Akta Tentera Pakistan dipinda -- * Kuasa tentera lebih meluas * Orang awam dibicara di mahkamah tentera - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Akta Tentera Pakistan dipinda -- * Kuasa tentera lebih meluas * Orang awam dibicara di mahkamah tentera


Benazir Bhutto menadah tangan berdoa ketika melawat makam Imam Ali Al-Hajweri atau Data Darbar di Lahore, semalam. – AP.

ISLAMABAD 11 Nov. – Presiden Pervez Musharraf hari ini meminda undang-undang bagi memberikan kuasa meluas kepada mahkamah tentera untuk membicarakan orang awam atas pelbagai tuduhan termasuk mengkhianat dan mencetuskan kekacauan awam.

Keputusan itu diumumkan oleh kerajaan sebelum Pervez mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan pembubaran Parlimen pada Khamis ini untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan sebelum atau pada 9 Januari depan.

Pervez yang enggan menarik balik perintah darurat itu berkata, undang-undang darurat itu penting bagi memastikan pilihan raya tersebut akan diadakan dalam suasana adil dan telus.

Langkah meminda undang-undang bagi memberi kuasa luas kepada tentea itu diambil seminggu selepas Pervez mengenakan perintah darurat berkenaan atas alasan memerangi puak militan pada 3 November lalu.

Namun sasaran sebenar tindakan pihak berkuasa setakat ini ialah mereka yang paling lantang mengkritik Pervez, termasuk badan kehakiman yang semakin bebas dan pihak media.

Beribu-ribu orang telah ditangkap, stesen berita televisyen ditutup dan hakim dipecat.

Semalam, tiga wartawan akhbar Britain, Daily Telegraph diusir dari negara ini kerana lidah pengarang dalam akhbar itu menggunakan kata makian untuk merujuk kepada Pervez.

Bagaimanapun, keputusan Pervez untuk meminda Akta Tentera Pakistan, seperti yang disahkan oleh Peguam Negara Malik, Mohammed Qayyum hari ini, dijangka menimbulkan lagi kebimbangan.

Pindaan itu akan membenarkan mahkamah tentera membicarakan sesiapa yang dituduh mengkhianat, menghasut atau “mengeluarkan kenyataan yang menggalakkan kekacauan awam.”

Pada teorinya, mereka yang boleh menghadapi tindakan mengikut pindaan itu termasuklah pemimpin pembangkang, Benazir Bhutto yang berikrar tidak akan menghiraukan perintah yang mengharamkan perhimpunan awam.

Benazir merancang untuk mengetuai perarakan besar-besaran sejauh 275 kilometer dari bandar Lahore, timur negara ini, ke ibu negara, Islamabad pada Selasa ini.

“Apabila rakyat berganding bahu, bunyi tapak kaki mereka akan menenggelamkan bunyi but tentera,” kata bekas Perdana Menteri itu kepada ratusan penyokong semalam, beberapa jam selepas beliau dibebaskan daripada tahanan 24 jam di rumah.

Berucap kepada penyokong menerusi pembesar suara, Benazir mendakwa puak Taliban dan Al-Qaeda menguasai semakin banyak kawasan di barat laut negara ini.

Beliau juga meramalkan kerajaan pimpinan Pervez di ambang keruntuhan.

“Kerajaan ini hanya berdiri dengan sebelah kaki dan akan tumbang tidak lama lagi,” kata Benazir.

– AP

0 Komentar untuk "Akta Tentera Pakistan dipinda -- * Kuasa tentera lebih meluas * Orang awam dibicara di mahkamah tentera"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI