Kesan penarafan THES-QS terhadap reputasi IPTA - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kesan penarafan THES-QS terhadap reputasi IPTA

Pendapat
MENAFIKAN kesan penarafan Times Higher Education Supplement-Quacquarelli Symonds (THES-QS) kepada reputasi dan kualiti universiti bukanlah satu mekanisme bela diri yang baik bagi universiti. Penarafan boleh dijadikan sebagai kayu ukur kepada kedudukan universiti di dunia walaupun masih lagi terdapat kritikan terhadap cara penilaian dibuat.

Apakah kesan penarafan THES-QS kepada kualiti dan reputasi IPTA negara? Adakah kemerosotan dari segi kedudukan dari tahun ke tahun dan akhirnya terkeluar dari senarai 200 universiti terbaik (tahun 2007) menunjukkan tahap kualiti universiti tempatan semakin menurun?

Jika ya, tentu sekali bertepatan dengan perasaan Perdana Menteri yang melahirkan rasa bimbang beliau terhadap kedudukan universiti-universiti tempatan yang terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia.

Walaupun terdapat kritikan dalam metodologi yang digunakan oleh THESQS yang dilihat bersifat arbitrari, ia setidak-tidaknya membuatkan setiap universiti lebih bersiap sedia untuk membaiki kelemahan dalam bidang-bidang tertentu.

Penarafan universiti tidak ketinggalan daripada kritikan. Ada pandangan yang mengatakan penarafan universiti boleh memberi gambaran yang tidak menyeluruh kepada budaya ilmu. Pertama, kelemahannya adalah terletak kepada metodologi yang digunakan.

Terdapat universiti yang cemerlang dalam satu bidang tetapi tidak tersenarai dalam universiti terbaik. Memberi penarafan kepada universiti adalah amat baik tetapi tidak bermakna universiti lain tidak bagus hanya berdasarkan penilaian yang diberikan oleh THES-QS.

Faktor-faktor lain dalam pemilihan pelajar kepada sesuatu universiti seperti faktor kewangan, kursus yang ditawarkan dan minat juga perlu diambil kira. Selain itu, penarafan juga akan memberi kesan kepada pemilihan pelajar oleh pihak universiti. Di sesetengah universiti di luar negara, terdapat kemungkinan pihak universiti akan lebih bersifat selektif dalam memilih pelajar.

Ia juga berkemungkinan menyebabkan universiti mahu meningkatkan yuran pengajian dalam usaha meningkatkan dana untuk memanggil tenaga akademik dan penyelidik yang cemerlang berkhidmat untuk universiti itu.

Bagi negara ini, tentunya meningkatkan yuran pengajian bukanlah sesuatu alternatif yang bijak dalam usaha kerajaan menggalakkan penyertaan seberapa ramai pelajar ke institusi pengajian tinggi.

Antara kerisauan lain ialah penekanan yang terlalu diberikan kepada ciri-ciri dalam penarafan THES-QS sehingga mengabaikan aspek-aspek lain seperti melahirkan jumlah graduannya. Penumpuan juga perlu diberikan kepada pelajar-pelajar siswazah yang dilihat banyak melakukan penyelidikan.

Universiti negara ini mempunyai pelbagai peranan. Antaranya ialah meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti penduduk dalam pengajian tinggi. Menjelang tahun 2020, dianggarkan 50 peratus kohort 17-23 tahun menyertai pendidikan tertiari dan 33 peratus daripada tenaga kerja mempunyai kelayakan tertiari terutamanya yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi.

Pelbagai peranan ini perlu diisi dalam menjayakan dasar-dasar negara. Dalam usaha itu, kemungkinan hasrat untuk memenuhi kecemerlangan dalam manamana peranan mungkin tersekat.

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang telah dilancarkan pada tahun ini banyak mengandungi formula untuk menuju ke arah kecemerlangan universiti. Teras-teras PSPTN antaranya seperti memperteguhkan penyelidikan dan inovasi, mempergiatkan pengantarabangsaan dan menambah baik kualiti pengajaran adalah usaha ke arah kecemerlangan pendidikan pengajian tinggi.

Bagaimanapun ia memerlukan masa dan komitmen yang amat tinggi untuk dijayakan. Pelbagai pihak seperti media, industri dan masyarakat perlu menyokong segala strategi yang direncanakan.

Terdapat cadangan untuk melaksanakan autonomi di kalangan universiti terpilih, memilih kepimpinan yang lebih dinamik dalam mengurus universiti. Proses kenaikan pangkat perlu dilakukan dengan lebih telus. Pelantikan profesor dan penyelidik ternama juga dicadangkan di samping meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa.

Banyak perkara yang perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan kualiti universiti. Ia bukan sahaja bertujuan untuk disenaraikan dalam sistem penarafan universiti tetapi juga memenuhi keperluankeperluan negara.

– DR. SAPORA SIPON,

Universiti Sains Islam Malaysia.

0 Komentar untuk "Kesan penarafan THES-QS terhadap reputasi IPTA"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI