2 dari 3 objektif Langkah Kajang selesai, kata Rafizi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

2 dari 3 objektif Langkah Kajang selesai, kata Rafizi

Rafizi Ramli yang merangka Langkah Kajang mengatakan meskipun dengan krisis yang dicetuskan rancangan tersebut, objektifnya masih tercapai dan masih belum selesai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Oktober, 2014.
Arkitek Langkah Kajang Rafizi Ramli berkata, PKR sudah pun mencapai dua daripada tiga objektifnya dan menegaskan ia tidak gagal walaupun mengakibatkan pergolakan politik selama lapan bulan, pilihan raya kecil menggunakan RM1.6 juta wang rakyat serta kegagalan presiden PKR mendapat jawatan menteri besar Selangor.

Beliau berkata langkah tersebut berjaya menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dianggap mempunyai isu integriti, dan juga berjaya menghentikan ketegangan kaum dan agama di Selangor.

Objektif ketiga, katanya, adalah memastikan perubahan dalam pentadbiran akan menambahbaik prestasi kerajaan Selangor dalam polisi dan program untuk membawa Pakatan Rakyat (PR) lebih dekat kepada menawan kerajaan persekutuan.



"Saya tidak anggap Langkah Kajang satu kegagalan. Lain orang lain pendapatnya, tetapi saya rasa kita sudah pun capai dua daripada tiga objektif yang ditetapkan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Pengkritik mengecam strategi politik PKR itu sebagai kegagalan, mengatakan langkah parti itu kompleks, cuba menolak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negeri dengan hanya presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pesaing tunggal, tetapi akhirnya istana Selangor memilih Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan Khalid.

Rafizi juga menambah, kejayaan objektif ketiga itu hanya boleh dinilai dalam masa satu atau dua tahun asalkan menteri besar yang baru dilantik, Azmin bekerja baik dengan PKR dan melibatkan PAS dan DAP sebagai rakan untuk melaksanakan polisi PKR dalam mentadbir negeri terkaya Malaysia.

Rafizi menegaskan Langkah Kajang bukannya tentang hasil yang segera, tetapi tentang menambahbaik prestasi PR dalam menghadapi lawannya Barisan Nasional (BN).

"Daripada awal lagi kami merangkanya dalam jangka masa yang lama. Langkah Kajang bukannya tentang hasil sementara, ia bukan bertujuan mencapai sesuatu dalam masa yang tertentu.

"Ia bertujuan menjadi perubahan dalam prestasi kita dalam jangka masa lama supaya kesan kumulatifnya akan mendapatkan kita lebih sokongan dalam pilihan raya umum akan datang."

Langkah Kajang dicetuskan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh meletak jawatan daripada kerusi itu Mac tahun ini dan mengakibatkan pilihan raya kecil yang membuka jalan untuk Anwar memimpin Selangor.

Namun rancangan tersebut terbantut apabila Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dalam tuduhan meliwat bekas pembantunya, menyebabkan PKR meletakkan isteri Anwar sebagai calon pilihan raya kecil tersebut.

Dr Wan Azizah memenangi pilihan raya kecil tersebut dan merupakan calon tunggal PKR dan DAP bagi jawatan menteri besar, tindakan yang tidak dipersetujui pemimpin konservatif PAS, yang menganggap beliau tidak layak.

Ini menimbulkan ketegangan antara parti Islam itu dengan rakannya PKR dan DAP.

Pada 23 September, Sultan Selangor melantik timbalan presiden PKR Azmin sebagai menteri besar, menghentikan pergolakan yang berbulan-bulan membelenggu negeri itu.

Di bawah merupakan sebahagian temuramah bersama Rafizi:

TMI: Mengapa pada mulanya parti membuat keputusan untuk menggunakan Anwar walaupun sedar rayuannya semakin dekat, dan akan menggugat peluangnya untuk bertanding?

J: Kami menjangkakannya, malah kami lukiskan garis masa itu. Apa yang kami tidak jangkakan adalah peraturan yang tunggang terbalik dan terus dibuang. Apabila kami lukiskan garis masa tersebut, ia berdasarkan apa yang boleh dilakukan mengikut undang-undang dan praktis yang normal.

Mustahil mengikut norma mahkamah bagi kes tersebut dihadapkan sebelum Pilihan Raya Kecil Kajang. Jadi ia boleh dinilai melalui perkara itu. Memang terdapat risiko tetapi kita boleh mengendalikannya. Sebaliknya apa yang berlaku, BN membuang semua peraturan.

TMI: Anda merupakan arkitek Langkah Kajang dan krisis tersebut berlanjutan berbulan-bulan. Adakah anda memikul tanggungjawab ini? Adakah anda dipersalahkan atas krisis ini?

J: Saya dipersalahkan oleh ramai orang, tetapi ia keputusan bersama parti untuk menjalankan Langkah Kajang, dan setiap keputusan yang dibuat dalam lapan bulan lalu dibuat sebulat suara.

Beberapa orang, termasuk saya dan (Setiausaha Agung parti Datuk) Saifuddin Nasution Ismail merupakan pegawai yang bertanggungjawab melaksanakan implementasi, oleh itu tidak hairan orang akan mempersalahkan kami.

Terpulang kepada parti untuk membuat keputusan dan setiap parti mempunyai prosesnya tersendiri. Jika mereka katakan seseorang perlu memikul tanggungjawab, maka proses yang relevan perlu berlangsung dan saya rela akur dan mengikut keputusan parti.

TMI: Khabar angin mengatakan anda menghantar surat letak jawatan tetapi menarik balik selepas kegagalan Langkah Kajang. Adakah ini benar?

J: Ini memang kerja Umno. Mereka lakukan ini setiap kali. Malah seorang wartawan menelefon saya beberapa hari lepas dan berkata, "Kami dengar anda bunuh diri," dan saya berkata, memandangkan anda sedang bercakap dengan saya, memanglah saya tidak bunuh diri.

Saya pasti ini kerja Umno, mereka lakukan begini banyak kali kepada saya. Mereka letakkan dokumen palsu yang menunjukkan rahsia Langkah Kajang dan tiba-tiba sahaja terdapat printscreen berita yang saya meletakkan jawatan.

Saya tweet dan katakan saya hanya letak jawatan daripada dua perkara sahaja: 1) membasuh pinggan di rumah, dan 2)  menonton TV3, dan saya rasa kerana itu, dua jam selepas itu muncul grafik yang menunjukkan pada awalnya saya meletakkan jawatan tetapi menarik balik keputusan tersebut.

Lama-kelamaan kita biasa dengan semua ini. Saya sedar tentangnya kerana semua orang menelefon dan bertanya tentangnya, dan saya mengambil masa yang lama menjelaskannya. Jadi, tidak, saya tidak pernah meletakkan jawatan ataupun berfikir untuk bunuh diri.

TMI: PKR Selangor pada mulanya mencadangkan Azmin sebagai MB dua hari selepas pilihan raya umum 5 Mac, tetapi namanya ditolak. Mengapa?

J: Itu keputusan parti. Selepas pilihan raya umum yang lepas, PKR membuat keputusan menukar MB kepada Azmin dan kami tiada masalah dengan itu, tetapi DAP dan PAS tidak bersetuju, dan disebabkan keputusan perlu dibuat dengan konsensus, kami menghormati keputusan mereka dan Khalid dilantik semula. Saya tidak tahu apa masalah mereka dengan Azmin.

TMI: Apabila Azmin dilantik MB oleh Sultan, tiada bantahan daripada akar umbi. Adakah ini kerana mereka muak dengan isu ini yang berlanjutan berbulan-bulan ataupun mereka tahu Azmin calon yang lebih baik daripada Dr Wan Azizah, yang dilihat sebagai ahli politik yang tidak rela dan seperti yang dikatakan sumber istana, "MB kawalan jauh"?

J: Saya rasa ia merupakan persoalan solidariti antara keputusan parti. Apabila parti memutuskan sebulat suara untuk mengalihkan pencalonan dan mengarahkan Adun kami mengalihkan sokongan kepada Dr Wan Azizah kepada Azmin, akar umbi menganggapnya sebagai keputusan parti dan perlu akur kepadanya.

Sekiranya kami tidak lakukan demikian, akar umbi tetap akan akur. Banyak yang sudah berlaku dalam lapan bulan yang lepas dalam parti, tetapi semuanya sedar solidariti amat penting, dan penting untuk mempersembahkan kesatuan dalam parti.

Oleh itu kami memutuskan untuk berkompromi dengan pencalonan Azmin supaya tidak melanjutkan masalah ini dan semua orang juga berhati-hati tentangnya.

TMI: Sultan Selangor dengan tegas mempersalahkan Pakatan Rakyat, terutamanya PKR dan DAP, kerana memulakan kebuntuan MB Selangor dengan Langkah Kajang. Apa komen anda?

J: Itu hak dan pendapat Tuanku, dan saya percaya semua orang juga ada pendapatnya sendiri. Tanggungjawab kami kepada orang awam untuk memastikan beberapa perkara – kami melantik berdasarkan premis yang kita telus kepada semua dan pentadbiran kita perlu bebas korupsi.

Kami menjanjikan orang awam akan berlaku adil dan melindungi hak semua, dan kami pandang serius perkara ini, jadi apa pun pendapat orang lain, kami masih memikul tanggungjawab kepada pengundi untuk memegang janji tersebut sedaya upaya.

Jika kami fikirkan perlu perubahan dan ia lebih memanfaatkan rakyat dalam jangka masa lama, saya rasa itu tanggungjawab kita untuk laksanakannya, dan dalam azam itu kita perlulah bertahan dalam lapan bulan yang lepas.

Bagi kita, perkara paling penting adalah melindungi tanggungjawab kami kepada orang awam, oleh itu Langkah Kajang diperlukan kerana kita tahu kita tidak mendapat jawapan yang diinginkan dalam beberapa perjanjian, dan kami sedar arah tuju kerajaan negeri tidak seperti arah tuju Pakatan.

Secara dalaman, kami sudah pun bermasalah menjadikan MB bertanggungjawab atas parti dan walaupun ketika semua ini, tanggungjawab kami kepada rakyat dan pengundi lebih penting tidak kira apa pandangannya – walaupun Sultan atau orang awam – dan memang terdapat banyak pandangan negatif – saya rasa itu tanggungjawab yang perlu dipikul parti.

TMI: Beberapa peguam Perlembagaan dan pengkritik mengatakan pelantikan Azmin bermasalah dan tidak mengikut Perlembagaan negeri yang menyatakan seseorang yang mempunyai sokongan majoriti sahaja boleh dilantik. Adakah anda setuju?

J: Saya sangat setuju. Saya dilihat amat tegas dalam pandangan saya yang kita tidak sepatutnya akur dengan syarat pertukaran dua nama ini dan perkenan istana, rakyat perlu mengikut Perlembagaan kerana kita bertanggungjawab ke atasnya.

Dilema paling besar yang kita hadapi pada saat-saat akhir adalah bagaimana untuk maju ke hadapan dan tidak melanjutkan lagi isu ini, dan keperluan mematuhi Perlembagaan supaya mana-mana keputusan tidak akan memulakan telunjuk yang negatif.

Ini sebabnya kita perlu bersidang dengan biro politik dan bermesyuarat Jawatankuasa Pusat kerana tidak kira apa kebuntuannya, orang yang akan dilantik perlu disokong parti terlebih dahulu.

Apa yang penting pada masa depan, apabila orang lihat kembali, Azmin dilantik dan disokong majoriti sebelum mengangkat sumpah kerana jika tidak semuanya akan mendapat telunjuk yang negatif. Jadi saya anggap proses ke arah pelantikan dan angkat sumpah tentunya tidak berperlembagaan.

TMI: Anda masih rasa begitu sekarang?

J: Tiada apa yang berubah... berdasarkan pemahaman saya yang terhad tentang perlembagaan dan perbincangan yang kami adakan dengan pakar Perlembagaan, sebaik sahaja Dr Wan Azizah mendapat sokongan majoriti 29 Adun dengan akuan bersumpah, ia sudah jelas.

Saya dimaklumkan dan dinasihati peguam dan pakar Perlembagaan yang sepatutnya beliau sudah dilantik kerana memiliki sokongan majoriti yang jelas.

TMI: Adakah anda menerima Azmin sebagai MB?

J: Tidak dinafikan beliau sudah dilantik dan sama ada beliau diterima sebagai MB bukan isunya. Isunya dengan proses yang mengendahkan majoriti jelas yang diberikan kepada calon yang memaksa parti untuk bertindak mengimbangkan keadaan dan untuk rakyat, memutuskan untuk mengalihkan sokongan kepada Dr Wan Azizah kepada Azmin, dan dengan melakukan itu, kesahihannya sebagai MB tidak boleh dipertikaikan.

Namun proses tersebut, di mana majoriti jelas diendahkan selama sebulan, bahagian itu yang tidak berperlembagaan.

TMI: Adakah anda gembira dengan bagaimana semua ini berakhir?

J: Saya gembira dan puas hati. Saya mahu maju ke hadapan dan menentang BN. Kami sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang buruk tidak lama lagi.

Terdapat dua perkara yang saya suka tentang kerjaya saya sebagai ahli politik, untuk berkhidmat kepada kawasan saya, bercakap dengan mereka dan cuba membawa perubahan dalam hidup mereka, serta menentang BN.

Saya teruja lakukan semua itu dan kini saya boleh kembali melakukannya dengan nafas lega.

TMI: Apakah harapan anda kini? Adakah anda rasa Azmin akan menjadi MB yang lebih baik daripada Khalid?

J: Beliau punyai kapasiti, tenaga dan ciri-ciri untuk menjadi MB yang lebih baik daripada Khalid, cuma perlu mengelak perangkap sama yang membawa Khalid di mana dia berada sekarang.

Beliau perlu inklusif, melibatkan semua orang dan memegang janji yang dibuat, dan ingat mengapa kita berada di sini.

Beliau perlu lindungi semua perkara yang membezakan kita – integriti, ketelusan, keterbukaan kita serta cara kita sayang dan lindungi mereka yang lemah dalam masyarakat.

Jika beliau berpegang kepada semua itu, tidak susah sebenarnya untuk menjadi MB yang baik bagi Selangor.

Selangor bertenaga dan kita tidak perlu menjadi Peter The Great untuk memenangi kembali negeri. Kita hanya perlu telus, mempercayai satu sama lain, bekerja sebagai pasukan dan mengotakan janji kepada rakyat. Saya amat yakin beliau akan melaksanakan apa yang kami ingin lakukan.

TMI: Terdapat khabar angin anda tidak sebulu dengan Azmin. Bolehkah anda bekerja dengannya?

J: Kami ada perbezaan kami, tentulah, tetapi orang ramai lupa yang kami bekerja dengan rapat.

Saya mungkin orang yang paling rapat dengannya apabila bekerja sebelum pilihan raya umum lepas, kerana jawatan kami.

Beliau pengarah pilihan raya manakala saya pengarah strategi. Tentulah beliau mempunyai pandangan berlainan tentang Langkah Kajang dan kami dalam pasukan berlainan semasa pengundian parti yang lepas, jadi tampak seperti kita tidak sebulu dalam beberapa bulan yang lepas.

Namun kami profesional dan ahli parti, dan kami mendedikasikan kehidupan kami untuk lakukan perkara yang betul untuk parti dan matlamatnya. Malah kami bekerja dengan rapat dalam 12 jam sebelum beliau dilantik sebagai MB. – 5 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/2-dari-3-objektif-langkah-kajang-selesai-kata-rafizi#sthash.72w2jDwj.dpuf
0 Komentar untuk "2 dari 3 objektif Langkah Kajang selesai, kata Rafizi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI