SAYA percaya ramai tidak mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini yang kaitkan tindakan mereka yang elak bayar cukai dengan perbuatan khianat kepada negara.

Ramai juga tentu bersetuju apabila beliau berkata kewajiban membayar cukai boleh dianggap sebahagian daripada semangat patriotisme kepada negara.

Sebagai rakyat yang patuh kepada undang-undang dan yang cintakan tanah air, maka kita sedar membayar cukai adalah suatu kewajiban yang tidak boleh dipandang enteng dan disanggah sewenang-wenangnya.

Rakyat mahu lihat semua yang dikutip melalui apa sahaja bentuk cukai, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dikuatkuasakan mulai April 2015, dibelanjakan dengan cara sebaik mungkin, amanah dan berjimat untuk kepentingan rakyat.

Apa yang menjadi masalah dan persoalan ialah jika dan apabila cukai mereka bayar daripada hasil titik peluh disalah gunakan, diselewengkan, masuk kocek pihak yang tidak sepatutnya mengaut untung di atas kesengsaraan orang.

Rakyat tidak boleh menerima keadaan di mana ada pihak yang bersenang-lenang dan berseronok dengan hasil cukai rakyat, sementara sebahagian rakyat memerah keringat tetapi terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Saya percaya kerajaan di bawah perdana menteri sekarang memahami perkara seperti ini, tidak melulu membuat keputusan dalam perbelanjaan negara, tidak mengetepikan kepentingan rakyat, apa lagi mengaut duit rakyat untuk kepentingan segelintir pihak.

Ramai daripada rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, sudah pun merasai impak kos hidup yang meningkat akibat kenaikan harga barang, termasuk petrol dan gula.

Dengan kuat kuasanya GST dalam tempoh 15 bulan lagi, perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang akan dibincangkan lagi 7 Disember ini, kenaikan tarif elektrik pada 1 Januari depan, banyak pihak semakin bimbang memikirkan kesan yang bakal dihadapi.

Kita tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk mengetahui, di mana-mana pun, adalah menjadi tabiat, setiap kali ada kenaikan harga barang, harga makanan, perkhidmatan dan lain-lain akan turut naik dalam sekelip mata.

Kesan daripada kenaikan ini menyebabkan kos perbelanjaan rakyat, termasuk yang berpendapatan rendah dan sederhana, meningkat dan memaksa ramai daripada mereka hidup dikelilingi hutang.

Keadaan begini adalah satu permulaan kepada kehidupannya yang semakin terhimpit, yang melibatkan pelbagai masalah sampingan, termasuk persekolahan anak-anak.
Kadang-kadang kita rasa seperti tidak percaya negara kita perlu berhadapan dengan masalah kewangan dan ada rakyat masih mengalami kesempitan hidup.

Malaysia dikurniakan ALLAH dengan pelbagai sumber hasil dan kemewahan. Kita adalah pengeluar minyak yang utama. Kita juga pengeluar minyak sawit terulung di dunia.

Kenapa kita perlu hadapi masalah kewangan? Apakah kita boleh jatuh muflis jika tidak kuatkuasakan GST dan sertai perjanjian TPP dengan Amerika Syarikat dan 10 negara lain?

Sebagai negara yang sudah merdeka 56 tahun, dengan hasil minyak berbilion ringgit setiap tahun dan pendapatan tinggi yang berterusan daripada minyak sawit - tidak termasuk hasil didapati daripada cukai pendapatan, bayaran daripada denda dan perkhidmatan pelbagai jabatan dan agensi - kita patut jadi lebih kaya daripada banyak negara lain.

Wang kita dalam simpanan kita patut berlebihan untuk diagih-agihkan kepada rakyat dan negara menikmati limpahan dalam simpanan. Kita boleh jadi pemberi pinjam, bukan peminjam.

Syaratnya tentulah apabila wang yang didapati dibelanjakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara.

Malangnya, sementara ramai yang amanah dan bertanggungjawab dalam kalangan kita, ramai pula yang menyeleweng, menyalahgunakan wang yang diamanahkan dan tidak membelanjakan wang dengan bijak dan berjimat-cermat.

Sikap boros, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, dan suka menyeleweng jelas terbukti melalui Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Yang jelas, selagi kita tidak sama-sama memerangi segala ketirisan, rasuah, kerakusan, salah guna dan semua bentuk penyelewengan, kita tidak akan dapat membantu kerajaan membangunkan negara secara berkesan dan memperbaiki kehidupan rakyat marhaen.

Apabila hidup rakyat menjadi baik, segalanya akan selamat.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/apabila-cukai-disalahgunakan-1.227049