Pentingnya psiko-sejarah, psiko-biografi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pentingnya psiko-sejarah, psiko-biografi

Oleh Khairol Anuar Masuan

ACAP kali kita mendengar sebilangan pelajar yang cenderung mengeluh kerana tidak gemar untuk mempelajari sejarah. Malah ada yang melihat Sejarah sebagai satu mata pelajaran yang amat membosankan.

Namun, apabila kita melihat pelajar negara-negara maju mereka begitu prihatin terhadap mata pelajaran Sejarah. Pada mereka sejarah amat penting dalam pembinaan sesebuah negara berdaulat. Apatah lagi sejarah yang akan menjadi modal terbesar untuk melangkah lebih jauh lagi. Atau ringkasnya sebagai asas dalam hal-hal kenegaraan.

Di Barat sekurang-kurangnya perkembangan terhadap pengajian Sejarah telah diperluaskan skopnya. Mereka sekarang beria-ia untuk mempelajari psiko-sejarah yang digandingkan bersama dengan kajian politik, sosial, keselamatan, ekonomi dan psikologi itu sendiri. Ini penting kerana kita sering mendengar tentang biografi dan sekarang ia digandingkan dengan kajian psiko-biografi.

Jika kajian saintifik lain mengisahkan bagaimana sesuatu itu berlaku, tetapi psiko-biografi dan juga psiko-sejarah menjelaskan mengapakah sesuatu itu terjadi.

Asal-usul

Sayugia diingat bahawa sejarah manusia ‘ditukang dan dipahat’ oleh manusia. Jadi apabila kita mengetahui asalusul si pelaku sejarah (setiap perlakuan menjana sejarah) maka kita boleh mengungkapkan kenapa si pelaku itu bertindak sedemikian. Ini dilihat dari sudut psiko-biografi.

Tambahan pula, psiko-sejarah akan melengkapkan penghuraian kenapa seseorang itu bertindak sedemikian apabila kita tahu apa yang telah dilalui oleh si polan dan apa pula yang telah dipelajarinya.

Penulis juga mendapati ramai pengkaji sains sosial telah membuka mata kepada bidang psiko-sejarah dan psiko-biografi. Teringat pula penulis kepada Samuel Huntington dengan artikelnya Clash of Civilization. Apabila difikirkan kembali, bukankah itu semua berkisar kepada politik, geopolitik, sejarah, dan juga psiko-sejarah?

Persoalannya, apakah pelbagai insiden yang kurang sedap didengar sepanjang tahun ini boleh dikira sebagai orang yang kurang faham sejarah? Lebih-lebih lagi psiko-sejarah dan psiko-biografi. Penulis perhatikan model yang kita gunakan selama ini, itulah yang dikatakan psiko-sejarah dan psiko-biografi. Kitalah sebenarnya pengamal terbaik kepada psiko-sejarah dan psiko-biografi. Kita benar-benar menjaga sensitiviti orang lain. Malah dalam hubungan diplomatik pun kita begitu juga.

Atau persoalannya, adakah kerana dangkalnya pengetahuan sejarah, maka mereka ini telah tersalah pahat? Kalau tersalah pahat boleh dibetulkan dan orang seni akan faham jika dikatakan buat kesilapan yang cantik - hasilnya akan cantik juga. Tetapi jika tersalah pilih pahat itu akan menjadi kerosakan yang besar. Ini kerana kemungkinan sudahlah memahat yang salah, pembetulan kepada pahatan yang salah akan terus-terusan merosakkan hasil seni.

* KHAIROL ANUAR MASUAN ialah perunding psikologi di KAPC.

0 Komentar untuk "Pentingnya psiko-sejarah, psiko-biografi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI