MUKTAMAR Pas ke-59 bakal menjengah dalam tempoh tidak kurang 24 jam lagi. Sesungguhnya pelbagai persediaan dilakukan oleh calon yang terpilih sama ada secara langsung atau pun tidak langsung. Antara calon yang menjadi perhatian pada muktamar kali ini adalah penyandang Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub. Wartawan Sinar Harian Online, Jamilah Hamzah bersama juruvideo, Md Khairinnidzam Osman sempat menemubual beliau. Temubual kali ini berfokuskan muktamar, isu berbangkit seperti hudud, gesaan pembatalan pendaftaran Pas dan sebagainya. Ikuti temubual yang telah Sinar Harian Online sediakan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana YB melihat proses menuju Muktamar Pas ke-59, kali ini?

SALAHUDDIN: Saya melihat daripasda sudut yang positif walaupun ada pihak-pihak yang berpandangan mukatamar kali ini agak  panas dan cara berkempen jadi makin meriah apatah lagi dalam era media baru serta kehebatan calon-calon yang tawarkan diri pada muktmar kali ini.

Saya selalu mengajak ahli Pas supaya berfikiran positif, melihat perkara sebagai satu cabaran yang mesti dihadapi dengan bijaksana.

Maklumlah Pas telah berusia lebih daripada 60 tahun parti ini menjadi begitu besar, jika diibarat keluarga, anak-anak telah membesar dengan baik dan diberikan pelajaran. Demikian juga dengan Pas hari ini menjadi begitu penting memposisikan geraknnya di pesada tanah air, ini semua bagi saya merancakkan lagi dan mewarnai wajah Pas yang semakin ceria.

Apapun yang berlaku bagi saya ia masih tetap dalam kawalan dan disiplin yang tarbiyahkan digarispandukan oleh perlembagaan parti.

SINAR HARIAN ONLINE: Sempena Muktamar kali ini, mungkin ada perkara atau usul daripada YB untuk diketengahkan dalam muktamar kali ini?

SALAHUDDIN: Saya akan cuba untuk membawa pandangan untuk mesyuarat akhir Pas pada 23 November iaitu isu untuk memperkukuhkan lagi isu perlembagaan dan ruang untuk ahli parti.

Ini kerana kita telah terima isyarat khas daripada kawasan-kawasan dan cawangan seolah-olah meminta mereka juga diberi peluang untuk mereka boleh membuat keputusan di peringkat Pusat. Ini adalah suatu perkembangan yang positif yang bagi saya Pas harus melihat dan memberikan ruang itu kepada setiap anggota parti supaya cara mereka menyuarakan pandangan terhadap segala kritikan yang diberikan di peringkat akar umbi.

Pemimpin Pas perlu mengambil kira setiap pandangan yang diberikan oleh akar umbi. Ini pasti memerlukan usul, jadi saya mengambil keputusan untuk membawa usul di persidangan muktamar kali ini untuk memastikan Pas terus relevan.

Kita memang parti yang cukup terbuka dan demokratik iaitu dengan memastikan ahli peringkat bawahan turut diberi peluang.

SINAR HARIAN ONLINE:  YB juga akan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada muktamar kali ini, jadi apakah persediaan YB kali ini?

SALAHUDDIN: Banyak soalan itu yang ditanya kepada saya, sama ada media tempatan atau antarabangsa bagaimana saya berkempen dan strategi yang akan digunakan.

Bagaimanapun saya menjawab, saya menggunakan pengalaman yang saya ada bersama Pas selama 30 tahun. Saya mengambil keputusan untuk mempertahan jawatan tersebut saya rasa empat tahun atau dua penggal saya telah memegang jawatan itu. Bagi saya apa yang saya telah buat, saya buat dengan terbaik selama empat tahun dengan menunaikan tanggungjawab, mengisi peranan itu dengan membantu presiden dan timbalan. Saya rasa biarlah “track record” itu dinilai oleh perwakilan pada kali ini.

Saya rasa saya tak ada pengurus kempen, kumpulan kempen atau pelan untuk berkempen. Saya ambil pendekatan biarlah perkhidmatan yang saya lakukan semenjak menjadi naib presiden menjadi ukuran dalam pemilihan kali ini. Saya serahkan sepenuhnya diri saya kepada pewakilan untuk menentukan nasib saya kali ini.

SINAR HARIAN ONLINE: YB juga telah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden pada kali ini, namun YB telah menolaknya. Mungkin YB mempunyai perancangan atau tunggu masa yang sesuai untuk bertanding dalam jawatan tersebut?

SALAHUDDIN:  Orang kata kita nak lakukan keputusan itu, selalu saya dinasihatkan ukur baju di badan sendiri. Jadi saya telah menyatakan keputusan sebelum ini saya tidak ada keperluan untuk bertanding jawatan itu kerana saya melihat tokoh yang bertanding jawatan itu mampu untuk menggalas tugas dan tanggungjawab timbalan presiden.

Jadi buat masa ini tidak perlu saya ke jawatan itu lalu saya mengambil keputusan untuk mengekalkan jawatan naib presiden.

Isu hudud

SINAR HARIAN ONLINE: Sekali lagi politik tanah air dihangatkan dengan isu hudud, jadi apa pendirian YB dan peringkat Pas Pusat dalam perkara ini?

SALAHUDDIN:  Isu ini adalah merupakan isu yang begitu panjang, dan tidak ada peliknya bagi Pas kalau kita mahu bercakap tentang pelaksanaan Islam kerana itu adalah roh dalam perjuangan Pas. Setiap apa yang ada dalam hati pemimpin dan ahli Pas adalah untuk melaksanakan hukum Islam.

Oleh itu, kita setuju untuk menggunakan Perlembagaan Negara untuk berusaha ke arah itu. Kelantan satu negeri yang berjaya kita perintah dan masyarakatnya juga hampir 99 peratus beragama Islam jadi saya rasa isu itu harus diangkat bagaimana kita dapat menyediakan satu ruang dan kita harap pihak berwajib seperti badan penguatkuasaan juga memberi kerjasama. Ini adalah isu yang Pas akan tetap akan laksanakan dalam apa keadaan sekalipun sekalipun menerima tekanan daripada pihak tertentu.

SINAR HARIAN ONLINE:  Adakah Pas bersedia menerima kencaman untuk melaksanakan hudu di negeri bawah PR jika berjaya di Kelantan terutamanya di Pulau Pinang?

SALAHUDDIN:  Kita tak rasa takut dengan perkara ini, ini kerana kita konsisten. Semua itu difahami oleh DAP dan PKR dalam PR. Cuma Pas sentiasa memikirkan kaedah terbaik dan pendekatan terbaik untuk menjayakan cita-cita kita. Namun bagi saya usaha ke arah itu perlu harus terus dijalankan supaya kita dapat menjawab persoalanan itu sebagai satu tanggungjawab di dunia dan di akhirat nanti. Isu pelaksanaan undang-undang itu akan terus kita perjuangkan.

Kecaman tidak menjadi isu, isunya adalah kita memberikan kefahaman. Hak untuk parti lain dalam PR untuk menyuarakan kebimbangan mereka itu hak mereka dan tugas Pas adalah kita memberikan mereka maklumat yang secukupnya tentang perkara Islam ini.

Ia bukan tugas mudah untuk memahamkan orang bukan Islam tentang hudud ini khususnya, tapi cuba lihat kita konsisten dan tidak berganjak seperti PRU lalu BN ada memainkan isu ini, tapi kita lihat bahawa isu kita pertahankan dan kita konsisten orang melihat, mereka menghormati kita sebab kita tak “flip-flop”.

Kita tak berundur kebelakang apabila ada orang kecam kita, kita konsisten dan akhirnya pada PRU13, kita lihat ada orang Cina kata “hudud pun hududlah, kita mahukan perubahan,”.

Saya cukup yakin dan percaya sekiranya Pas berjaya memberi kefahaman sebenarnya dan pihak kerajaan bagi ruang kita akan berjaya. Kita ingin menambah apabila orang bukan Islam yang melihat kadar jenayah yang menggerunkan serta menakutkan, telah ada suara diperingkat bawahan hatta ahli perniagaan daripada Cina sendiri yang menyatakan hukum hudud bagus. Perkara ini saya rasa sudah cukup untuk memberi gambaran kepada kita supaya jangan mudah putus asa dan meneruskan penerangan kepada mereka nanti sehingga akhirnya nanti mereka akan faham apa hudud sebenarnya.

SINAR HARIAN ONLINE: Ada sesetengah dakwaan menyatakan hudud ini hanya disensasikan oleh Pas sempena muktamar?

SALAHUDDIN:  Saya tak terima pandangan menyatakan kita menggunakan isu ini untuk politik dan muktamar sahaja.

Isu Karpal gesa pendaftaran Pas dibatalkan

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana hubungan Pas setelah perkara yang dikaitkan dengan pendaftaran parti Pas yang berlandaskan Islam perlu ditarik balik pendaftrannya, yang telah dikeluarkan sendiri oleh pemimpin PR iaitu Pengerusi DAP, Karpal Singh?

SALAHUDDIN: Saya meneliti perkara ini, saya lihat ia telah selesai untuk kita meletakkan nokhtah kepada isu ini. Namun begitu tadi saya juga telah menjawab dengan panjang dalam soal ini, untuk saya sendiri sebagai kapasiti peribadi, dan juga Pas dan peranan kita dalam PR, saya rasa saya mahu dengar sendiri.

Kita nak dengar sendiri daripada mulut Karpal yang meminta Pas untuk mengharamkan pendaftarannya. Jadi saya premis yang paling baik sekali, atas nama PR untuk menyelesaikan isu ini ialah dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PR akan datang.

Saya rasa biarlah nanti kita tunggu mesyuarat itu, Karpal akan datang dan kita akan soal beliau apa sebenarnya maksud yang tersirat dan tersurat yang dikatakan beliau mana-mana badan atau parti tidak boleh berlandaskan agama dan kaum.

Jadi saya rasa untuk menyelesaikan isu itu, kita tunggulah mesyuarat PR pada mungkin dalam beberapa minggu akan datang selepas muktamar.

SINAR HARIAN ONLINE:  Pada pandangan YB adakah kenyataan Karpal ini terlalu terbuka bagi Pas berhubung isu tersebut?

SALAHUDDIN:   Dalam politik ini saya telah begitu terbiasa dengan Karpal dengan mengeluarkan kenyataan yang begitu kontroversi. Jadi saya rasa, saya sendiri tidak ada mungkin begitu masalah dengan kenyataan beliau walaupun  kontroversi dan panas, tetapi atas nama PR apa pun isu begitu besar kita tetap akan duduk semeja untuk membincangkannya.

Saya rasa hubungan kita dalam PR tidak akan terjejas.

SINAR HARIAN ONLINE:  Ada juga dakwaan yang menyatakan Karpal membangkitkan isu tersebut sengaja untuk memberi kelebihan kepada individu atau calon tertentu sempena pemilihan Pas. Jadi apa pandangan YB?

SALAHUDDIN:  Saya rasa itu satu penyataan yang “simplitic”.  Tidak semudah itu sebenarnya calon-calon  yang bertanding dalam muktamar kali ini begitu terdesak untuk menggunakan apa juga kesempatan. Ini kerana saya perhatikan calon-calon yang bertanding dalam parti ini khususnya di peringkat tertinggi mereka cukup matang, dalam usia mereka dan pengalaman politik mereka di dalam Pas. Jadi saya rasa apa pun isu tidak akan mengheret Pas untuk kita membuat satu keputusan tidak pada acuan daripada pandangan kita sendiri.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimanapula YB melihat gesaan saya Pemuda Pas yang meminta Karpal memohon maaf dan memberikan tempoh selama lima hari untuk berbuat demikian?

SALAHUDDIN: Itu saya melihat itu pandangan Pemuda. Kalau pemimpin Pemuda ini nak marah-marah sikit, mahu jadi “the angry young man”, mereka nak vokal sedikit itu saya rasa itu sifat Pemuda.

Jadi pada akhirnya esok Pas Pusat akan lihat sendiri semua aspek yang kita mampu untuk selesaikan apa isu yang dibangkitkan berdasarkan pengalaman yang ada sebelum ini.

Ya, kita tidak boleh nafikan sahaja, kalau ada ahli Pas di peringkat bawah dan dewan-dewan yang tersinggung atau rasa perlu diperbetulkan, Pas mendengar dan meneliti rungutan daripada semua peringkat.

Hala tuju dan penambahbaikan parti

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah halatuju atau pembaharuan yang YB akan fikirkan perlu bagi Pas untuk menongkah arus politik yang semakin mencabar?

SALAHUDDIN: Hasrat dan cita-cita saya adalah untuk melihat Pas memperkukuhkan kedudukannya dalam persada politik negara. Pas perlu mampu bersaing secar sihat sama ada dengan kawan-kawan kita dalam PR dan mendepani Umno-BN. Mungkin saya rasa, dengan penampilan dan watak ALLAH SWT bagi kepada saya, saya akan terus memastikan Pas akan terus dan mampu membina jambatan jambatan baru dengan dunia luar.

Maksudnya Pas tak boleh diyakini dan dilihat hanya mampu pemimpinnya hanya memimpin orang Pas sahaja, tetapi dalam era ini saya ingin membantu Pas dengan bersungguh-sungguh melahirkan pemimpin-pemimpin bukan sekadar orang Pas yakin. Namun pemimpin Pas mampu dilihat memimpin keseluruhan rakyat Malaysia dengan maksud “at anytime we can replace Umno-BN”. Itu hasrat dan cita-cita saya.

Pas yang berlandaskan Islam ini bagi saya mesti terus bersikap progresif, inovatif dan dinamik. Kita kena lebih pantas dan cepat untuk bergerak ke hadapan supaya rakyat dapat melihat tentang peranan kita. Insya-ALLAH akan saya bantu di mana jambatan yang ada, dunia luar diperkukuhkan, jambatan-jambatan baru dibina supaya Pas dengan rakyat bukan Islam, masyarakat sivil, kumpulan NGO, institusi penting dalam masyarkat dan jabatan kerajaan, Pas boleh berinteraksi dan boleh untuk berkongsi pandangan dan mampu mengeluarkan gagasan pemikiran dan cadangan yang saya rasa penting untuk kita kongsikan demi kebaikan negara dan rakyat.

Pas harus keluar lebih jauh bukan hanya duduk dalam spektrum politik kepartian sahaja tapi ia mesti lebih dilihat mampu berada di persada poltik negara dan antarabangsa.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagi merealisasikan cita-cita dan harapan YB untuk melihat Pas setanding parti lain di dalam arena politik, mungkin YB boleh kongsikan perancangan yang telah dirangka oleh YB?

SALAHUDDIN:  Terutama sekali saya rasa kita harus merencanakan satu “road map” yang jelas tentang kepimpinan. Bagi saya kepimpinan ini bukan sahaja terus lahir dia akan jadi pemimpin, memamng ada setengah orang itu dia “born to be a leader”, tapi ada orang yang akan jadi pemimpin setelah kita gilap dan bagi dia peluang.

Saya juga rasa penambahbaikan dan nilai tambah tentang apa yang kita ada pada hari ini.

Yang kedua Pas mesti ada satu perancangan untuk dirinya itu sebagai “natural” sebagai payung kepada masyarakat sivil. Barulah nanti Pas dilihat dan diyakini kita boleh sebenarnya untuk memimpin mereka. Dalam kajian saya contohnya, kedudukan mana-mana politik terus relevan dalam maju seperti Barat, mereka sebenarnya berjaya untuk memimpin dilihat begitu bersungguh dan diiktiraf oleh masyarakat sivil. Jadi Pas perlu mencuba bersungguh-sungguh untuk diyakini masyarakat sivil.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada pandangan YB apakah yang perlu dalam setiap pemimpin Pas terutama pemimpin tertinggi untuk terus meletakkan Pas sebuah parti yang relevan untuk disokong?

SALAHUDDIN:  Dalam konteks Pas sendiri pemimpin lahir daripada sistem tarbiyah dan pendidikan Pas sendiri iaitu yang begitu konkrit peranannya. Oleh itu saya melihat mana-mana pemimpin mellaui proses itu sebahagian besar ia berjaya. Ia akan melalu proses di mana kita melihat elemen-elemen bersifat “fundamental”, prinsip-prinsip yang harus dilalui terutamanya kejujuran, keikhlasan, jihad, pengorbanan dan yang paling penting sekali adalah istiqamah tentang mereka harus konsisten dengan perjuangan ini.

Bagi saya yang mana pemimpin yang lahir melalui proses ini dalam keadaan senang dan susah mereka akan berjaya. Itu asas yang kita tak boleh nafikan sama sekali. Selain itu, setelah kita membina landasan yang kukuh ini pemimpin Pas itu mesti diberi nilai tambah, supaya ia relevan. Kalau diibarat senjata itu, ia perlu digilap, kecanggihannya mesti diuji, setelah diuji ia perlu digunakan. Jadi bagi say nilai tambah itu penting, maka di sanalah akan lahir elemen tambahan seperti pengetahuan, pendakian ilmu dan juga perkara yang mencetuskan idea baru. Maksud saya pemimpin itu perlu inovatif untuk melahirkan idea baru kerana kesegaran dalam dunia politik sanagat perlu. Takut nanti orang tak beli produk kita, kerana produk kita ketinggalan.

Akhir sekali paling penting, adalah apabila Pas melalui kepentingannya maka seperti mempunyai sifat seorang negarawan. Kalau kita tak ada sifat ini, maka kita memang sukar untuk bersaing.

Kita perlu akui contoh-contoh parti lain memang cukup hebat tapi Pas juga tak kurang hebatnya, dengan asas tarbiyah yang kukuh di atasnya itu diberi nilai tambah, saya cukup yakin Pas mampu bersaing dan memperkukuhkan kedudukannnya pada hari ini dan juga pada masa akan datang.

SINAR HARIAN ONLINE: YB seringkali dilihat lebih mengambil pendekatan “play safe” dalam menjawab sesuatu isu yang dibangkitkan. Jadi adakah YB merasakan perkara itu akan menjejaskan kedudukan YB?

SALAHUDDIN: ”Play safe” ini adalah kita nak selamat dalam semua keadaan. Jadi ini analisis yang kritikal terhadap diri saya. Namun apa yang saya nak terangkan adalah tentang watak saya dengan Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu seumpanya, perbezaan saya dari segi watak sahaja. Kalau dulu saya sering bergurau, kalau nak bandingkan saya, saya hero filem Hong Kong, yang lain itu hero Tamil atau Hindustan, jadi punya riuh dan silatnya pun berbeza. Itu mungkin watak-watak sahaja untuk membezakan.

Saya mengambil sikap tidak berpihak yang penting bagi saya apabila kita duduk di suatu level yang tinggi ini, kadang-kadang akna berlaku isu yang kritikal dan konflik. Kalau saya dilihat berpihak atau saya dilihat punya kumpulan tersendiri, bagaimana jika berlaku suatu isu yang besar saya boleh jadi diplomat Pas. Bagaimana saya nak selesaikan maslah, bagaimana saya mampu pergi ke pihak-pihak yang berkonflik kalau saya bersikap yang dilihat saya memang sohihnya saya berpihak kepada kumpulan tersebut.

Jadi sikap ini yang saya cuba elakkan dalam permainan politik supaya denagn sikap saya itu saya boleh jadi perunding, pendamai dan sebaginya kerana itu penting bagi say untuk membantu presiden dan timbalan presiden untuk menyelesaikan isu dalaman yang kadang-kadang muncul dalam parti yang memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan.

Saya rasa itu memberi kelebihan kepada saya, semasa zaman Pemuda pun saya tak pernah ada orang sebut “itu orang Salahuddin, itu orang kuat Salahuddin,” sampai sekarang saya bangga saya tidak begitu. Saya tidak membina puak dalam parti, apa yang penting bagi saya adalah menunaikan tanggungjawab yang diberikan kepada saya. Saya ingin melihat parti ini harmonai walau apa pun konflik dan pergeseran yang berlaku. Pada akhirnya kita boleh bersatu kembali.

http://www.sinarharian.com.my/wawancara/pemimpin-pas-perlu-ada-nilai-tambah-1.222497