Potensi besar Proton - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Potensi besar Proton

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

Langkah kerajaan untuk menangguhkan ‘sementara’ kerjasama strategik Proton dan syarikat asing wajar dipuji. Dari suatu segi, langkah ini membayangkan bahawa seboleh mungkin dalam industri yang akrab dengan kepentingan negara, strategi untuk mewujudkan kerjasama dengan syarikat luar adalah suatu langkah yang paling akhir.

Umum tahu, bukan mudah untuk merangka kerjasama ‘menang-menang’ dengan kalangan syarikat utama dunia yang sudah terbiasa dengan suasana mereka menjadi pemimpin utama. Untuk berkongsi kepimpinan dengan sebuah syarikat yang boleh dikatakan masih ‘hijau’ dalam bidang automotif serantau dan dunia, adalah suatu ‘calar’ kepada ego mereka.

Lebih daripada itu, isu teras kepada syarikat asing ini adalah persoalan untung rugi. Sukar untuk mereka menerima masuk pemboleh ubah lain (contohnya kepentingan negara, pembangunan vendor bumiputera, ekuiti tempatan) dalam perkiraan untung rugi mereka.

Justeru, walaupun tertangguhnya ‘sementara’ pakatan strategik antara Proton-General Motors dari Amerika Syarikat (AS) atau Proton-Volkswagen (Jerman) – ia belum tentu memberi erti bahawa Proton akan selamanya berdiri sendiri. Tidak dapat tidak, dalam industri automotif dunia yang semakin kompetitif, Proton perlu melihat keperluan untuk ia membentuk pakatan sama pada masa akan datang.

Hakikat yang perlu diterima semua pihak, Proton sudah mula menunjukkan peningkatan prestasi kebelakangan ini. Model baru, ‘Persona’ benar-benar mampu mempersona pengguna tempatan dengan tempahan yang agak besar.

Setakat ini, tidak banyak aduan dan keresahan pengguna mengenai model ini – yang mana memberi erti sudah ada elemen pemantapan kualiti dalam syarikat yang mempunyai makna yang besar kepada rakyat Malaysia.

Antara fakta yang memungkinkan ‘penangguhan pakatan strategik’ ini adalah seperti yang dinyatakan beberapa akhbar semalam:

* Model baru Persona mendapat jumlah tempahan sebanyak 22,000 unit setakat akhir bulan lepas.

* Proton baru sahaja mendapat tempahan sebanyak 5,000 unit Waja ke Iran dan wujud cadangan untuk mendirikan kilang pemasangan Proton menjelang 2012.

* Sebanyak 30,000 model Gen.2 akan dihantar ke pasaran China (dalam perancangan, sebanyak 80,000 Gen.2 akan dihantar menjelang 2012).

* Penguasaan sebanyak 40-50 peratus daripada pasaran tempatan dengan pengenalan model baru.

Kesemua ini adalah petanda positif yang memberikan keyakinan agar pakatan strategik ini ditangguhkan sementara. Sebagai rakyat biasa, penulis cukup percaya majoriti rakyat juga akan bersetuju bahawa kesemua petanda ini adalah cukup positif. Oleh yang demikian, memang wajar kerajaan bertindak untuk mengambil keputusan sedemikian.

Bayangkan sahaja suasananya apabila kita berada di bandar Teheran, walaupun tidak pandai berbahasa Parsi – melihat kelibat Waja berada di sekeliling kita sudah cukup membayangkan bahawa kemampuan kita sememangnya sudah mula mendapat perhatian dunia. Ini adalah ruang kerjasama antara negara Islam yang wajar diperkasa dari semasa ke semasa.

Penangguhan sementara

Proton wajar untuk melihat ‘penangguhan sementara’ ini sebagai rahmat kepada syarikat itu. Mungkin ada juga yang mengatakan langkah ini sebagai strategi yang silap, apabila melihatkan trend ‘penyatuan dan pengambil alihan syarikat’ dalam industri automotif dunia adalah suatu perkara biasa. Kalangan syarikat yang lebih hebat teknologi dan kapasitinya juga berbicara dalam lenggok bahasa penyatuan dan pengambilalihan ini.

Harus diingat, Proton bersaing dalam ‘kelas’ yang tersendiri. Walaupun mungkin dilihat sebagai ‘jaguh kampung’, kemampuan Proton untuk menerjah pasaran dunia tidak boleh dipandang sepi dan sebelah mata. Proton mesti dibenarkan untuk memperbaiki situasi dan kemampuan dalamannya – sekali gus membina kekuatan sendiri.

“Pakatan strategik’ – kalaupun benar ia perlu berlaku pada masa akan datang mestilah dilaksanakan ketika mana nama Proton kuat dan diterima oleh masyarakat dunia. Kita tidak boleh menolak kemungkinan dan keperluan pakatan strategik ini berlaku di masa hadapan – tetapi buat ketika dan saat ini, Proton wajar dibenarkan beraksi di atas kaki sendiri.

Langkah ini adalah tepat dan amat dialu-alukan. Umum wajar maklum dan faham, bahawa proses ‘penyatuan dan pengambilalihan’ bukannya boleh berlaku dengan mudah dan sambil lewa. Apatah lagi apabila ia melibatkan sebuah syarikat yang namanya sangat ‘akrab’ di hati rakyat Malaysia. Kadangkala, kemahuan dan kehendak kalangan syarikat utama dunia ini juga tidak boleh terlalu diikutkan.

Dengan kemampuan yang ada, tidak seharusnya Proton mempunyai rasa curiga dengan penerimaan masyarakat dunia terhadap produk yang ada. Usaha untuk menerjah pasaran baru mesti diteruskan. Proton seharusnya menggunakan ruang ini untuk memperkukuh kedudukan sebagai jenama unggul tempatan – dan alternatif kepada masyarakat antarabangsa. Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) mesti dilaksanakan dengan berterusan agar tidak jauh ketinggalan dengan pesaing industri yang lain.

Kalangan ‘tiga gergasi’ industri automotif AS (General Motors, Ford dan Chyrsler) juga berhadapan dengan gelombang globalisasi. Dominasi mereka terhadap pasaran AS berada di sekitar 70 peratus. Kereta dari Jepun (Toyota, Nissan, Honda, Mitsubishi, Subaru dan Isuzu) hampir mempunyai 20 peratus daripada pasaran AS. Semua ini adalah ‘gelombang globalisasi’ yang sudah pun lama berada di pantai persaingan ekonomi Malaysia.

Proton mestilah mempunyai keyakinan untuk bersaing dalam pentas yang terbuka. Sementara usaha menerjah pasaran antarabangsa itu penting – ‘hati dan perasaan’ pengguna tempatan mesti juga dipelihara pada setiap masa.

Khidmat selepas jualan juga mestilah berada di tahap yang terbaik dan membanggakan. Kita tidak mahu lagi berlaku – kita sendiri yang menjadi ‘pensabotaj’ produk tempatan. Menulis di dalam pelbagai ruang tentang kelemahan itu dan ini; yang sebenarnya juga wujud kepada produk asing.

Secara perlahan tetapi amat meyakinkan, Proton sebenarnya adalah ‘jenama’ yang semakin terkenal. Proton adalah antara 100 syarikat terkemuka dalam kaji selidik yang dilakukan oleh sebuah badan bergelar Dinar Standard. Mungkin agaknya, senarai ini tidak lengkap – yang penting, Proton punya nama yang dikenali di kalangan komuniti ekonomi dan perniagaan Islam.

Proton sudah mula menerjah hampir 24 buah negara dan ia tidak akan berakhir di situ. Dengan kesungguhan dan komitmen yang menyeluruh daripada warga kerja Proton dan sokongan berterusan warga tempatan – potensi Proton adalah cukup besar.

Jangan hendaknya kita menganggap penangguhan pakatan strategik ini sebagai sesuatu yang tidak sealiran dengan trend dunia. Wujud ketikanya, kita tidak perlu terlalu beria-ia untuk membuka ruang seluas-luasnya untuk orang lain memperoleh manfaatnya.

Kalau kita tahu dan yakin – potensi dan keperluan untuk kita berdiri sendiri adalah melebihi keperluan kita mewujudkan pakatan, mungkin itulah keputusan yang terbaik. Adakala, kita kena berani berkata tidak – di atas landasan yang betul dan tepat.

0 Komentar untuk "Potensi besar Proton"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI