3,416 tahanan dibebas - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

3,416 tahanan dibebas



SUARA BANTAHAN: Wartawan Pakistan mengenakan rantai besi pada tunjuk perasaan membantah kerajaan menyekat kebebasan media di Lahore, semalam. Polis menahan lebih 140 pekerja media.

Musharraf cari pengaruh, tunduk kepada desakan Amerika

ISLAMABAD: Pakistan sudah membebaskan 3,416 orang, termasuk peguam dan aktivis yang ditahan mengikut perintah darurat yang diisytiharkan Presiden Pervez Musharraf yang akan disusuli pembebasan seramai 2,000 yang lain tidak lama lagi, kata Kementerian Dalam Negerinya semalam.

Berita pembebasan itu dibuat ketika Musharraf, dalam kunjungan pertamanya selepas perintah darurat 3 November lalu, berlepas ke Arab Saudi untuk berunding dengan Raja Abdullah manakala salah seorang tahanan berpengaruh, legenda kriket dan pemimpin pembangkang, Imran Khan meneruskan mogok laparnya untuk hari kedua berturut-turut.


Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan, Qazi Muhammad Farooq pula dalam satu kenyataan yang melalui televisyen, mengesahkan pilihan raya umum diadakan 8 Januari depan.

"Kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahu pun tempatan sudah membebaskan 3,416 yang lain termasuk pekerja politik dan peguam. Seramai 2,000 orang pula akan dibebaskan tidak lama lagi," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Javed Cheema.

Ini katanya, menjadikan cuma beberapa tahanan saja yang bakal berdepan tuduhan jenayah atau membayar ikat jamin di mahkamah sebagai syarat pembebasan.


Tindakan Islamabad itu menyusuli desakan Timbalan Setiausaha Negara Amerika John Negroponte yang berada di negara Islam itu, supaya semua tahanan berkenaan dibebaskan serta menguatkuasa Perlembagaan dan mengadakan pilihan raya adil.

Semua tahanan itu ditangkap selepas Musharraf memerintahkan darurat dan kebanyakan mereka adalah peguam, aktivis hak asasi manusia dan anggota pembangkang termasuk parti pimpinan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif.

Sementara itu, kunjungan Musharraf ke Riyadh itu dibuat sehari selepas Mahkamah Agung bertindak menolak lima daripada enam petisyen membantah pelantikan semula Panglima Tentera itu sebagai Presiden negara itu yang sekali gus memberi kemenangan kepadanya.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan imej Musharraf dihantar oleh bakal Panglima baru, Jeneral Ashfaq Kiyani dan Perdana Menteri sementara Mohammedmian Soomro di sebuah pangkalan tentera dekat Islamabad.

Musharraf, selain diketahui sebagai sekutu Amerika, turut mempunyai hubungan akrab dengan Saudi yang menjadi 'negara' bekas Perdana Menteri Pakistan yang hidup dalam buangan termasuk Nawaz. Tetapi Musharraf sebaliknya tidak dijangka menemui Nawaz yang disingkirkannya menerusi rampasan kuasa tentera secara aman pada 1999. Penganalisis berkata Musharraf mungkin meminta Saudi membenarkan Nawaz berada lebih lama di negara Arab berkenaan.

"Musharraf melawat Arab Saudi atas tujuan hubungan dua hala membabitkan rundingan kerjasama ekonomi dan keselamatan. Pertemuan dengan Nawaz tiada dalam agendanya," kata pegawai kanan Pakistan. - AP/AFP

FAKTA NOMBOR Tahanan darurat

5,416 - Jumlah keseluruhan
2,000 - Akan dibebas

0 Komentar untuk "3,416 tahanan dibebas"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI