Pengasas negara bangsa - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pengasas negara bangsa

“Datuk Onn Ja’afar adalah seorang pejuang bangsa Melayu yang sanggup meninggalkan kesenangan hidup, mengetepikan kepentingan diri dan berjuang meredah segala kesukaran demi mengangkat maruah bangsa, agama dan negara.”

Itulah pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kata-kata aluan buku Onn Ja’afar Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa.

Kata-kata Perdana Menteri itu menggambarkan sepenuhnya siapa Allahyarham Onn yang merupakan pejuang terbilang dan wira bangsa.

Seorang yang bukan sahaja mapan sebagai ahli politik yang terkemuka tetapi turut tersohor sebagai pentadbir yang hebat, tokoh wartawan, ahli politik dan pejuang kemerdekaan.

Allahyarham Onn tidak dapat dipertikaikan sebagai pejuang terbilang dan wira Melayu yang terunggul kerana berjaya menyatukan orang-orang Melayu seluruh negara menentang gagasan Malayan Union dan menyelamatkan Tanah Melayu daripada terus menjadi tanah jajahan British.

Anak kepada Menteri Besar Johor pertama, Datuk Ja’afar Muhammad ini dilahirkan pada tahun 1895 tetapi mengikuti pelajaran peringkat rendah di England pada tahun 1902 iaitu ketika berusia tujuh tahun hingga tahun 1909. Namun pada usia 14 tahun, beliau kembali ke tanah air untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Setelah tamat pelajaran, Allahyarham telah berkhidmat di beberapa buah agensi kerajaan di Johor dan selanjutnya menyertai Johor Military Forces (JMF) pada tahun 1917.

Beliau seorang yang tegas dan tidak mudah mematuhi kehendak mahupun perintah yang dirasakan menindas.

Allahyarham berani membuat kritikan terhadap pegawai-pegawai British walaupun beliau hanya merupakan pegawai muda.

Buku Onn Ja’afar Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa juga memaparkan mengenai kritikan keras beliau kepada Sultan Johor mengenai layanan terhadap anggota tentera JMF hingga mengakibatkan Allahyarham dipecat daripada jawatan kerajaan dan dibuang daerah ke Singapura.

Buku ini memperincikan mengenai kehidupan Allahyarham di Singapura yang mencipta nama sebagai wartawan tersohor seperti di Warta Malaya dan Lembaga Malaya.

Sepanjang penglibatannya sebagai wartawan, Allahyarham Onn tidak berhenti-henti menggunakan masyarakatnya sebagai bahan tulisannya meliputi pelbagai aspek daripada soal kelemahan pelajaran sehinggalah kepada isu pelacuran di kalangan orang Melayu.

Peranan Allahyarham sebagai pendorong kebangkitan nasionalisme Melayu pada tahun 1930-an cukup menyerlah.

Tulisannya menyentuh pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi, pendidikan, budaya Melayu dan ancaman orang dagang terhadap ekonomi serta politik orang Melayu.

Allahyarham memperlihatkan kemampuannya sebagai seorang reformis serta pengkritik sosial dan politik Melayu yang cukup lantang.

Walaupun berbentuk buku meja kopi tetapi naskhah ini padat dengan cerita liku-liku kehidupan Allahyarham Onn semasa kecil, sebagai pegawai kerajaan dan gerakannya untuk menyatukan orang Melayu menentang Malayan Union.

Kepimpinan Allahyarham benar-benar teruji selepas pendudukan Jepun di mana sebagai pegawai daerah beliau berjaya mendamaikan konflik orang Melayu dan Cina di Batu Pahat angkara Parti Komunis Malaya.

Keunggulan Allahyarham sebagai pemimpin kebangsaan Melayu amat ketara apabila menggerakkan usaha untuk menentang gagasan Malayan Union pada 1946.

Melalui Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) yang ditubuhkan pada 1946, beliau dapat menyatukan orang Melayu di Batu Pahat yang tertekan akibat keganasan Bintang Tiga.

Lebih jauh daripada itu, beliau sebenarnya ingin menyatukan orang Melayu di Tanah Melayu bagi melahirkan perpaduan kebangsaan seluruh negara.

Buku ini memaparkan mengenai gerakan-gerakan yang dilakukan olah Allahyarham dalam menubuhkan UMNO dengan mengadakan Kongres Melayu Se- Malaya pertama pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur untuk membincangkan penubuhan sebuah pertubuhan politik peringkat kebangsaan.

Kongres itu sebulat suara melantik Allahyarham sebagai pengerusi dan ucapan-ucapannya sebagai pengerusi pertubuhan telah membangkitkan semangat perjuangan bangsa dan negara untuk menggagalkan penubuhan Malayan Union dan menebus maruah bangsa.

Allahyarham kemudian menggerakkan dua lagi Kongres di mana kongres ketiga yang diadakan di Istana Besar pada 11 Mei 1946 menyaksikan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditubuhkan secara rasmi dengan beliau merupakan yang dipertua pertama.

Kisah cita-cita beliau untuk menentang dan menggagalkan Malayan Union turut dipaparkan. Sebenarnya Onn juga mempunyai impian mahu melihat UMNO menjaga kepentingan dan hak istimewa orang Melayu, memajukan orang Melayu dalam semua bidang, mempertahankan agama Islam dan adat resam Melayu, memelihara kedaulatan sultan-sultan Melayu seterusnya menjamin kebebasan asasi rakyat dan mewujudkan kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan Melayu.

Buku edisi khas bergambar ini memaparkan Allahyarham Onn Ja’afar seorang insan istimewa dan permata yang telah menyinarkan kegemilangan bagi mencetuskan semangat, kesedaran dan perasaan kebangsaan dalam arus siasah dan sejarah kebangkitan negara bangsa.

Onn Ja’afar Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa menterjemah erti perjuangan, riwayat kehidupan beliau sendiri bagaikan falsafah lilin yang terus membakar diri sendiri demi menerangi orang lain.

Hakikat ini cukup jelas dengan menilai kesediaan Allahyarham melalui liku-liku penuh berduri untuk menentukan pegangannya sentiasa utuh walaupun terpaksa menentang arus serta melepaskan dahan yang rendang untuk berpaut.

Pemaparan perjuangan Allahyarham dalam buku ini merupakan penghargaan yang seharusnya diberikan kepada pejuang terbilang orang Melayu atas pengorbanan dan perjuangannya.

0 Komentar untuk "Pengasas negara bangsa"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI