AS: Chavez-Zapatero bertikam lidah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

AS: Chavez-Zapatero bertikam lidah

SANTIAGO 11 Nov. – Raja Sepanyol, Juan Carlos menyuruh Hugo Chavez ‘diam’ selepas Presiden Venezuela itu berkali-kali mengutuk bekas Perdana Menteri Sepanyol, Jose Maria Aznar sebagai seorang ‘fasis’.

Chavez yang menggelar Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush sebagai ‘syaitan’ di dewan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, memulakan pertikaman lidah dengan melemparkan kata-kata pedas terhadap Aznar yang pernah membidas Presiden Venezuela itu.

Aznar yang merupakan sekutu rapat Bush semasa menjadi Perdana Menteri adalah seorang ‘fasis’, kata Chavez dalam ucapan pada sidang kemuncak Ibero-Amerika di sini.

“Fasis bukan manusia, malah seekor ular lebih bersifat manusia,” kata Chavez.

Perdana Menteri Sepanyol sekarang, Jose Luis Rodriguez Zapatero apabila tiba giliran berucap, menggesa Chavez bersikap lebih diplomatik dalam ucapan beliau dan menghormati pemimpin lain.

“Aznar dipilih secara demokratik oleh rakyat Sepanyol dan mewakili rakyat Sepanyol secara sah.

“Presiden Hugo Chavez, saya fikir dalam sebarang dialog ada prinsip asas iaitu menghormati dan dihormati, dan kita perlu berhati-hati agar tidak melemparkan kata-kata penghinaan,” kata Zapatero dengan disambut tepukan daripada 17 ketua negara lain.

Chavez berkali-kali cuba mencelah tetapi mikrofon beliau ditutup.

Juan Carlos yang duduk bersebelahan Zapatero dengan marah berpaling kepada Chavez lalu berkata:

“Mengapa awak tidak diam?”

Pemimpin Venezuela itu tidak terus menjawab, tetapi kemudian menggunakan masa yang diperuntukkan kepadanya oleh sekutu rapat, Presiden Nicaragua, Daniel Ortega untuk membalas ucapan Zapatero.

“Saya tidak menghina sesiapa dengan bercakap benar.

“Kerajaan Venezuela berhak untuk membalas sebarang serangan di mana sahaja, dalam mana-mana forum, dan dengan sebarang nada,” tegas Chavez.

– AP

0 Komentar untuk "AS: Chavez-Zapatero bertikam lidah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI