SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghalang penayangan filem Tanda Putera di pawagam-pawagam di negeri tersebut membuktikan sikap hipokrit DAP yang sering melaungkan perjuangan kebebasan media dan kebebasan bersuara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, beliau tidak terkejut dengan tindakan DAP ini kerana sememangnya parti itu hanya akan memperjuangkan sesuatu perkara apabila ia berkaitan dengan kepentingan mereka.
"Namun apabila ia sedikit sebanyak menyentuh sikap mereka maka inilah tindakan yang diambil.
"DAP ternyata melihat penayangan filem itu dari sudut perkauman.
"Persoalannya adakah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta pemimpin2 DAP lain sudah menonton filem tersebut sebelum membuat keputusan itu.
 
Filem Tanda Putera mula disiarkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini.
 
Ia mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail, yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969. 
 
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mempersoalkan mengenai filem yang ditayangkan sebelum ini menghina orang Melayu tetapi tidak dipertikaikan oleh kerajaan Pulau Pinang.
"Sebenarnya apabila DAP menganggap filem Tanda Putera berunsur perkauman, merekalah yang sebenarnya bersikap demikian.
 
"Filem itu ternyata memaparkan kisah sejarah perjuangan pemimpin utama negara ketika itu khususnya Tun Abdul Razak dan Tun Ismail.
"Oleh itu saya menyifatkan tindakan DAP ini lebih bermotifkan politik dan cuba menutupi sejarah sebenar negara," katanya lagi.
Sehubungan itu, ujar Ahmad Zahid, "Beliau menyeru semua pihak untuk sama-sama bangkit bagi mengecam tindakan membuta tuli Kerajaan DAP yang saya percaya hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu."