Aset anak Thaksin dirampas bulan depan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Aset anak Thaksin dirampas bulan depan

BANGKOK 21 Nov. – Kerajaan Thailand akan merampas aset anak-anak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra berikutan kegagalan mereka membayar cukai dan denda berjumlah AS$355 juta (RM1.21 bilion) berkaitan penjualan konglomerat telekomunikasi Shin Corp milik keluarga itu.

Ketua Jabatan Hasil Dalam Negeri (LHDN), Sanit Rangnoy hari ini berkata, Jabatannya telah menghantar surat kepada bank dan syarikat kewangan bagi mengesan aset milik anak lelaki Thaksin, Phantongtae dan anak perempuan beliau, Pinthongta.

“Kami menjangka dapat merampas aset berkenaan daripada institusi kewangan terbabit mulai awal bulan depan,” kata Sanit.

Rampasan itu mula dilakukan selepas jawatankuasa rayuan LHDN mengekalkan keputusan sebuah badan antirasuah yang diwujudkan oleh junta tentera selepas Thaksin digulingkan pada September tahun lalu.

Jawatankuasa antirasuah itu memutuskan, anak-anak Thaksin melanggar undang-undang percukaian dalam penjualan Shin Corp kepada firma pelaburan kerajaan Singapura, Temasek dengan harga AS$3.8 bilion (RM12.92 bilion).

Tarikh akhir untuk membayar tunggakan cukai dan denda 12 bilion baht (RM1.21 bilion) itu sudah berlalu, sekali gus membolehkan pegawai cukai memulakan tindakan merampas aset, menurut Sanit.

Kedua-dua anak Thaksin itu adalah pengarah Manchester City, kelab bola sepak Inggeris yang dibeli oleh bapa mereka pada Julai lalu.

Pegawai LHDN berkata, mereka boleh merayu terhadap arahan rampasan aset itu dengan membawa kes mereka ke Mahkamah Cukai.

Mereka berdua belum membuat sebarang kenyataan.

Phantongtae dan Pinthongta, 20-an, memperoleh saham Shin Corp dengan harga satu baht (RM0.10) setiap satu menerusi sebuah syarikat luar pesisir yang didirikan oleh Thaksin.

Mereka kemudian menjual 329 juta saham Shin Corp kepada Temasek dengan harga 49.25 baht (RM4.92) sesaham.

– Reuters

0 Komentar untuk "Aset anak Thaksin dirampas bulan depan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI