Hala tuju Piagam ASEAN - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hala tuju Piagam ASEAN

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN (Di SINGAPURA)


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo menandatangani Piagam ASEAN sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (kanan) dan Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh (kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 di Singapura, semalam.

ASEAN yang kini berusia 40 tahun melakar pencapaian tersendiri apabila secara rasmi menandatangani piagam yang memberikan perkumpulan 10 negara itu identiti perundangan mengikut acuannya.

Detik bersejarah itu yang sepatutnya menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 di Singapura, bagaimanapun sedikit tercalar apabila isu Myanmar mendominasi perbincangan menteri-menteri luar yang sepatutnya merumuskan draf akhir Piagam ASEAN sehari sebelum ia ditandatangani oleh semua ketua kerajaan semalam.

Sememangnya Myanmar sentiasa berada di dalam teropong masyarakat antarabangsa, tetapi tindakan Singapura menguar-uarkan kehadiran Ibrahim Gambari, wakil khas Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi taklimat kepada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ketiga di republik itu, umpama menabur gula kepada media asing dan pemantau hak asasi manusia.

Ironinya niat baik tuan rumah untuk menjuarai isu Myanmar yang memang selama ini menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pertubuhan rantau tersebut dengan menjemput Gambari – membayangi rekod baik penganjuran sidang kemuncak kali ini apabila cadangan itu ditolak oleh ASEAN.

Perbincangan tidak rasmi pada makan malam ketua-ketua negara sebelum sidang berlangsung berlarutan hingga 11.30 malam dan akhirnya Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang juga Pengerusi ASEAN perlu membuat sidang akhbar dan disertai ketua-ketua negara tanpa kehadiran Perdana Menteri Myanmar, Thien Sein bagi mengumumkan pembatalan taklimat oleh Gambari itu.

Memang tidak salah bagi Singapura hendak mendapatkan perkembangan terkini keadaan di Myanmar malah negara-negara anggota seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia pun tidak ada masalah jika Singapura mahu mengundang Gambari.

Apa yang tidak kena ialah wakil PBB itu dijemput untuk memberi taklimat kepada EAS - yang terdiri daripada ASEAN bersama enam rakan dialog China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Malah, Perdana Menteri China, Wen Jiabao dalam pertemuan dengan Hsien Loong sebelum bermulanya sidang kemuncak semalam, mahu krisis Myanmar ‘dilepaskan’ kepada pejabat badan dunia itu kerana percaya sokongan patut diberikan kepada PBB mengusahakan penyelesaian isu negara itu.

Sebagai pertubuhan rantau yang turut menaungi Myanmar, kehadiran seorang wakil pertubuhan lain, sungguhpun mewakili badan dunia sehebat PBB untuk memberi taklimat mengenai perkembangan anggotanya sendiri – bukan cara ASEAN.

Dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota menjadi pegangan pertubuhan rantau itu sejak ditubuhkan pada Ogos 1967 dan prinsip itu jugalah yang diguna pakai ketika merangka Piagam ASEAN – walaupun mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Myanmar telah memutuskan untuk menerima wakil PBB bagi merundingi konflik pemerintah negara itu dengan gerakan prodemokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi – dan ASEAN menghormati keputusan tersebut.

Seperti kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen: “Sekatan tidak akan membunuh pemimpin junta tentera sebaliknya hanya menghukum rakyat Myanmar.”

Sehubungan itu, ASEAN lebih berminat memberi tumpuan memakmurkan rantau melalui pemeteraian piagam dan dokumen berkaitan termasuk tiga yang ditandatangani oleh ketua-ketua negara semalam - Kerangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Deklarasi mengenai Alam Sekitar Mapan dan Deklarasi mengenai Perubahan Iklim.

Walaupun peristiwa penting dalam kalendar empat dekad ASEAN sedikit tercalar apabila isu Myanmar mendominasi perbincangan peringkat menteri-menteri luar malah berlarutan ke majlis makan malam ketua-ketua kerajaan, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 tetap tidak beralih tumpuan dalam meraikan detik bersejarah yang mengubah personalitinya menjadi lebih mantap - bukan lagi satu organisasi rantau yang longgar dan hanya berasaskan persefahaman dan perjanjian tertentu semata-mata.

Signifikannya Piagam ASEAN akan meletakkan wibawa kepada pertubuhan rantau berkenaan dalam menghadapi cabaran pengintegrasian, hubungan luar dan kepesatan globalisasi dengan menyediakan kerangka kerja serta asas perundangan untuk ASEAN menstruktur semula mekanisme sedia ada dan memperbaiki proses membuat keputusan menjadi lebih efisien.

Memperkukuh

Artikel 11 di bawah piagam yang memperuntukkan empat jawatan timbalan setiausaha agung dengan status timbalan menteri selain tambahan staf lengkap dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan akan memperkukuh Setiausaha Agung dan Sekretariat ASEAN untuk merealisasikan matlamat pembentukan ‘perlembagaan’ ASEAN itu.

Di sebalik kecaman antarabangsa terhadap Myanmar dan pendirian ASEAN untuk tidak ‘menghukum’ negara itu berhubung isu hak asasi manusia, piagam itu sepatutnya menambah keyakinan pihak luar untuk memuktamadkan urusan dengan ASEAN kerana ia melambangkan kesungguhan negara anggota untuk bersatu di bawah satu visi, identiti dan komuniti.

Selain menetapkan matlamat melindungi alam sekitar dan hak asasi manusia rantau ini, piagam juga menggariskan komitmen negara anggota untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan rantau bagi memelihara kedudukan Asia Tenggara sebagai zon bebas nuklear; memperkukuh demokrasi; menghormati kedaulatan wilayah dan identiti masing-masing; membasmi kemiskinan dengan mengurangkan jurang antara ekonomi ASEAN menerusi pembangunan dalam pelbagai bidang.

Piagam turut menegaskan dasar tidak campur tangan ASEAN dalam hal ehwal dalaman negara anggota. Bagaimanapun, di bawah Bab Keanggotaan yang menyentuh isu hak dan tanggungjawab, setiap negara anggota mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama untuk mengambil apa jua langkah yang sewajarnya bagi mematuhi piagam termasuk menguatkuasakan undang-undang dalam negara masing-masing.

Dalam hal ini, peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin ASEAN lain dalam nada serupa bahawa piagam tersebut tidak sepatutnya disempitkan kepada jurus pandang isu hak asasi manusia dan proses demokrasi di Myanmar sahaja sebaliknya diperluaskan meliputi perspektif lain, amat tepat.

Ini kerana piagam 13 bab dalam 40 halaman itu mencakupi wawasan pertubuhan rantau itu menjadi lebih fokus dan dinamik ke arah mewujudkan komuniti ekonomi dan kawasan perdagangan bebasnya sendiri menjelang 2015 dan lebih jauh lagi menjadi sebuah kuasa ekonomi yang kukuh - menyamai blok Kesatuan Eropah (EU).

0 Komentar untuk "Hala tuju Piagam ASEAN"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI