KUALA LUMPUR - Walaupun kerajaan sudah berusaha memberi alasan kenapa kadar tarif elektrik perlu dinaikkan awal bulan depan, banyak pihak masih tidak puas hati dengan tindakan itu.

Apakah perasaan pihak-pihak yang membantah itu, yang meliputi NGO dan pemerhati, boleh dipandang remeh atau diperlekehkan?

Daripada pengalaman lalu, apa yang mereka luahkan ada logiknya dan adalah sesuatu yang wajar sekiranya cadangan mereka diberi perhatian.

Perlu diingat, selepas PRU13 pada 5 Mei lalu, beberapa perubahan telah berlaku.

Yang paling awal dan tentunya yang paling menimbulkan keresahan banyak pihak adalah pemotongan subsidi yang menyebabkan RON95 naik 20 sen seliter.

Kenaikan harga petrol itu mempengaruhi peniaga dan pengusaha kenderaan dan lain-lain perkhidmatan segera menaikkan harga barang dan tambang atau meminta kenaikan setengah harga barang dan tambang dipertimbangkan.

Kenaikan harga gula tidak lama lepas itu memaksa banyak lagi peniaga dan pengusaha menaikkan harga barang dan caj perkhidmatan.

Ia tidak berhenti di situ sahaja. Keazaman kerajaan untuk menyuburkan ekonomi melihat penglibatannya dengan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan 11 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan penguatkuasa sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

TPP akan dibincangkan di taraf muktamat di Singapura pada 7 Disember ini, sementara GST sudah diumumkan perdana menteri akan dilaksanakan mulai April 2015.

Dengan rancangan itu yang dikhuatiri menambah beban rakyat, apakah mereka boleh dipersoalkan apabila bertanya kenapa harga barang dan caj perkhidmatan perlu dinaikkan?

Maka dengan apa yang berlaku, mereka boleh dimaafkan apabila menjadi bimbang dan meminta kerajaan kaji semua segala yang disusun ini.

Dalam kenaikan kadar tarif elektrik, banyak pihak meminta kerajaan mengkaji semula perjanjian dengan pengeluar tenaga persendirian (IPP) untuk pastikan tindakan yang diambil syarikat-syarikat gergasi yang tidak berpihak kepada pengguna digubal semula.

Apakah setengah NGO yang mewakili pengguna tidak wajar mempersoalkan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ atau menyifatkan tindakan menaikkan kadar tarif yang akan membebankan ramai pengguna sebagai tamparan hebat kepada rakyat selepas PRU13?.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) bantah kenaikan kadar tarif elektrik yang diumumkan kerajaan, dengan mendakwa ia akan terus menekan rakyat golongan bawahan yang sudah pun terpaksa berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pelaksanaan tarif baharu mulai 1 Januari 2014 itu tidak selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang sering dibawa oleh kerajaan BN.

Mereka memandang serius perlaksanaan kadar tarif elektrik baharu 15 peratus atau 4.99 sen per kilowatt jam seperti diumumkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kelmarin.

“Kami pandang serius kenaikan 14.9 peratus tarif elektrik. Ini satu tamparan besar kepada rakyat selepas PRU13.

“Ternyata slogan ‘Rakyat Didahulukan’ gah dicanangkan BN adalah pisau bermata dua,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Katanya, mereka mempersoalkan dengan pengurangan subsidi dalam banyak sektor masih tidak cukup untuk menampung sikap belanja tidak berhemah oleh kerajaan.

“Jika jawapannya ya, maka pihak kerajaan perlu bertanggungjawab. Jangan salahkan rakyat jika mereka mengelak cukai walhal pengkhianat sebenar boros berbelanja.

“AMK maklum kerajaan pernah uar-uarkan kajian terperinci akan dibuat berkaitan tarif elektrik ini. Maka dengan pengumuman kenaikan itu,  kami menggesa kerajaan dedahkan dapatan kajian itu kepada umum,” katanya.

Katanya, seorang timbalan menteri kewangan memberitahu Parlimen baru-baru ini, kadar tarif elektrik kekal berikutan kestabilan harga minyak dunia.

“Ia jelas bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili kadarnya dinaikkan sebagai rasionalisasi subsidi untuk kukuhkan kedudukan kewangan negara, selain kesan penyelarasan harga gas domestik, gas asli cecair, arang batu dan semakan tarif asas TNB,"katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/harga-naik-ramai-tak-puas-hati-1.227066