany ketika perbahasan memasuki hari pertama, mana tidaknya, pada persidangan inilah, buat pertama kali sejak lima tahun, semua Adun dapat dikumpulkan dalam sebuah potret bergambar.

Tanpa sebarang provokasi melampau serta celahan ketika berbahas yang boleh mengundang perbalahan, perjalanan persidangan kali ini juga banyak menjawab persoalan isu rakyat.
Bermula persidangan kedua hingga lima, tidak kurang, 30 soalan lisan dijawab wakil kerajaan dengan baik.

Sudah namanya perbahasan, tidak lari jika ada pihak yang mempertikaikan jawapan yang diberi.

Paling ketara apabila penggunaan nama ‘Menteri Besar’ dalam program anak angkat kerajaan negeri yang dibangkitkan pada hari keempat oleh Adun Sitiawan, Datuk Ngeh koo Ham.

Jawapan sinis yang diberikan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Saarani Mohamad bahawa hanya mereka yang mempunyai penyakit hati akan bertanya soalan itu, menjadikan sesi Dewan yang pada mulanya panas kembali suram apabila disambut dengan hilai tawa ahli Yang Berhormat.

Pada Sesi penggulungan Titah Ucapan Pemangku Raja Perak oleh Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Koo Ham menarik perhatian Dewan dengan membangkitkan isu pemberian tanah oleh kerajaan negeri dengan meminta senarai nama penerima.

Bagaimanapun, permintaan itu diselar Mohammad Zahir menyebabkan berlaku adegan berbalas kata hingga memaksa Speaker masuk campur.

Pujian wajar diberikan kepada Speaker dan Timbalan Speaker Dewan kerana sebagai pemegang kuasa terbesar, peranan yang dimainkan cukup teliti dalam memastikan perbahasan berjalan lancar.

Meskipun wujud bibit-bibit pertelingkahan hingga memaksa kedua-duanya bangkit mengingatkan peraturan Dewan kepada ahli Yang Berhormat, namun ia tidak sampai ke tahap arahan keluar Dewan seperti yang pernah berlaku pada hari terakhir Sidang Dun ke-12 lalu, apabila Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai diarahkan keluar setelah bersikap biadab terhadap Speaker, Datuk R Ganesan.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, perbahasan pertama yang berlaku selepas melalui tempoh PRU13, 5 Mei lalu dikategorikan sebagai matang, menggambarkan sisi baru persidangan yang sebelum ini banyak dipalit dengan pelbagai isu hangat lagi melucukan.