Ikat anak pada pokok elak diterbang Sidr - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ikat anak pada pokok elak diterbang Sidr



KEADAAN REDA: Penduduk di selatan Bangladesh semalam mengeringkan pakaian di atas bumbung rumahnya yang rosak akibat Ribut Sidr.

Hanya segelintir kanak-kanak selamat dalam ribut di Bangladesh

DHAKA: Mangsa Ribut Sidr menceritakan bagaimana mereka terpaksa mengikat anak masing-masing pada pokok untuk menyelamatkan mereka daripada amukan bencana itu yang setakat ini meragut lebih 3,000 nyawa dan menyebabkan sehingga sejuta keluarga memerlukan bantuan segera.

Akhbar The Telegraph melaporkan, ribut dengan kekuatan angin 240 kilometer sejam itu melanda kawasan pantai malam Khamis lalu 'seperti seratus syaitan', menurut penghuni salah satu daripada beratus-ratus kepulauan kecil berlumpur yang ditemui di tengah-tengah sungai yang banyak di Bangladesh.


Zabbar Mia, dari Majher Char, yang terletak di muara sungai Bishkhali, bergegas menyelamatkan dua sepupunya, Riaz, 13, dan Sumon, lima tahun, dengan mengikat mereka pada pokok palma ketika ribut melanda.

Penduduk kampung berkata, kanak-kanak adalah antara segelintir mangsa yang terselamat daripada lebih 70 orang golongan itu yang tinggal di kepulauan berkenaan.

"Dua budak ini bernasib baik kerana selamat. Mayat salah seorang anak lelaki saya ditemui tergantung di atas pokok dan seorang lagi masih hilang. Mungkin sudah hanyut ke laut," kata Mohammad Mainuddin, yang kehilangan isteri, dua anak lelaki dan dua sepupu dalam bencana itu.

Buat masa ini, penduduk kampung berkata mereka cuma mampu bertahan sehingga bantuan tiba. Kediaman musnah sama sekali, perigi dicemari air masin dan mereka tidak menerima makanan sejak ribut berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, dua kematian akibat cirit birit dilaporkan semalam di kawasan yang dilanda ribut itu.

Zon dilanda bencana itu kini berdepan penyakit bawaan air dan dua kanak-kanak meninggal dunia akibat cirit-birit kelmarin di daerah paling teruk terjejas, Patuakhali, lapor akhbar Daily Star yang memetik pegawai kesihatan tempatan.

Jurucakap bagi pasukan tentera yang menyelaraskan bantuan dan usaha menyelamat, Leftenan Kolonel Main Ullah Chowdhury, berkata angka kematian rasmi kekal pada 3,500.

Media tempatan melaporkan lebih 4,000 orang mungkin terbunuh manakala Persatuan Bulan Sabit Bangladesh berkata angka kematian mungkin mencecah 10,000. - Agensi/AP

FAKTA NOMBOR
Ribut Sidr landa Bangladesh


3,500 - Angka kematian terkini
10,000 - Anggaran maut
240kmj - Kelajuan ribut

0 Komentar untuk "Ikat anak pada pokok elak diterbang Sidr"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI