LIKE FACEBOOK

ISU SEMASA

Popular Posts

Wednesday, November 21, 2007

Piagam bukti Asean lebih kuat, matang

SIDANG Kemuncak Asean ke-13 di Singapura semalam melahirkan satu gagasan baru apabila semua 10 negara anggotanya menandatangani persetujuan untuk mewujudkan Piagam Asean bagi mewujudkan mekanisme hak asasi manusia di rantau ini serta membentuk satu landasan perundangan dan mengubah wajahnya daripada satu himpunan longgar negara serantau kepada yang terikat dengan peraturan. Ia juga bertujuan menjadikan Asean lebih relevan dan kuat dalam menghadapi isu semasa pada peringkat serantau dan global. Piagam itu menggariskan prinsip pegangan Asean selain menubuhkan sebuah badan hak asasi manusia di negara serantau, mengukuhkan Sekretariat Asean di Jakarta serta menetapkan kriteria kemasukan anggota baru dan bagi menyelesaikan pertikaian. Selepas berfungsi selama 40 tahun sebagai pertubuhan serantau yang berjaya, sudah sewajarnya Asean mempunyai piagamnya sendiri yang menggariskan pegangan serta peraturan dalam menentukan tindakan. Selepas ditandatangani hari ini, piagam itu perlu pula mendapat pengesahan daripada setiap negara anggota yang dijangka mengambil masa setahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mahu semua pihak melihat Piagam Asean dalam konteks lebih luas dan tidak mengaitkannya dengan perkembangan politik di Myanmar, walaupun ekoran tindakan kerasnya mematahkan perhimpunan antikerajaan September lalu, negara itu mungkin menjadi halangan kepada Asean dalam mendapatkan persetujuan menyeluruh.

Apa yang penting, piagam itu adalah elemen yang dapat membantu meningkatkan kerjasama di kalangan negara Asean dalam ekonomi dan bidang lain. Seperti kata Perdana Menteri, piagam yang memberi identiti perundangan kepada Asean itu adalah satu dokumen penting untuk Asean memperkasakan diri menghadapi persaingan dan menjadikan negara anggota Asean lebih bersatu serta mempunyai kekuatan sebagai satu wilayah untuk bersaing dengan kuasa ekonomi dunia. Walaupun piagam itu bermatlamat menegakkan demokrasi dan urus tadbir yang baik, kita percaya Asean masih mengekalkan pendekatan untuk tidak campur tangan dalam apa juga yang berlaku di negara lain termasuk isu hak asasi manusia dan demokrasi di Myanmar walaupun menyedari apa yang berlaku di negara itu adalah bebanan kepada anggota Asean. Dalam konteks ini, tentulah tidak wajar jika ada pihak cuba berbalah mengenai hak asasi manusia di Myanmar kerana isu negara itu adalah perkara berbeza dan tidak harus dikaitkan dengan piagam yang bakal dipersetujui bersama.

Keutamaan negara anggota seharusnya menjadikan Asean sebagai paksi bagi mewujudkan rantau yang stabil dan dihormati seluruh dunia. Mesyuarat peringkat menteri sudahpun menerima piagam berkenaan yang diasaskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur dan semua pihak perlu menghormati dan menerima keputusan itu. Sejak ditubuhkan pada 1967, Asean kini semakin matang dan bersedia menghadapi isu kepentingan bersama negara anggota dengan lebih yakin dan mantap atas semangat setia kawan seperti kesatuan negara di rantau lain. Piagam Asean diwujudkan bersandarkan acuan sendiri dengan mengambil kira kepentingan dan latar belakang rantau ini dengan secara konsensus dan bukannya secara konfrontasi, yang tidak pernah menjadi cara Asean. Selain piagam yang ditandatangani semalam, persidangan kali ini juga menyaksikan pemeteraian satu pelan induk ekonomi bagi terus memajukan pertubuhan serantau itu. Asean harus terus memandang ke depan bagi membolehkannya muncul sebagai sebuah komuniti dan gagasan yang lebih gagah menjelang 2015 bagi manfaat hampir 500 juta penduduk di rantau ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Networkedblogs