Pendidikan kemanusiaan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pendidikan kemanusiaan

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

KONFLIK di Darfur, perang di Iraq, pertikaian di Kashmir, kemelut di Afghanistan dan krisis susulan bencana tsunami yang menimpa banyak negara di Asia memiliki satu persamaan. Kesemuanya ada elemen kemanusiaan.

Dengan kata lain, kemanusiaan diperlukan untuk mengendurkan kesengsaraan, meredakan kesedihan dan menepis kedukaan akibat malapetaka berkenaan.

Tetapi seperkara yang penting perlu diketahui dan dititikberatkan ialah asal akar kemanusiaan itu sendiri.

Di sini timbul kepentingan pendidikan, yang tanggungjawabnya memberi mekar kepada penerokaan elemen kemanusiaan.

Jadi, apa hubungannya pula dengan konflik, krisis dan malapetaka itu? Selebihnya, di mana relevannya soal-soal kemanusiaan ini diterokai jika sesebuah negara itu aman damai seperti dinikmati di Malaysia?

Baru-baru ini berlangsung satu seminar yang cukup menarik – Seminar Serantau Meneroka Undang-Undang Kemanusiaan untuk Asia (EHL) yang sedikit sebanyak menjawab soalan-soalan berkenaan selain membuka ruang perbincangan mengenainya.

Seminar tiga hari bermula 29 Oktober lepas merupakan anjuran Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC). EHL sendiri dibangunkan oleh ICRC dengan disertai secara aktif oleh pihak berkuasa dalam bidang pendidikan di lebih 20 negara.

Sedikit mengenainya, EHL disasarkan kepada golongan remaja yang berusia di antara 13 hingga 18 tahun.

Menurut Buku Panduan & Modul Pengajaran dan Pembelajaran - Komponen Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) Dalam Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan, EHL merupakan satu program pendidikan untuk remaja yang bertujuan melindungi nyawa dan maruah manusia semasa konflik bersenjata terjadi.

EHL bagaimanapun tidak membincangkan sebab atau punca peperangan atau konflik bersenjata kerana isu-isu politik dan ideologi bukan sebahagian daripada EHL.

“Menerusi program pendidikan ini, penglibatan di bilik darjah menumpukan kepada prinsip-prinsip asas mengenai Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL).

“IHL pula matlamatnya mahu melindungi kehidupan dan maruah manusia semasa konflik bersenjata, malapetaka, sekali gus meminimumkan kesengsaraan serta duka nestapa akibat perang,” kata Dr. Haili Dolhan, Pengarah Pusat Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia semasa merasmikan seminar berkenaan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia kemudiannya, beliau mengakui bahawa di negara ini, EHL telah pun dimasukkan ke dalam mata pelajaran untuk sukatan bagi pelajar tingkatan 3. Ini akan diteruskan lagi selepas itu, barangkali selepas Pemeriksaan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Sebelum ini sekalipun hal-hal kemanusiaan diajar kepada pelajar-pelajar menerusi Pendidikan Sivik. Cuma bermula tahun 2005 ia menjadi lebih khusus,” ujar beliau sambil menambah Malaysia merupakan antara negara Asia yang paling ke hadapan memasukkan subjek kemanusiaan ke dalam bidang pendidikan.

Memang benar, tidak menjadi satu kepentingan utama untuk memikirkan soal-soal kemanusiaan apabila Malaysia tidak ditimpa bencana, bukan medan konflik, tidak juga lokasi peperangan.

Tetapi kalaupun negara aman, anggap sahaja begini, apabila berlaku bencana, perang atau malapetaka, tentunya pertolongan diperlukan.

Rasa kemanusiaan tidak akan timbul jika ada anggapan individualistik dan membiarkan negara terlibat menyelesaikan sendiri kemelut mereka.

“Itu sebabnya, melalui pendidikan, golongan muda diterap supaya membesar dengan perasaan kemanusiaan. Sekurang-kurangnya mereka terpanggil untuk membantu. Itu lebih daripada ‘manusiawi’,” kata Dr. Haili .

Jika di negara yang aman, soal pendidikan kemanusiaan ini menjadi cukup relevan, tentunya kita bersetuju bahawa di negara-negara yang dilanda konflik, hal berkenaan bertukar lebih penting, lebih utama.

Seminar EHL Serantau untuk Asia itu adalah kali kedua dianjurkan oleh ICRC. Semasa kali pertama diadakan pada tahun 2005, para peserta didedahkan kepada kepentingan EHL dan bagaimana melaksanakannya dalam pendidikan di negara masing-masing.

Pada seminar kali ini yang disertai lebih 34 peserta pelbagai negara, ia lebih kepada membuka ruang perbincangan tentang perkembangan, hala tuju serta pelaksanaan idea EHL yang telah dilontarkan itu.

Dalam pada itu, sebahagian peserta yang ditemui mengakui soal kemanusiaan sangat penting ditempatkan dalam pendidikan.

Sebagai contoh komen daripada delegasi Iran, yang diketuai sendiri oleh Seyed Bagher Pishnamazi, Timbalan Pembangunan Latihan dan Pendidikan Fizikal, Kementerian Pendidikan Iran.

Katanya, sebelum program EHL, kursus yang menyamainya telah pun diperkenalkan di Iran.

“Kursus latihan pertahanan dan etika peperangan telah diperkenalkan di sekolah tinggi, yang mana pada tahun 2002 ia berada di peringkat perintis.

“Ia melibatkan sebilangan guru dan pelajar manakala tidak semua wilayah terlibat. Projek perintis diperkenalkan di empat wilayah iaitu di Teheran, Khurasan, Fars dan timur Azerbaijan,” kata beliau.

Ditanya sama ada Iran mendepani masalah atau hambatan dalam melaksanakan EHL, beliau mengakui ada tetapi tidak secara khusus.

Ini kerana kata beliau, pihaknya telah melahirkan pelatih untuk memberikan pendedahan tentangnya kepada golongan muda dan belia.

Dengan adanya pelatih, kekurangan pelapis dalam memberikan pendedahan kepada hal-hal kemanusiaan tidak timbul.

Katanya lagi, pendidikan tentang kemanusiaan itu akan diperluaskan di beberapa buah wilayah lain pada masa depan.

Sementara itu, Werner Kaspar, Ketua Delegasi ICRC Serantau di Kuala Lumpur semasa berucap di seminar sama mengakui bahawa pembangunan dan mengetengahkan IHL adalah aktiviti utama badan kemanusiaan itu.

“Program EHL ialah salah satu daripada aktiviti ICRC bagi melonjakkan IHL khususnya di kalangan belia,” ujar beliau sebelum menambah program EHL kini dilaksanakan di lebih 60 negara di seluruh dunia, tetapi mengikut tahap yang berbeza.

Bagi delegasi Kashmir, Autar Krishan Raina, seminar yang dianjurkan memberi peluang kepada peserta, yang tentunya terlibat langsung dalam dasar pendidikan di negara masing-masing mendalami apa yang masih kurang mengenai bidang berkenaan.

“Hasil perbincangan dan maklumat perkembangan EHL pada seminar ini boleh sahaja diguna untuk menambahbaik pendidikan kemanusiaan di Kashmir, yang bergolak kerana menjadi rebutan India dan Pakistan,’’ ujar beliau.

0 Komentar untuk "Pendidikan kemanusiaan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI