Kemelut PR punca kekalahan Pas - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kemelut PR punca kekalahan Pas


Analisis Isu
WALAUPUN bahang PRK Pengkalan Kubor kini mula reda, pelbagai provokasi kekalahan Pas masih lagi tidak berkurangan malah turut melibatkan parti komponennya, DAP dan PKR. Bagi mengulas isu tersebut lebih mendalam, ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Siti Fatihah Awang bersama penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Apakah faktor menyebabkan kekalahan Pas di PRK Pengkalan Kubor baru-baru ini?

Pada pandangan saya, di dalam mana-mana PRK pun, BN punya kelebihan dari segi jentera, dana dan media tetapi pada PRK Pengkalan Kubor yang menyaksikan kekalahan teruk calon Pas ini, banyak faktor besar lain turut berperanan, antaranya calon Pas terlalu biasa, tiada kewibawaan dan keistimewaan boleh ditonjolkan.

Calon Pas ini mungkin tidak akan memberikan terlalu banyak masalah jika ini adalah PRU tetapi ini adalah PRK. Mana-mana kekurangan calon akan kelihatan jelas kepada masyarakat disebabkan tumpuan media.

Paling memberikan masalah besar kepada Pas ialah dakwaan calon Pas terlibat mensabotaj calon PKR pada PRU13 dan agak kurang mesra PR menyebabkan penyokong yang mesra PR tidak mengundi beliau kali ini.

Selain itu, Pas memandang mudah kepentingan PRK ini. Pucuk pimpinan Pas dalam era terdahulu akan menunda Muktamar Tahunan bagi memberikan ruang kepada pemimpin dan ahlinya menumpukan perhatian mereka kepada PRK yang disertai oleh Pas tetapi dalam era sekarang, Pas dilihat menganggap penundaan ini tidak perlu, menyebabkan moral petugas tempatan merudum bila kempen mereka tidak disertai pemimpin besar.

Lebih memburukkan keadaan, Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 pada 18, 19 dan 20 September memarakkan lagi pertikaian dalaman antara golongan yang mesra dan kurang mesra PR, ini menyebabkan jentera Pas tidak mendapat dorongan padu seluruh pemimpin utama mahupun daripada PKR dan DAP, sekali gus menyebabkan BN mendapat senjata baharu menyerang Pas (contohnya penggunaan pemidang memuatkan ucapan Presiden Pas yang menyebut istilah barua dan broker).


Adakah pengundi atas pagar turut menyumbang kepada kekalahan Pas kali ini?

Pengundi muda dan pengundi atas pagar khususnya, jelas bosan dengan pertikaian dalaman yang tidak berkesudahan di dalam Pas Kelantan, Pusat serta hubungan antara parti komponen.

Sebelum ini mereka melihat PR menjanjikan harapan baharu ke arah mewujudkan satu Malaysia yang lebih baik tetapi dengan segala kemelut, pertikaian dan permasalahan berlaku di dalam PR sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka kecewa dengan PR yang dilihat tidak seindah rupa, sekali gus mendorong mereka beralih kepada BN yang dilihat lebih stabil dan lebih berwibawa.


Adakah kemenangan BN di Pengkalan Kubor menjadi penentu kepada penerimaan rakyat Kelantan terhadap kepimpinan tersebut?

Keputusan PRK ini juga mencerminkan penerimaan rakyat Kelantan kepada budaya politik baharu yang cuba dibawa BN di Kelantan melalui penawaran kepimpinan bersih, beragama dan berkeperibadian baik, yang tertera di dalam penonjolan Mat Razi Mat Ail sebagai calon PRK dan penonjolan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Memandangkan cubaan ini mendatangkan hasil baik, maka ia wajar diperluaskan lagi dengan memasukkan Asyraf Wajdi ke dalam saf kepimpinan utama Umno Kelantan, mungkin sebagai Timbalan Pengerusi, Ketua Penerangan, Setiausaha atau Bendahari.

Ia juga menjadi petanda budaya mencerca pihak lawan mahupun mendoakan keburukan kepada pihak lawan diamalkan Pas sudah tidak diterima rakyat. Pas perlu mengemukakan sesuatu yang lebih konkrit kepada rakyat jika ia tidak mahu melihat Kelantan jatuh ke tangan BN pada PRU14.


Pengerusi dan Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa Kelantan akan jatuh ke tangan BN jika peralihan undi 4.5 peratus terhadap Pas dan PR terus berlaku di kawasan lain.

Pada pandangan saya, komen Lim Kit Siang mengenai kemungkinan Kelantan akan jatuh ke tangan BN pada PRU14, perlu dipandang secara positif oleh pimpinan Pas Kelantan. Jika dilihat kepada sentimen yang berlaku pada PRK Pengkalan Kubor, ada kemungkinan perkara ini boleh berlaku.

Masalah kehilangan sokongan yang ketara daripada golongan pengundi muda dan pengundi luar khususnya, membayangkan seolah-olah Pas Kelantan pasca Tok Guru Nik Aziz telah kehilangan daya penariknya.

Kekalahan besar Pas pada PRK Pengkalan Kubor ini seharusnya menjadi satu ‘wake up call’ kepada Pas Kelantan untuk mengkaji kembali di manakah salah dan silap yang timbul sehinggakan hanya di dalam tempoh lebih setahun peralihan kepimpinan parti dan kerajaan berlaku penurunan sokongan yang ketara ini.

Begitu pun, saya merasakan bahawa masa masih panjang sebelum PRU akan datang ditempuhi, pelbagai perubahan di peringkat tempatan mahupun di peringkat nasional masih boleh berlaku dan masih boleh dilakukan untuk mengatasi apa-apa masalah yang timbul.

Saya yakin, pengalaman luas yang ada pada pemimpin veteran Pas Kelantan akan dapat membantu pimpinan Pas Kelantan merangka strategi lebih berkesan mempertahankan Kelantan pada PRU14.

Dalam pada itu, saya ingin menggesa Kit Siang supaya lebih berhemah berkata-kata dan tidak kelihatan seolah-olah mencampuri atau merendah-rendahkan kemampuan Pas.

Seingat saya, bila calon DAP gagal mempertahankan kerusi miliknya pada PRK Teluk Intan, pemimpin Pas tidak kedengaran menegur DAP mengenai prestasi teruknya itu.

Berlainan dengan Suhaizan Kaiat yang merupakan pemimpin Pas, jadi tegurannya tidak akan menimbulkan apa-apa persepsi yang kurang baik berbanding Kit Siang yang kenyataannya mungkin boleh merenggangkan lagi hubungan antara Pas dan DAP.

Kalau Pas mahu memulangkan paku buah keras, Pas boleh sahaja meminta DAP menjaga tepi kain sendiri kerana DAP hanya memerintah Pulau Pinang sejak 2008 berbanding Pas yang telah memerintah Kelantan sejak 1990 lagi.


Apakah jalan penyelesaian yang perlu dilakukan untuk membantu menguatkan kembali Pas terutamanya di Kelantan?

Saya menggesa pimpinan Pas Kelantan lebih memperkasakan Pusat Kajian Strategik Kelantan di pihak kerajaan dengan membuat kajian lebih mendalam dan menyeluruh mengenai permasalahan dihadapi rakyat Kelantan bagi memungkinkan program lebih tersusun dapat dirangka bagi memenangi semula hati mereka.

Selain itu, pemimpin veteran Pas Kelantan, khususnya melalui Persatuan Bekas Wakil-Wakil Rakyat Pas Kelantan perlu lebih dilibatkan diri dalam perjalanan parti dan kerajaan kerana sumbangan buah fikiran mereka sudah tentu akan dapat membantu memantapkan kembali Pas Kelantan.


Perlukah kerusi PKR ditandingi Pas selepas ini?

Jika Pas masih kekal di dalam PR, masalah perlukah kerusi yang ditandingi oleh PKR pada PRU lalu ditandingi oleh Pas di dalam PRU akan datang bagi memastikan kemenangan di kerusi tersebut perlu dirundingkan secara lebih berhemah. Tidak dinafikan PKR memang menghadapi masalah kekurangan jentera dan ahli di Kelantan, di mana calon PKR di Kelantan tidak akan dapat bergerak lancar tanpa bantuan dan sokongan jentera dan ahli Pas.


Masalah ini diburukkan lagi oleh kegagalan PKR Kelantan meletakkan calon yang benar-benar berwibawa dan dapat diterima ahli Pas di kerusi tersebut. Jika PKR dapat mengenal pasti lebih awal calon mereka dan memastikan calon ini memenuhi piawaian kehendak ahli Pas, maka masalah besar tidak akan timbul pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, jika ini tidak dapat dilakukan PKR, maka elok juga jika mereka secara sukarela melepaskan kerusi tersebut kepada Pas untuk ditukar dengan kerusi Pas di negeri yang PKR lebih kuat pengaruhnya berbanding Pas.

Jika penukaran ini tidak berlaku sekalipun, sekurang-kurangnya Pas Kelantan perlulah memperuntukkan jawatan tertentu kepada pemimpin PKR Kelantan tertentu di dalam agensi kerajaan tertentu sebagai simbol bahawa hubungan antara Pas dan PKR tetap ada di Kelantan.


Adakah sikap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang mesra BN menyebabkan orang Kelantan tidak selesa dan menyumbang kepada kekalahan?

Saya tidak melihat pendekatan mesra Kerajaan Pusat oleh Ahmad Yakob sebagai punca utama penurunan sokongan kepada Pas pada PRK Pengkalan Kubor. Tiada masalah jika Kerajaan Kelantan mahu bersikap lebih lunak dan lebih bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, malah ia akan membawa kebaikan kepada rakyat Kelantan.

Pendekatan berhemah beliau yang tidak terlalu menyerang dan mengata parti lawan juga adalah pendekatan matang yang boleh menjernihkan hubungan antara ahli dan penyokong parti yang berbeza. Masalah besar yang dihadapi beliau sekarang bukanlah diakibatkan pendekatannya dalam menguruskan hubungan dengan Kerajaan Pusat tetapi lebih kepada kurang keberkesanan beliau menguruskan masalah ketidaksepaduan di dalam pimpinan Pas Kelantan sesama mereka, tetapi juga antara pimpinan Pas Kelantan dan pimpinan PKR Kelantan.

Seperti sedia maklum, Pas Kelantan pasca Tok Guru Nik Aziz terpecah kepada dua kem utama iaitu kem Datuk Mohd Amar dan kem Datuk Husam Musa, manakala Ahmad Yakob berada di tengah-tengah. Kegagalan beliau mendamaikan dan menyatukan dua kem ini menyebabkan Pas Kelantan kelihatan lemah.

Isu yang dimainkan kedua-dua pihak di dalam pertikaian mereka telah digunakan Umno untuk menyerang Pas kembali. Beliau seharusnya mengambil tindakan lebih tegas untuk menyelesaikan masalah perpecahan dalaman Pas Kelantan ini kerana jika ia tidak ditangani, maka ia akan memungkinkan usaha Umno untuk merampas kembali Kelantan menjadi lebih mudah.


Adakah disebabkan Pas tidak ‘mengganas’ seperti parti lain, ia dianggap dibuli parti komponen PR?

Ya. Dakwaan bahawa Pas dibuli ini, jika benar, memberikan gambaran bahawa pucuk pimpinan Pas adalah lemah. Paling tidak, ia menggambarkan pucuk pimpinan Pas yang mengetuai Pas dalam Majlis Pimpinan PR tidak mampu bersuara memperjuangkan dan mempertahankan kepentingan Pas di dalam perundingan dengan pucuk pimpinan PKR dan DAP.

Kenyataan yang dikeluarkan di dalam media perdana dan media sosial menunjukkan medan perundingan sudah tidak begitu efektif di dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi PR. Bila ‘communication breakdown’ atau ‘misscommunication’ sesama ahli PR berlaku, maka tidak mustahil bagi mana-mana ahli yang merasakan dirinya dibuli, khususnya Pas, untuk mengambil tindakan drastik bagi menunjukkan kuasanya.

Tindakan drastik ini adalah seperti menarik diri daripada Kerajaan Selangor yang tentu sahaja akan berpotensi menggoncang kedudukan PR di Selangor. Tindakan lebih drastik lagi ialah untuk Pas menarik diri terus daripada PR.

Kemungkinan untuk Pas menarik diri ini tidak boleh ditolak kerana Majlis Syura Ulama Pas memang diberikan kuasa mengkaji dari semasa ke semasa sama ada untuk meneruskan atau menamatkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP. Satu-satunya perkara yang boleh menghalang penamatan kerjasama ini berlaku ialah jika pihak yang tidak bersetuju dengan penamatan ini memanggil muktamar khas bagi menghalangnya.

Jika Pas merasakan keluar daripada PR akan membolehkan perjuangannya dapat diteruskan dengan lebih berkesan, maka Pas seharusnya tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi jika terbukti PKR dan DAP telah melanggar syarat kerjasama antara mereka. Pas tidak mampu untuk mengganas sekarang kerana ia mempunyai kerusi paling sedikit di dalam Parlimen. Ini berbeza berbanding selepas PRU 1999,  di mana Pas mampu mengganas di waktu itu kerana ia dominan (mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen).


Nama: Dr Kamarul Zaman Yusoff

-PhD Universiti Malaya, 2013, tesis bertajuk 'PAS Dalam Era

-Kepimpinan Ulama', 1982-2004”

-Sarjana dari Universiti Malaya, 2005, tesis bertajuk 'PAS Dalam

-Era Mohd Asri Muda, 1965-1982'

-Sarjana Muda Sains Politik dan Psikologi (With Highest Distinction, CGPA 3.90) dari Indiana University, Amerika Syarikat, 1996
0 Komentar untuk "Kemelut PR punca kekalahan Pas"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI