‘Tak tahu projek Mahathir’ - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

‘Tak tahu projek Mahathir’

Kota Kinabalu: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menegaskan tidak tahu menahu mengenai “projek Mahathir” yang mengaitkan beliau dengan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah.

Dalam keterangannya kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah di Mahkamah Tinggi di sini, beliau berkata tidak pernah mengeluarkan arahan bagi melaksanakan projek IC.
Bekas Perdana Menteri itu ketika memberi keterangan di hadapan lima ahli panel diketuai Pengerusi RCI, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, berkata bukan menjadi dasar kerajaan di bawah pentadbirannya dari 1981 hingga 2003 untuk mengeluarkan kad pengenalan sewenang-wenangnya kepada pendatang tanpa izin di Sabah.


Tidak tahu

“Saya baru mendengar mengenainya (projek Mahathir). Saya tidak tahu mengenai perkara ini,” katanya menjawab soalan pegawai pengendali, Manoj Kurup.

Menjawab soalan sama ada beliau tahu ada pihak memanggil projek IC sebagai projek Mahathir, beliau berkata, thank you very much (terima kasih banyak) menyebabkan suasana dalam mahkamah gamat seketika.

Nama saya sentiasa digunakan, malah digelar ultra rasis tetapi saya tidak ambil peduli. Saya baru melihat buku itu (buku berkaitan projek IC tulisan Dr Chong Eng Leong) tetapi belum ada peluang membacanya. Saya menyedari orang menggunakan nama saya dan buku mereka dijual dengan mudah.
Ia suatu kajian akademik yang baik, tapi saya tidak tahu bagaimana kesimpulan boleh dibuat bahawa projek IC adalah atas arahan saya, katanya.

Dr Mahathir yang menjadi saksi ke-209 prosiding itu kelihatan tenang menjawab semua soalan dan berkata, walaupun ada arahan diberikan bagi pengeluaran kad pengenalan, ia perlu dilakukan mengikut undang-undang.

Berdasarkan undang-undang, orang yang tinggal lebih 10 tahun di negara ini layak memohon kewarganegaraan. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pegawai bertanggungjawab untuk menolak atau menerima permohonan mereka, katanya yang tampil berpakaian sut kelabu, baju ungu dan tali leher merah manggis.

Nafi beri arahan

Dr Mahathir juga menafikan pernah memberi sebarang arahan atau kuasa kepada Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh, berhubung pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin.

Ketika ditanya apa yang akan dilakukan jika mendapat tahu arahannya tidak dipatuhi atau bercanggah dengan undang-undang dan peraturan, Dr Mahathir berkata, beliau akan adakan siasatan.

Beliau juga memberitahu suruhanjaya itu bahawa pada 1990-an, beliau melaksanakan satu evolusi dengan memasukkan mikrocip ke dalam kad pengenalan bagi mengelak pemalsuan.

Ditanya pendapatnya mengenai dakwaan seorang saksi bahawa 113,850 kad bermasalah dikeluarkan antara 1979 dan 1988 di Sabah dan cadangan supaya pemegang kad pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membetulkan butiran diri masing-masing bagi mengelak taraf kewarganegaraan mereka ditarik balik atau kad pengenalan mereka dibatalkan, Dr Mahathir berkata: Jika langkah itu boleh menyelesaikan masalah, maka saya rasa pihak berkuasa patut menimbangnya.

Katanya, beliau sedar mengenai kebanjiran pendatang di Sabah antara 1972 dan 1984, serta menyifatkan perkara itu sebagai kejadian biasa kerana ia juga berlaku sebelum Sabah menyertai persekutuan (Malaysia).

Ini kerana mereka tidak mengiktiraf sempadan Sabah dan Filipina. Mereka datang dan pergi dengan sesuka hati. Ia bukan perkara baru ketika itu, katanya.

Menjawab soalan berhubung dua pegawai tinggi JPN yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana didakwa terbabit dengan projek IC, Dr Mahathir berkata mereka mungkin melakukan kesalahan, tetapi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menahan seseorang tanpa sebab.

Katanya, bukan menjadi dasar kerajaan untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin mengikut jalan pintas, yang bercanggah dengan prosedur biasa, seperti didakwa sesetengah pihak.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan, kami pasti mengambil tindakan, katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selama kira-kira sejam setengah itu, Dr Mahathir berkata, beliau bersyukur prosiding berjalan dengan baik, soalan yang munasabah dan dapat menjawabnya dengan baik.

Terdahulu, Dr Mahathir yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di pekarangan kompleks mahkamah melalui pagar belakang kira-kira jam 8.30 pagi.

Berikut sebahagian soal jawab RCI semalam:

Manoj: Tun, ada aduan bahawa pendatang tanpa izin di Sabah yang tidak layak menjadi warganegara, diberi kad pengenalan oleh pihak berkuasa ketika Tun menjadi Perdana Menteri menerusi apa yang dipanggil sebagai Projek IC.
Dr Mahathir: Saya baru tahu mengenai projek IC.
Manoj: Segelintir orang menyatakan ia projek Mahathir.
Dr Mahathir: Thank you very much (terima kasih banyak)
Manoj: Ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, pernah atau tidak Tun mengeluarkan sebarang arahan supaya IC diberi kepada pendatang tanpa izin
Dr Mahathir: Tidak. Pengeluaran IC kepada pendatang tanpa izin dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada di Malaysia.
Manoj: Pernah mendengar nama Hasnar.
Dr Mahathir: Tidak ada.
Manoj: Dia (Hasnar) dikatakan terbabit dalam projek ini, dalam mesyuarat yang dipengerusikan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
Dr Mahathir: Saya tidak tahu apa yang dikatakan oleh Megat Junid.
Manoj: Adakah Tun tahu Hasnar ditahan ISA.
Dr Mahathir: Saya tidak tahu.
Manoj: Sekiranya tahu arahan bercanggah dengan undang-undang dan peraturan, apakah yang akan dilakukan
Dr Mahathir: Saya akan buat siasatan.
Manoj: Pernah melihat buku ini.. (buku berkaitan projek IC)
Dr Mahathir: Baru nampak.
Manoj: Buku ini selalu menyebut nama Mahathir berkaitan projek IC.
Dr Mahathir: Saya menyedari orang selalu menggunakan nama saya dan buku mereka laris dijual.

Peguam pemerhati kepada saksi prosiding RCI, Dr Chong Eng Leong, Ansari Abdullah: Bagi mendapatkan IC, seseorang itu perlu mengemukakan permohonan, bagaimanapun ada yang tidak memohon tetapi diberikan IC.

Dr Mahathir: Ini bukan salah kerajaan, tetapi ini pasti ada seseorang yang membuat benda tidak betul. 


 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2013091206224920130912062249/Article

0 Komentar untuk "‘Tak tahu projek Mahathir’"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI