Monsoon Cup jana ekonomi Terengganu - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Monsoon Cup jana ekonomi Terengganu

Oleh Kamal Ahmad

DI SEPANYOL, kerajaan membelanjakan 1 bilion euro (kira-kira RM5 bilion) untuk menyediakan infrastruktur di Valencia selaku lokasi pertandingan perahu layar America’s Cup, setiap empat tahun sekali. Pasukan yang bertarung cuma dua pasukan. Apakah rasional perbelanjaan sebesar itu? Kini, Valencia mencatat kedatangan lima juta pelancong setahun terutama yang mengunjungi lokasi pertandingan perahu layar paling klasik dan berprestij di dunia.

Matlamat sama juga disasarkan apabila Kerajaan Terengganu membina Kelab Teluk Warisan (HBC) dengan kos keseluruhan RM200 juta (EU$40 juta) dan membida satu daripada siri pertandingan perahu layar antarabangsa - World Match Racing Tour (WMRT) menerusi Monsoon Cup.

Hasilnya, pada tahun pertama (2005) selaku tuan rumah Monsoon Cup, Terengganu meraih pendedahan media bernilai RM73 juta, RM123 juta (2006), RM150 juta (2007) dan disasarkan RM200 juta pada 2008.

Motif dan pemikiran sama juga yang mendorong kerajaan membina litar F1 di Sepang dan siaran acara lumba kereta itu ditonton 500 juta penonton di seluruh dunia. Terbaru, Monsoon Cup 2007 dijadualkan berlangsung di HBC, Pulau Duyong pada 1 dan 2 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, berkata projek HBC dan Monsoon Cup mencetuskan penyebaran maklumat ke seluruh dunia kerana pertandingan perahu layar sembilan siri itu mendapat liputan antarabangsa sekali gus platform mudah mempromosi Terengganu ke persada dunia.

Siri WMRT mencetuskan segmen siaran selama 155 jam dan ditonton 426 juta orang di seluruh dunia. Liputan Monsoon Cup untuk Asia menerusi ESPN Star selain 13 saluran sukan stesen TV untuk siaran di United Kingdom, Eropah, Eropah barat dan timur, Belanda, Portugal, Asia Barat, Asia, negara Scandinavia, New Zealand, negara Latin dan Amerika Selatan, Afrika, Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

Namun, beliau berkata, impak lain dan yang tersirat di sebalik Monsoon Cup ialah penukaran pemikiran masyarakat tempatan yang selama ini menunggu kedatangan musim tengkujuh dengan resah. Melalui musim hujan itu dengan kepayahan. Kemudian menjalani kehidupan selepas tengkujuh dengan beban.

“Monsoon Cup bukan setakat perlumbaan perahu, tetapi menukar persepsi musim tengkujuh yang masih boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana ekonomi khususnya bidang pelancongan.

“Ia juga bukti sektor pelancongan tidak lagi bermusim di Terengganu. Monsoon Cup berjaya menukar persepsi bahawa musim tengkujuh bukan untuk berdiam diri di rumah. Kalau di negara sejuk, mereka memakai pakaian tebal ketika musim salji. Jadi di sini, kita menggunakan payung dan baju hujan ketika tengkujuh untuk meneruskan kegiatan seharian,” katanya yang juga Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd (T-Best), syarikat yang menganjurkan Monsoon Cup.

Justeru, syarikat swasta diminta lebih kreatif untuk menganjurkan sukan, acara dan program yang bersesuaian dengan musim tengkujuh atas hakikat bahawa ‘Allah mencipta sesuatu dengan tiada pembaziran’.

Wan Hisham berkata, kesan Monsoon Cup dalam sektor ekonomi mula ketara dengan kehadiran pelabur Eropah yang akan menandatangani perjanjian membeli 20 bot mewah dengan sebuah syarikat tempatan bernilai EU$180 juta (RM900 juta) atau RM45 juta tiap seunit.

“Limbungan ini dijangka dibina di Seberang Takir di Kuala Terengganu, tahun depan. Kontrak pembinaan selama lima tahun dan projek ini dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 3,000 penduduk tempatan. Ia tidak termasuk kemunculan industri dan khidmat sokongan kepada limbungan itu serta kontrak lain yang bakal diperoleh syarikat berkenaan.

“Peluang kerja juga semakin banyak apabila pusat marina HBC semakin pesat. Dengan mengikat kontrak selama lapan tahun mulai 2005, Pulau Duyong, Seberang Takir dan Kuala Terengganu bakal menikmati limpahan masuk pelaburan asing terutama pelancongan serta sektor pembinaan kapal kayu tradisional yang kini terkenal di dunia,” katanya.

Berbanding kos pelaburan membangunkan HBC bernilai RM200 juta, dalam tempoh 2005 dan 2006 saja, Terengganu menikmati kesan media bernilai RM196 juta, manakala anggaran tahun ini dan 2008 ialah RM350 juta. Nilai itu pasti meningkat selepas tempoh berkenaan sehingga 2012 apabila kontrak dengan WMRT tamat.

“Apabila syarikat dari Eropah yakin, ia membuktikan kita kompetitif dan mampu menghasilkan produk berkualiti,” katanya.

Justeru, Wan Hisham meminta rakyat khususnya di Terengganu tidak wajar mencurigai dan was-was dengan projek HBC. Ia ternyata dirancang penuh teliti, mengambil kira pandangan dan kepentingan rakyat serta berupaya menjadi hab kepada pertumbuhan industri khususnya pembinaan perahu dan kapal serta pelancongan sukan yang memberi peluang kerja dan perniagaan kepada ribuan penduduk tempatan.

“Namun, kerajaan negeri menerima hakikat bahawa setiap pembaharuan dan projek dilaksanakan akan dijadikan isu. Kini semua anggapan buruk itu semakin terhakis. Mereka mengakui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ini akan menjana ekonomi,” katanya.

Keupayaan T-Best selaku penganjur Monsoon Cup juga mendapat pengiktirafan WMRT apabila mengisytiharkan acara di HBC sebagai acara terbaik pertandingan itu bagi 2005 dan 2006. Pertandingan di Pulau Duyong itu juga menawarkan hadiah paling mahal bernilai RM1 juta (AS$276,000).

Jika rekod dan prestasi baik T-Best mampu dikekalkan pada masa depan, maka Terengganu mesti melobi untuk mendapat kontrak penganjuran selepas 2012. Ia juga bakal menyukarkan WMRT untuk menafikan bidaan Terengganu selepas tamat kontrak kelak. Malah jika Terengganu berani dan proaktif, T-Best boleh untuk membida lokasi lain dalam siri WMRT atau menguasai sepenuhnya penganjurannya pada masa akan datang.
0 Komentar untuk "Monsoon Cup jana ekonomi Terengganu"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI