Ketua perundangan Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina mati dibunuh - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ketua perundangan Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina mati dibunuh

MANILA 11 Nov. – Ketua Jabatan Perundangan Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, Alioden Dalaig, 64, ditemui mati dibunuh malam tadi dengan kesan satu das tembakan di dadanya.

Akhbar Philippine Star hari ini melaporkan, Dalaig ditemui terbaring di hadapan sebuah hotel di sini dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Polis masih menyiasat motif pembunuhan tersebut tetapi mengaitkannya dengan kerja Dalaig yang bertanggungjawab menyiasat tuduhan penipuan terhadap mana-mana calon pilihan raya.

Jurucakap suruhanjaya tersebut, James Jimenez yang enggan membuat tekaan terhadap motif pembunuhan itu menyatakan, keluarga dan rakan Dalaig masih menunggu keputusan rasmi bedah siasat mayatnya.

“Kematian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Beliau telah 30 tahun bekerja bersama suruhanjaya ini dan sepatutnya bersara tidak lama lagi,” katanya.

Dalaig sebelum ini dikatakan pernah menjadi sekutu rapat kepada Virgilio Garcillano yang dituduh membantu mengatur keputusan pilihan raya pada Mei 2004 bagi memihak kepada Presiden Gloria Arroyo.

Walaupun Arroyo tegas menyangkal dakwaan tersebut, pendedahan satu rakaman audio yang dikatakan perbualan antara Arroyo dan Garcillano oleh pihak pembangkang telah menyebabkan imej Presiden itu merudum di kalangan rakyat negara ini.

– AFP

0 Komentar untuk "Ketua perundangan Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina mati dibunuh"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI