Pendekatan Pak Lah rapatkan keluarga Umno - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pendekatan Pak Lah rapatkan keluarga Umno

Oleh Kadir Dikoh

KETIKA bersalam dengan wartawan di bilik media Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sebelum acara menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno Jumaat lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi , seperti biasa tidak menolak ajakan untuk sesi bergambar.

Presiden Umno kelihatan ceria dan kadang-kala berjenaka, menyebabkan wartawan yang sentiasa sibuk sepanjang perhimpunan, berasa seperti tidak berdepan dengan seorang Perdana Menteri, kerana perwatakan Pak Lah lebih sebagai 'seorang bapa'.

"Lembutnya tangan Pak Lah, tak sangka PM begitu mesra sekali," kata wartawan muda yang buat kali pertama bersalam dan berdepan dengan Pak Lah. "Bila Pak Lah tepuk bahu, saya terkejut besar... bagaikan sentuhan seorang bapa kepada anaknya," kata wartawan lelaki berusia 20-an itu.


Menurut penganalisis politik, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, sikap kebapaan Pak Lah dan sentiasa memberi layanan adil kepada semua orang, menyebabkan rakyat dan ahli Umno berasa lebih selesa dengan kepemimpinannya.

"Sekarang ini kita sudah tidak dengar wujudnya kem itu dan kem ini dalam Umno. Malah Umno kini sudah kembali bersatu, tiada perbalahan berlaku sama ada di peringkat pusat atau negeri. Sudah berlaku penerimaan menyeluruh terhadap kepemimpinan Pak Lah.

"Era kepemimpinannya sejak empat tahun lalu sudah mengubah suasana. Kita tidak mendengar kem Najib atau kem Pak Lah, semuanya satu. Saya boleh katakan bahawa Umno kini berada dalam perpaduan yang amat kukuh," katanya yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).


Ketika negara sedang berhadapan pilihan raya umum tidak lama lagi dan hanya Pak Lah boleh menentukan tarikhnya, Umno sememangnya sudah berada dalam keadaan bersiap sedia.

Malah, perhimpunan agung parti itu minggu lalu menyerlahkan betapa perpaduan dalam Umno kian utuh, menyebabkan mereka yang dipilih untuk perbahasan, rata-ratanya menyuarakan mengenai kepentingan dan hak orang Melayu, betapa perpaduan termasuk di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu dipelihara.

Mohd Annuar yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata ucapan dasar Pak Lah menyentuh mengenai tiga perkara utama iaitu kestabilan sosial, pelan ekonomi dan sistem politik perundingan yang diamalkan dalam BN.

"Jika kita berpegang kepada tiga tonggak ini, insya-Allah kita akan berjaya, malah menjadi kunci kepada kejayaan untuk tempoh 50 tahun akan datang. Malah, kekuatan Umno hari ini ialah kerana pendekatan kebapaan Pak Lah seperti yang saya sebut itu.

"Pendekatan kekeluargaan inilah diamalkan Pak Lah. Dalam keluarga kita tidak bergaduh dan apabila Pak Lah menggunakan pendekatan kekeluargaan dalam Umno, hari ini kita tengok tiada pergaduhan dalam parti," katanya.

Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim, pula berkata Pak Lah menyampaikan dua mesej penting ketika perhimpunan parti minggu lalu iaitu usaha membangunkan orang Melayu dari segi ekonomi supaya lebih bersedia menghadapi cabaran bagi melonjakkan kedudukan mereka dan peranan Umno itu sendiri.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, peranan Umno amat penting bagi mewujudkan kerajaan yang kuat dan memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Presiden parti juga mahu dimantapkan lagi hubungan dalam parti komponen BN dan memastikan ahli Umno terus menyokong kerajaan, bukan bertindak untuk melaga-lagakan pemimpin parti. Yang jelas ialah kelantangan Perdana Menteri yang begitu tegas mengingatkan pembangkang bahawa beliau pantang dicabar.

"Saya sendiri belum pernah mendengar ketegasan sebegini daripada Pak Lah," katanya merujuk kepada amaran Pak Lah mengenai perhimpunan haram anjuran pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Merdeka, kelmarin.

Ini memberi keyakinan kepada ahli parti yang kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya dan sebab itu juga, kebanyakan pembahas di perhimpunan agung parti kali ini lebih cenderung kepada isu mengenai peranan Umno dan orang Melayu bagi memacu kejayaan yang lebih gemilang.

Beliau berkata, ahli Umno percaya parti perlu memperkukuhkan jentera pilihan raya dan berhadapan pembangkang dalam keadaan yang lebih bersedia. Bila semua ahli parti tahu perkara yang perlu dilakukan, dan apa yang nak dilaksanakan, tiada timbul lagi puak kem mana dalam parti. "Malah, tidak timbul masalah pada peringkat tertinggi parti dan hanya pengikut bawahan bercakap berbau kumpulan," katanya.

Bagaimana pula dengan Pergerakan Wanita Umno? Sepanjang perbahasan di perhimpunan pergerakan itu Selasa lalu, tiada perwakilan menyentuh secara langsung mengenai kemungkinan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said akan menentang Datuk Seri Rafidah Aziz bagi jawatan ketua.

Bagi mereka, isu itu tidak perlu diketengahkan meskipun tidak kurang juga menyentuh mengenai perkara itu di luar dewan. Tetapi pencalonan awal Umno Bahagian Cheras mencalonkan Azalina menentang Rafidah, mungkin menjadi pendorong kepada beberapa perwakilan untuk menyatakan sokongan padu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Selain Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dari awal menyatakan kesetiaan kepada Rafidah, Ketua Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Sadique turut memberi ikrar sokongan. Malah Shahrizat sendiri memberi amaran betapa jangan ada mana-mana pihak 'menjolok sarang tebuan' kerana sengat tebuan cukup berbisa.

Wakil Majlis Tertinggi, Datuk Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada akhir perhimpunan pergerakan itu mengajak kesemua perwakilan untuk memberikan 'standing ovation' kepada gandingan mantap Rafidah dan Shahrizat selama kira-kira tiga minit sambil diiringi tepukan gemuruh.

Mesej utama yang disampaikan Rafidah kepada ahli pergerakan berkenaan ialah pentingnya perpaduan dalam pergerakan itu dan jangan sekali-kali ada ahlinya menjadikan wanita Umno sebagai punca masalah, ada musuh dalam selimut serta betapa kedudukan pergerakan Wanita Umno itu sendiri amat penting sebagai pejuang utama kepada agenda wanita di negara ini.

Sumber berkata, Halimah berminat untuk bertanding jawatan nombor dua dalam pergerakan itu jika ada kekosongan. Ini bermakna, beliau mahu menjadi orang nombor dua kepada Shahrizat apabila Rafidah mengundur diri nanti.

Azalina pula perlu membuat perhitungan dengan sebaik mungkin dan kelebihannya ialah, beliau pernah memimpin Puteri dan sebahagian ahli Puteri ketika pimpinannya sudah menyertai Wanita Umno, tetapi jumlahnya belum begitu ramai.

Malah, Ketua Puteri Umno sekarang, Datuk Noraini Ahmad yang baru saja menyambut ulang tahun ke-40 kelahiranya, Rabu lalu akan turut melepaskan jawatan itu kerana lebih had umur menjelang pemilihan parti akan datang.

Azalina dan Noraini boleh memilih untuk terus memasuki badan induk parti pada peringkat bahagian tanpa perlu menerusi Wanita, tetapi lebih elok lagi jika langkah mereka seterusnya memasuki Wanita.

Pemimpin Wanita sekarang tidak boleh memandang enteng kekuatan Azalina dan Noraini, kerana untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang, ramai ahli Puteri akan menyertai Wanita setelah lebih had umur dan dari situlah bermulanya landasan untuk kedua-duanya menaiki tangga Pergerakan Wanita.

Penulis ialah Pengarang Rencana dan Laporan Khas, Berita Harian

0 Komentar untuk "Pendekatan Pak Lah rapatkan keluarga Umno"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI