Kim Swee: Pemain ghairah rebut tempat - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kim Swee: Pemain ghairah rebut tempat

KEJAYAAN negara membenam Thailand 3-0 pada pusingan awal Pestabola Merdeka 2013 di sini malam tadi membuktikan kesungguhan pemain merebut tempat dalam barisan kesebelasan utama.
  
Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee, berkata penyerang Md Rozaimi Abd Rahman telah menunjukkan kesungguhan dengan menjaringkan dua gol pada penampilan pertama sepanjang kejohanan itu.
  
"Ini membuktikan pemain yang baharu pertama kali diturunkan boleh beraksi dengan baik dan ini merupakan satu petanda positif untuk pasukan sebelum menghadapi Sukan SEA di Myanmar (Disember ini)" katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
  
Tiga gol skuad berkenaan yang turut dikenali sebagai skuad Harimau Muda A dijaringkan oleh Mohammad Nasir Basharuddin pada minit ke-12 dan Md Rozaimi pada minit ke-28 dan 81.
  
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata beliau tidak boleh memberikan jaminan tempat kepada seseorang pemain kerana perlu melihat kekuatan pasukan lawan terutamanya pada kejohanan kali ini.
  
Ditanya mengenai aksi final bertemu Myanmar, Sabtu ini, Kim Swee mengakui pasukan bimbingan jurulatih dari Korea, Park Sung Hwa itu perlu diberikan perhatian khusus memandangkan majoriti pemainnya adalah pemain kebangsaan.   

Terdahulu, Myanmar mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Singapura di Stadium Mini Temerloh, sekali gus layak ke final dengan bekalan kelebihan jaringan walaupun berkongsi mata dengan Thailand.
  
"Sudah tentu perlawanan akhir menentang Myanmar nanti adalah satu aksi yang sengit kerana mereka menurunkan skuad utama namun kita perlu mempersiapkan diri dari segi strategi dan taktikal terbaik," kata Kim Swee.
  
Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Kairung Threejagsang berkata punca kekalahan itu berikutan ketiadaan kapten Mahamasabri Awaebuesa yang terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan.
  
"Beliau memainkan peranan penting dalam pasukan...sudah pasti ketiadaan tonggak utama itu memberi kesan di barisan pertahanan," katanya.
  
Mengenai perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Singapura, Sabtu ini beliau berharap anak buahnya tidak patah semangat malah akan menampilkan persembahan terbaik masing-masing. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/ultras/harimau-malaya/kim-swee-pemain-ghairah-rebut-tempat-1.201199

0 Komentar untuk "Kim Swee: Pemain ghairah rebut tempat"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI