Analisis: Hujah dakwa Batu Puteh tak bertuan 'longgar' - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Analisis: Hujah dakwa Batu Puteh tak bertuan 'longgar'

Daripada Khirul Bahri Basaruddin di The Hague

SINGAPURA menutup kes pusingan kedua republik itu kelmarin, dengan hujah kurang meyakinkan dan ulangan daripada hujah pusingan pertama pada minggu pertama perbicaraan pada 6 November lalu.

Setiap hujah yang dikemukakan kelmarin di depan barisan hakim tetap dan ad hoc Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah berjaya dijawab barisan peguam Malaysia.

Ejen Singapura, Prof Tommy Koh mengemukakan 10 perkara dalam ucapan penutupnya, untuk menguatkan kes negara itu mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam artikel ini setiap hujah itu dijawab dengan hujah Malaysia pusingan pertama minggu lalu.

Antaranya, Singapura mendakwa berjaya menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan pada 1847.

Jawapan Malaysia, Pulau Batu Puteh sebuah pulau yang mempunyai tuan dan pemiliknya adalah Kesultanan Johor.

Bagaimanapun, sepanjang perbicaraan Singapura gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa pulau itu terra nullius dan bukannya bertumpu kepada serangan ke atas hujah Malaysia pulau itu bertuan.

Kedua, Singapura mendakwa membuktikan pada 1847-1851 Britain mempunyai pemilikan ke atas Pulau Batu Puteh tanpa perlu mendapat kebenaran sebarang Sultan tempatan.

Hujah Malaysia, Sultan dan Temenggong Johor memberi kebenaran kepada British melalui surat bertarikh 1844 kepada Gabenor Butterworth membina dan mentadbir rumah api di pulau berkenaan.

Ketiga, Singapura mendakwa berjaya membuktikan dalam tempoh 1847-1851, British memperoleh hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh dengan memenuhi dua kriteria, iaitu niat dan kegiatan yang menggambarkan negara itu mempunyai hak kedaulatan.

Jawapan Malaysia berhubung hujah itu, Peguam Diraja, Sir Elihu Lauterpacht, berkata Singapura gagal mengemukakan sebarang bukti British mempunyai niat menuntut hak kedaulatan ke atas pulau itu.

Malah, dalam tempoh 1847-1851 British tidak pernah mengadakan upacara mengibarkan bendera Union Jack untuk mengisytiharkan pulau milik mereka seperti yang dibuat di tanah jajahan lain.

Keempat, dalam tempoh 1847-1979, iaitu kira-kira 130 tahun lalu, Singapura mendakwa mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh secara terbuka, berterusan dan baik.

Hujah Lauterpacht, Malaysia cuma perlu membuktikan kepada mahkamah negara itu mempunyai hakmilik asal ke atas pulau itu dan jika hujah itu diterima, Malaysia tidak perlu mengemukakan sebarang bukti effectivit'es atau pentadbiran berkesan.

Kelima, Singapura mendakwa pada 1953 Johor sebuah negeri berdaulat mengikut undang-undang antarabangsa dan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menulis surat rasmi berhubung keputusan negeri itu tidak menuntut hakmilik ke atas pulau itu. Surat jawapan itu mengikat Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa.

Jawapan Malaysia, pada tarikh itu Johor berada dalam Persekutuan Tanah Melayu dan surat yang dihantar oleh seorang pegawai kerajaan tidak mengikat Malaysia kerana ia bersifat satu tindakan berdasarkan undang-undang persendirian, bukan undang-undang antarabangsa.

Malah seorang pegawai kerajaan tidak mempunyai kuasa menyerahkan kedaulatan sesebuah wilayah kepada negara luar.

Keenam, pada 1968 Malaysia mengarahkan Singapura menurunkan bendera di rumah api Pulau Pisang, sebuah wilayah Malaysia tetapi tidak mengeluarkan arahan seumpama itu di Pulau Batu Puteh, satu tindakan mengiktiraf Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Hujah Malaysia, mahkamah juga perlu mengambil kira bentuk fizikal kedua-dua pulau kerana pengibaran bendera di Pulau Pisang dan Pulau Batu Puteh berbeza.

Lauterpacht menjawab, "Pengibaran bendera di Pulau Pisang dilihat oleh rakyat tempatan (Johor) sebagai penegasan kuasa Singapura ke atas sebidang tanah dalam wilayah Johor dan mereka mahu bendera itu diturunkan.

"Pengibaran bendera di Rumah Api Horsburg pula tidak lebih satu tanda bahawa rumah api itu ditadbir Britain".

Ketujuh, pada 1962-1975, Malaysia menerbitkan enam peta yang menunjukkan Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Singapura manakala negara itu tidak pernah menerbitkan sebarang peta menggambarkan pulau itu berada dalam wilayah Malaysia.

Jawapan Malaysia, kegagalan Singapura mengemukakan sebarang peta rasmi termasuk Pulau Batu Puteh sebelum tarikh pertikaian agak ganjil dengan dakwaan republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan.

Sebaliknya, tujuh peta termasuk daripada negara ketiga seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dikemukakan Malaysia menyokong kes negara itu, selain bukti lain.

Kelapan, Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mempunyai persamaan dari segi kedudukan, geologi, sejarah dan undang-undang, malah ketiga-tiga bentuk bumi itu tidak boleh dipisahkan dan berada dalam kumpulan yang sama.

Lauterpacht menjelaskan kedua-dua bentuk bumi itu secara jelas berbeza daripada Pulau Batu Puteh.

"Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara geologi tidak bersambung dengan Pulau Batu Puteh. Batuan Tengah dipisahkan daripada Pulau Batu Puteh oleh saluran 0.6 batu lebar manakala Tubir Selatan kira-kira 2.1 batu daripada pulau berkenaan, " katanya.

Kesembilan, Singapura mendakwa kes Malaysia yang berdasarkan hakmilik asal dan bukan berlumba dengan negara itu menjalankan kegiatan di pulau itu tidak berasas.

Lauterpacht berkata, kes Singapura bergantung penuh kepada hujah Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan tetapi jika ia milik Johor seperti yang dihujahkan Malaysia, kes republik itu musnah.

"Mengikut pengiraan matematik mudah apabila angka kosong didarab dengan sebarang nombor, jawapannya adalah kosong, jadi ketiadaan hak milik tidak boleh mengesah atau mengekalkan sebarang tindakan dilakukan sesebuah negara itu, " katanya.

Kesepuluh, Singapura mendakwa tawaran Malaysia negara itu boleh meneruskan mentadbir rumah api jika hak kedaulatan Pulau Batu Puteh diberikan kepada Malaysia satu percubaan menukar keluhuran undang-undang yang wujud sejak 160 tahun lalu.

Jawapannya, Malaysia tidak mempunyai masalah republik itu mengendalikan rumah api berkenaan bagi memastikan pintu masuk ke Laut China Selatan aman serta stabil.

Bagaimanapun,keadaan itu ingin ditukar Singapura apabila menuntut kedaulatan pulau itu, pada hal negara itu hanya pengendali rumah api, kedudukan yang dihormati Malaysia hingga kini.

Malaysia akan memulakan hujah lisan kes pusingan kedua pada Khamis ini bermula jam 3 petang (10 malam waktu Malaysia) dengan memberitahu mahkamah bahawa kes itu membabitkan hakmilik asal yang dipegang Kesultanan Johor sebelum 1824.
0 Komentar untuk "Analisis: Hujah dakwa Batu Puteh tak bertuan 'longgar'"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI