'Sembang biasa saja' dengan Azmin, kata PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

'Sembang biasa saja' dengan Azmin, kata PAS



Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi berkata, perbincangan beliau bersama Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali pagi tadi bukan mengenai kedudukan tiga exco parti Islam itu.

Sebaliknya, Sallehin yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak memberitahu, beliau bersama tiga exco lain hanya sembang perkara biasa mengenai program berkaitan kerajaan negeri.

"Tak ada, tak ada (cakap mengenai kedudukan exco PAS).

“Itu sembang biasa tentang beberapa program berkaitan kerajaan negeri sahaja," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Pagi tadi Malaysiakini melaporkan, Azmin dilihat mengadakan perbincangan serius dengan pemimpin tiga pemimpin PAS itu di Sekinchan.

Perbincangan itu diadakan sebelum ketibaan Sultan Sharafuddin dan dianggarkan berlangsung kira-kira 20 minit.

Azmin dan pemimpin kerajaan negeri berada di situ sempena lawatan rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemimpin PAS yang kelihatan duduk bersama Azmin ialah Sallehin, serta tiga exco negeri iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Zaidy: Berkaitan program sultan

Sementara itu,salah seorang exco kerajaan negeri yang turut bersama dalam perbincangan pagi tadi, Zaidy, memberitahu bahawa pertemuan dengan Azmin hanya mengenai program yang dihadiri Sultan Selangor.

"Ia berkaitan program Tuanku. Sembang-sembang santai sahaja tentang lawatan Tuanku," kata Zaidy.

Selepas PAS memutuskan menamatkan kerjasama politik dengan PKR, kedudukan tiga exco parti Islam itu dalam kerajaan negeri menjadi pertikaian ekoran terdapat desakan yang menggesa agar mereka digugurkan.

Azmin sebelum ini pernah bertemu dengan pemimpin PAS Selangor pada 12 Mei lalu bagi membincangkan tentang keputusan Majlis Syura Ulama tersebut.

PKR juga sudah mengarahkan anggotanya yang mendapat lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan serta-merta sebagai tanda tanggungjawab serta selaras dengan keputusan PAS memutuskan kerjasama politiknya.

PKR juga tidak membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan tiga exco berkenaan sebaliknya menyerahkan kepada Azmin sebelum sebarang keputusan dibuat.

0 Komentar untuk "'Sembang biasa saja' dengan Azmin, kata PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI