Memajukan ekonomi bersama melalui perikanan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Memajukan ekonomi bersama melalui perikanan

Rencana Pengarang
MALAYSIA datang ke Sidang Kemuncak Keempat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina dan Sidang Kemuncak Ketiga Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia- Malaysia-Thailand kelmarin dengan membawa satu idea baru dan konkrit.

Negara kita mencadangkan supaya sebuah syarikat perikanan laut dalam ditubuhkan secara usaha sama membabitkan usahawan Malaysia, Thailand, Filipina, Brunei dan Indonesia.

Dengan wujudnya perkongsian strategik bidang perikanan ini, dapatlah nelayan dari negara terbabit meneroka khazanah maritim yang begitu luas di rantau Asia Tenggara tanpa sebarang masalah.

Kita berharap cadangan ini akan disambut baik oleh pemimpin kerajaan negara ASEAN terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melontarkan idea ini demi faedah memajukan ekonomi secara bersama.

Sekiranya wujud persefahaman antara kerajaan dan usahawan ASEAN untuk menubuhkan syarikat tersebut, Malaysia mungkin sedia membenarkan aktiviti tangkapan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara ini. Kawasan EEZ Malaysia meliputi perairan Laut China Selatan, Laut Sulu dan perairan di sekitar Pulau Layang-Layang dan Spratly.

Sehubungan itu, kita juga mengharapkan, kebenaran yang sama dapat diberi kepada kapal-kapal dari syarikat kerjasama ini untuk memasuki perairan negara jiran yang terbabit nanti.

Di samping itu, melalui kerjasama syarikat usaha sama ini, kita dapat menambah nilai sektor perikanan sesuai dengan rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Rancangan Malaysia Kesembilan untuk mengubah nasib nelayan.

Dalam konteks Malaysia, oleh kerana perikanan laut dalam masih belum diterokai sepenuhnya maka nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan kita. Ini berlaku kerana nelayan tempatan masih tidak menguasai perikanan laut dalam.

Keadaan itu mungkin tidak berlaku jika nelayan kita dapat mewujudkan kerjasama dengan usahawan perikanan ASEAN dalam meneroka perikanan laut dalam.

Dengan wujudnya syarikat perikanan laut dalam secara bersama ini, secara tersirat masalah pencerobohan nelayan asing mungkin dapat dikawal dan seterusnya dikurangkan.

Kita yakin jika cadangan ini direalisasikan dalam masa terdekat, sektor perikanan negara akan mengalami lonjakan besar.

Sebelum itu, kita perlu memastikan industri perikanan laut dalam di negara ini diberi nafas baru. Kita mahu kerajaan mengubah minda para nelayan pesisir pantai memandangkan kekayaan hasil laut di kawasan pantai semakin berkurang.

Kalau sektor perikanan masih tertumpu kepada tangkapan pesisir pantai, maka kita bimbang tangkapan di laut dalam yang nilainya lebih tinggi akan dikaut oleh nelayan asing.

Kerjasama melalui syarikat usaha sama perikanan laut dalam adalah salah satu jawapan untuk mengubah keadaan ini.

0 Komentar untuk "Memajukan ekonomi bersama melalui perikanan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI