Surat Terbuka Untuk Ahli PAS Yang Mahu Berfikir - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Surat Terbuka Untuk Ahli PAS Yang Mahu Berfikir



Buat pertama kalinya saya menulis analisis mengenai PAS yg agak panjang. Risikonya sangat tinggi kerana pengalaman sebelum ini apabila saya mengkritik PAS, teruk saya dihentam. Amat berbeza dengan ahli-ahli UMNO walaupun terdapat seorang dua yang ekstrim tetapi ahli UMNO akan melawan hujah saya sedikit profesional.

Saya menulis mengenai parti ini ada bersebab. Kepada yang ingin membaca, jangan meletakkan diri anda dalam sebagai ahli parti...untuk mudah menerimanya. Jika tidak bersetuju anggaplah itu hak tuan-tuan dan puan-puan. Begitu juga penulisan ini hanyalah pandangan peribadi saya yang saya rasa berhak utk memberi pandangan.

PAS adalah harapan baharu orang Melayu kerana kerosakkan serius ditahap kritikal parti dominan orang Melayu iaitu UMNO. PAS adalah pilihan ramai org Melayu selepas UMNO dan parti ini bukan baharu dalam arena politik tanahair tapi PAS dilihat masih mentah dlm kancah arena politik.

Sebagai pemerhati atau pengundi atas pagar...kita terkeliru dengan PAS. PAS memilih perjuangan menerusi jalan politik iaitu ditentukan menerusi pilihanraya. Tapi sayangnya PAS sendiri tidak begitu faham jenis permainan 'politik' tersebut. Akhirnya PAS hilang fokus.

Berdasarkan usia, PAS dilihat cukup berpengalaman. Namun bukan bermakna pengalaman atau lamanya parti itu bermakna parti itu bagus, kuat dan berjaya. England mempunyai peradaban atau tamadun beratus tahun lebih lama dari Australia...tapi Australia yg dibina 1901 begitu pantas mengatasi England sendiri.
Contoh dalam berpolitik PAS dan DAP dianggap seteru UMNO sekian lama tetapi PAS dan DAP tak pernah menggugat parti UMNO atau BN...Kenapa? Kerana kurang bijak dua parti Melayu dan Cina ini berpolitik. Meletakkan pertandingan 3 atau 4 dan 5 penjuru membuat UMNO ketawa.

PKR masih muda tak sampai lagi usia 'sweet 17' tetapi dalam masa yang pantas mampu menjadi peneraju dengan jumlah kerusi Parlimen paling banyak. Dlm PKR banyak cerdik pandai 'genius'. Melayu 'genius', India 'genius' dan Cina 'genius'. PKR satu lambang parti berbilang bangsa yang pemimpinnya di kalangan mereka yg 'genius'.

Jika tidak kenapa PM melantik Ezam Mohd Nor, Nalakaruppan sebagai Senator, Zahrain Mohamed Duta. Manakala Lokman Noor Adam sekelip mata dilantik menjadi Exco Pemuda. Itu tanda mereka di dalam Keadilan dilihat ada 'value' walaupun sudah bergelar mantan.

Begitu juga pemimpin di kalangan kaum India dan Cina di dalam PKR, ramainya berpendidikan tinggi seperti Doktor, Peguam, Jurutera, Pensyarah, Arkitek, Guru, Pegawai Bank dan sebagainya. Boleh diandaikan di dalam PKR India dan Cina yg menyertainya 60% adalah India dan Cina bandar. Di mana mereka sendiri menolak fahaman perkauman yg menebal.

Cara mereka berfikir agak berlainan dengan Cina DAP atau India PPP. Mereka ada 'class' tersendiri. Mereka mahukan Malaysia yang 'bersih, aman dan bagus dari segi ekonomi'. Dalam PAS tiada cerdik pandai? Ada ramai!... tapi sayangnya mereka tidak diletakkan di tempat sepatutnya. Di dalam PAS nak cari cerdik pandai dalam agama mcm Seven Eleven (ramai) tapi nak cari cerdik pandai dlm berpolitik sangat sedikit...sebab 'kepandaian' mereka itu ditutup.

Dalam sejarah PAS sejak diwujudkan sehingga kini tiada siapa boleh menandingi 'genius' Allahyarham Datuk Fadhil Nor berpolitik. Bijak dlm ilmu agama dan bijak berpolitik 'pakej' yang ada pada arwah. Sebelum Tun Mahathir hadir menziarahi Allahyarham Tan Sri Azizan Razak (seteru politik), Fadhil Nor telah lama lakukan dgn menziarahi Anwar Ibrahim.

Masih ingat ahli-ahli PAS cukup tersinggung kerana kehadiran Fadhil Nor ke rumah Anwar. Ketika itu Mat Sabu masih seronok menghentam Anwar sehingga menggelarkan Anwar Aljuburi. Tapi tidak bagi Fadhil Nor, keihklasan arwah itu memberi impak yang baik dari segi moral agama dan politik utk PAS. Lihatlah semasa pilihanraya 1999, tiba-tiba PAS mendapat lebih 20 kerusi Parlimen.

Adakah kerana hebatnya PAS? Tidak !!! Ia berlaku kerana faktor isu semasa...atau bahasa keras sikit menangguk di air yg keruh. Org Melayu ketika itu undi PAS bukan kerana ingin PAS wujudkan sistem hudud tetapi kerana marahkan UMNO. Tapi PAS sejak 1999, mereka dah perasan orang Melayu sudah beralih kepada mereka dan kesannya pada 2004, PAS tewas teruk termasuk di Kelantan. Tapi masih tak sedar diri.

PAS ADA CIRI PERANGAI AL-ARQAM...

Apa persamaan mereka? Arqam idtak percaya kepada politik tetapi cara dakwah. PAS pula percaya Islam akan berjaya di daulah menerusi politik. Apa persamaan antara mereka? Persamaannya keduanya ada sikap eksklusif...'aku lah yg terbaik'. Al Arqam dulu menggalakkan ahli bersolat di Markas-markas Arqam. Dengan alasan jika bersolat di Masjid saf solat tidak rapat seperti dalam sunnah.

Dalam Arqam, guru-guru ilmu yang kita hendak pelajari hanya di kalangan Ustaz-ustaz Arqam sahaja di galakkan. Malah dalam jamaah ini ada perasaan iri hati pada PAS atau jamaah Tabligh. Begitu juga PAS...saya pernah menceritakan ketika saya menjadi penganjur kepada Konsert Khalifah Seni di Pulau Marina, Perak. Patutnya saya sebagai penganjur, Ustaz Azhar Idrus (UAI) akan mengikuti segala program yang diaturkan.

Sebagai penganjur tentulah saya akan mencari seberapa banyak penaja. Tapi bila mendengar antara program yang diatur seperti makan bersama UAI (jual table) dan bersolat Maghrib di Masjid Daerah, salah seorang ahli PAS yang membantu saya untuk konsert tersebut tiba-tiba macam naik angin mendengarnya. Lalu dia mengarahkan orang-orang besar PAS termasuk ahli Parlimen Lumut, YAB Lakasamana Imran sekarang ini untuk duduk semeja.

Pendek kata meja itu dikelilingi orang-orang PAS. Sedangkan Ustaz Azhar memaklumkan kepada rakan saya, Hafiz (rakan UAI breakfast di KT), jika benar ada org UMNO, biarlah di kiri org UMNO dan disebelah kanannya org PAS. Biar adil buat mereka tetapi sebaliknya berlaku. Lebih teruk program bersolat ke Masjid daerah Manjung dibatalkan.

Patutnya kita dalam menyebarkan fahaman politik atau dakwah, kita kena buka kepada mereka yang belum memahaminya. Itulah yg diamalkan oleh Tabligh, masuk bertemu masyarakat dan bukan mengasingkan kononnya kami jamaah syurga dan kamu (UMNO) jamaah neraka. Inilah politik jakun sesetengah ahli PAS.
Malah lebih teruk PAS menjadi jamaah-jamaah lain terutamanya Tabligh sebagai seterunya walaupun tak seteruk dengan UMNO. Saya dikhabarkan oleh 'karkon-karkon’, masalah berdakwah di Malaysia ini, surau-surau yang dimiliki oleh PAS sendiri tidak membenarkan mereka utk bermalam. PAS menjadi mereka eksklusif di mana surau-surau yg 'ditawan' sudah menjadi surau utk ahli-ahli PAS sahaja.

Namun apa yang saya kecewa, Presiden PAS sepatutnya mengeluarkan arahan rasmi agar ahli-ahli PAS berjamaah di masjid yang dikuasai UMNO dan mencampuri mereka dengan akhlak yg baik. Itu juga antara konsep dakwah terbaik utk membuat musuh mahu mengikuti kita seperti diajar Rasulullah.

KELUAR PAKATAN... PAS IBARAT 'BODOH SOMBONG'

Apabila ada cadangan daripada geng ulama utk memikirkan kembali kerjasama dengan Pakatan Rakyat...ia langkah ke belakang. Terus terang saya katakan PAS boleh diibaratkan 'bodoh sombong'. PAS merasakan mereka kini adalah juara parti utk 'org Melayu'. Sedangkan hasil gabungan dgn PKR sekalipun 60% org Melayu masih memilih UMNO. PAS hanya mampu menguasai Melayu Kelantan.

Ini totok pemikiran yang ada kebanyakan mereka yg berlatar belakang sekolah pondok di dalam PAS. Antara persoalannya yang saya ingin bertanya kepada pucuk pimpinan Ulama ini adakah munculnya PAS ini hanya utk memerintah Kelantan sahaja? Jika benar, jangan hipokrit utk melaksanakan hukum hudud.

Kedua adakah kemunculan PAS hanya utk menjadi check n balance sahaja untuk pemerintahan negara? Sebab tanpa gabungan bersama Pakatan Rakyat...adalah mustahil mengikut akal manusia PAS boleh memerintah negara. Kalau hendak mengugut biarlah sedar kekuatan diri di mana!

Contoh perangai tak sedar diri PAS, apabila ada ahlinya mencadangkan dalam Muktamar PAS, agar jawatan Perdana Menteri diberikan kpd Presiden mereka. Sedangkan persetujuan bersama sudah termeterai. Ia cadangan yg mengarut, lemah dan kurang bijak berpolitik dan tidak ada political mileage .

Sebab itu saya katakan PAS walaupun lama tapi ahli-ahli ramai yg lemah atau tidak mahir berpolitik...semberono sahaja. Saya cabar PAS, silakan keluar dari Pakatan Rakyat...kita lihat berapa kerusi yang PAS akan menang???

ORGANISASI PAS PERLU DIPERBETULKAN...(Peranan Ulama tak berkesan)

Bila cadangan 'geng' Ulamak supaya “jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami faqih tentang Islam dan realiti semasa, saya anggap satu pemikiran yg sungguh menyedihkan. Peranan ulama sangat penting tetapi tidak penting sebagai Presiden. Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Ghazali tidak memegang jawatan ketua negara dan sebagainya tetapi peranan mereka sangat penting untuk seluruh umat Islam di dunia.

Lihat di Turki bagaimana Perdana Menteri Erdogan, walaupun dia biasa-biasa sahaja tetapi di belakangnya ulama-ulama sebagai rujukan beliau. Apa salahnya jika DS Seri Nizar, Husam Musa, Dr Hatta Ramli, Mohammad Sabu, Datuk Dr. Mahfuz Mohamad, Dr. Rosli Yaakob dan lain-lain lagi diberi jawatan. Apakah hilang Islamnya bila mereka diberi jawatan.

Adakah Geng Ulama tak penting dlm organisasi PAS. Ia sangat penting cuma peranannya di tempat yg salah atau tidak menonjol. Bagi saya pendekatan Majlis Syura Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS patut tertumpu ke arah 'dakwah'. Mereka sepatutnya mencontohi jamaah Tabligh yg berjaya menghantar pendakwah (karkon) ke seluruh dunia.

PAS tidak perlu hingga ke peringkat global tetapi cukuplah merangkumi Malaysia. Bagi saya Geng Ulama sepatutnya memainkan peranan dengan Pemuda PAS utk menjalankan kempen dakwah. Bila diajukan, Ustaz-ustaz kami berdakwah di surau-surau. Dakwah sebegitu tidak berkesan kerana kamu tidak bertemu sendiri dengan masyarakat setempat. Yang kita mahu bawa orang yang tidak ke masjid pergi ke masjid.

PAS mesti menubuhkan 'geng dakwah' mereka yang akan menyelinap masuk ke kampung-kampung. Ini yang saya lihat ada kekosongan dalam PAS. Ia diakui oleh beberapa Ustaz PAS sendiri yg menganggap PAS hanya bergantung kepada individu-individu yang bergelar Ustaz utk berdakwah. Akhirnya ia tidak bersistem dan rakyat tidak nampak peranan PAS di situ dlm mengajak manusia kepada Islam yang sebenarnya. Yang rakyat tahu ceramah PAS adalah ceramah politik.

Mana tidak ahli-ahli PAS sendiri cuba kita lihat di masjid-masjid atau yg dikuasai PAS sendiri. Jika ada kuliah agama pada Isnin hingga Jumaat tak berapa ramai yg dtg...biasa yg mendengar pun ahli jamaah surau itu sendiri. Tapi cuba ceramah politik, Mat Sabu berucap...beribu-ribu ahli PAS dtg...tanya pada diri sendiri kenapa ia berlaku.

Adakah itu yang dibanggakan oleh golongan ulama apabila ceramah politik lebih digemari daripada ceramah agama. Sedangkan dalam jamaah Tabligh apabila apabila berlaku Ijtima, berjuta-juta manusia menghadirinya untuk mendengar ceramah (bayan) dari Maulana2 hebat di dalam jamaah tersebut.

Terkadang, rasa bangga kita memakan diri. Islam itu menyeluruh. Bukan di arena politik semata. Perlumbaan materialistik takkan pernah habis. Alangkah baik jika selepas ini diusulkan manifesto 'Memperkasa Institusi Masjid'. Ini orang ramai melihat, org PAS pun sama dgn UMNO, bila ada ceramah agama tak ramai org...so apa bezanya???

PAS DAN HUDUD

PAS dipuji-puji atau dibanggakan oleh ahlinya kerana akan membawa hukum hudud apabila memerintah Malaysia. Dalam politik tanahair, agenda tersebut merupakan bola tanggung kepada fahaman sekular kerana PAS mesti faham 50% pengundi di Malaysia bukan org Islam atau bukan org Melayu.

Rata-rata umat Islam di negara ini tidak menolak hukum hudud. Dan mereka menyokong walaupun bukan ahli kerana tidak mahu dipertanggungjawab di sana nanti. Cuma seperti kata Subky Latif, agenda itu tidak perlu di war-warkan lagi. Yang penting ialah utk membersihkan Malaysia dari gejala rasuah yg sangat-sangat membimbangkan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berkebajikan.

Lihatlah kejayaan Tukri yang pernah dipegang oleh manusia yang bumi pun tidak menerimanya, Kamal Artatuk. Bukan mudah apabila Kamal Artatuk menjadikan negaranya sekular yang berkiblatkan Eropah. Fahaman yang begitu lama berjaya dihayati oleh masyarakat Turki. Namun kini Perdana Menteri Turki dan Presiden mereka isteri mereka mampu memakai tudung...kenapa??

Hukum hudud bukan agenda atau termaktub di dalam manifesto Parti Adalet ve Kalkınma (AKP), dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki. Namun apabila menang kerajaan di bawah Parti AKP giat mempromosikan nilai Islam dan secara perlahan-lahan menghakis sekularisme di Turki.

Ia mengambil masa 8 tahun utk Erdagon memulangkan kembali hak org Islam. Mengapa mengambil masa yg terlalu lama...Erdogan belajar dari pengalaman. Tentera Turki mempunyai rekod mencampuri urusan kerajaan atas nama mempertahankan sekularisme di Turki.

Turki sebelumnya pernah mempunyai perdana menteri yang sama seperti Erdogan. Perdana Menteri Necmettin Erbakan adalah seorang aktivis Islam dan Perdana Menteri Turki. Tapi apabila dia dilihat begitu agresif cuba menghapuskan fahaman sekular di Turki, akhirnya Erbakan dijatuhkan oleh tentera tidak sampai setahun pemerintahannya.

Begitu juga di Malaysia, walaupun tentera tidak akan campurtangan hal ehwal politik tanahair tetapi PAS kena akur 70% pengundi di Malaysia masih berfahaman sekular. Malah dari 70% itu, 80%nya adalah dari bangsa Cina dan India. Kebimbangan mereka itu yg menidakkan utk PAS menjadi pilihan mereka.
Malah orang-orang Melayu (atas pagar) yg dianggarkan mempunyai 2 juta org memilih memangkah PAS bukan kerana inginkan negara yg mengamalkan hukum hudud tetapi mahukan Malaysia yg lebih bersih dari korupsi. Begitulah juga dgn kaum-kaum yang lain. PAS mesti sedar perkara ini.

Kita sepatutnya merujuk kepada dakwah atau kepimpinan yg ditunjukkan oleh Rasulullah. Baginda memperkenalkan agama Islam di kalangan penduduk Mekah dengan memperkenalkan dulu kebesaran Allah. Pelbagai wahyu Allah turunkan untuk baginda berdakwah. Bab hukum seperti wajib memakai tudung ini wujud semasa baginda berpindah ke kota Madinah.

Rasulullah sewaktu di awal Islam yg ingin disampaikan, baginda tidak menyuruh wanita memakai tudung dan sebagainya. Satu persatu larangan disampaikan Rasulullah kepada umatnya ketika itu. Para pendakwah perlu memahami bahawa org awam memiliki potensi yg besar untuk kemenangan dan kejayaan Islam.

Itulah pentingnya dakwah dalam Islam dan bukan hanya semata-mata politik. Manusia apabila memiliki kefahaman dan kesedaran Islam yang betul, akan mudah untuk kembali kepada Islam yang sebenarnya. Dakwah adalah menyeru dan mengajak umat manusia utk menjadi lebih baik. Bukan menakut-nakutkan mereka dengan berbagai ancaman seperti hukum hakam.

Lihat cara Nabi berdakwah berbanding dengan kita. Jika kita ditanya oleh seseorang niatnya utk berzina, mungkin kita jawab singkat “Tidak boleh, zina itu haram!” Ia sangat keras. Tapi kita lihat cara Rasulullah berdakwah apabila seorang pemuda pernah bertemu dan bertanya pada Rasulullah, ”Ya Rasulullah, izinkan saya berzina.” Rasul memandang pemuda tersebut dengan penuh kasih sayang dan bertanya, ”Sukakah kamu bila itu terjadi pada ibumu?” tanya Rasulullah. ”Tidak, demi Allah,” jawab anak muda itu.

”Sukakah kamu bila itu terjadi pada saudara perempuanmu?” tanya Rasulullah. ”Tidak, demi Allah.” ”Sukakah kamu bila itu terjadi pada anak perempuanmu?.” ”Tidak, demi Allah.” Sukakah kamu bila itu terjadi pada isterimu?” Anak muda itu menjawab, ”Tidak, Demi Allah.” Rasulullah lalu berkata, ”Demikianlah halnya dgn semua perempuan, mereka itu berkedudukan sebagai ibu, saudara perempuan, isteri, atau anak perempuan.”

Kemudian beliau meletakkan telapak tangannya di dada pemuda itu, lalu mendoakannya.
PAS patut lihat konsep jamaah Tabligh berdakwah. Mereka menembusi seluruh pelusuk dunia hingga berjaya memikat puluhan juta manusia utk berdawkah seperti mereka. Pendekatan mereka apabila menuju rumah ke rumah adalah mengajak manusia ke masjid. Di masjid mereka tak cerita bab hukum tetapi menceritakan kebesaran Allah.

Kata salah seorang guruku yg menyertai jamaah Tabligh, "Dalam jamaah, kami diajar seni berdakwah. Kami akan duduk di tengah masyarakat tak kira apa bangsa dan kerosakan mereka. Kita mengajak mereka mendengar kebesaran Allah. Bila mereka dapat merasai kebesaran Allah, lalu mereka akan takut melanggar perintah Allah dan mudahlah mereka menerima Islam. Seni dakwah bab hukum jangan disampaikan dahulu tetapi hal kebesaran Allah diutamakan.


 PILIH PEMIMPIN

Cadangan kumpulan Ulamak ini supaya “jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yg memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa” menampakkan pandangan yg sgt kebelakang. Apakah kumpulan ulamak ini ingat DS Nizar, Dr Hatta, Husam Musa dan lain-lain tidak memahami Islam?

Sepatutunya PAS mengambil peluang apabila puluhan ribu golongan profesional memasuki PAS utk ditonjolkan kepada masyarakat berbilang kaum bahawa PAS bukan parti pondok lagi tetapi parti yang ke arah Islam yg moden dan lebih berwibawa. Tetapi sesetengah golongan PAS tidak mahu membawa PAS maju dari segi berfikir...jika ada cadangan dari golongan profesional ditolak mentah-mentah seolah-olah golongan profesional ini akan menyesatkan PAS.

Dulu saya pernah menulis mengenai pemilihan calon untuk calon Pasir Panjang, Lumut. Saya mempersoalkan kenapa Roha, kerana dengan waktu yang begitu terhad bukan mudah untuk PAS mempromosikan siapa calon mereka. Apatah lagi PAS tiada akhbar harian. Bila dia dicalonkan ramai yang bertanya, siapa Roha???
Lebih sedih apabila bekas Ketua Wanita PAS memberitahu saya, Roha dipilih kerana permintaan dari Muslimat sendiri kerana belum ada wakil mereka yang bertanding sebelum ini...Terkejut sahaja letak calon, mcm letak calon JKKKK.

Saya kata jika pilih Roha, baik pilih Hamidun...80% pengundi DUN Pasir Panjang samada dari Umno atau PAS sudah mengenali beliau. Malah Hamidun telah lama buat kerja bagi pihak DS Nizar. Jika dia bertanding, tugas PAS lebih mudah cuma mempromosikan manifesto parti dan PR.

Lihat DAP di KK, khabarnya mereka sudah meletakkan calon utk PRU 14. Ini memudahkan untuk calon buat kerja dari sekarang. Sebab itu Rafizi dulu tetap berkeras akan bertanding di Pandan sebab dia sudah buat kerja di kawasan itu 3 tahun lamanya. Akhirnya Rafizi adalah antara mereka yg menang majoriti terbesar di PRU ke 13. Apa itu buat kerja? Calon bermula 2013, 2014, 2015, 2016, 2017 sudah mula menjalankan tugas tidak rasmi (bukan DUN) sebagai wakil rakyat dengan menghadiri majlis kenduri, kahwin, kematian, gotong royong, rumah terbuka hari raya. Sebab calon dari PR mesti ingat, mereka bukan seperti BN yg mempunyai banyak dana. Calon PR hanya bergantung kepada budi yang dikenang.

Jika saya tanya calon PAS Pasir Panjang utk PRU 14, siapa dia??? Nescaya tiada calon lagi yang ditetapkan. Patutnya mulai sekarang PAS sudah war-warkan calon mereka utk calon itu bekerja dari sekarang dan bukan hanya menjelang pilihanraya. Contoh tauladan terbaik cara seorang pemimpin bekerja, anda lihat Nurul Izzah. Saya sedang menulis mengenai kehebatan Nurul Izzah di mata pengundi Pantai Dalam. Sebaik menang Puteri Reformasi ini terus bekerja untuk penduduk kawasannya.

Tapi calon-calon PAS mcm bercuti rehat panjang. Apapun untuk memilih pemimpin masa depan sebaik-baiknya orang tempatan yg berjaya (agama/kerjaya). Golongan profesional lebih mudah diterima di kawasan bandar. Contoh DUN Pasir Panjang 50% pengundinya adalah 'bandar' Seri Manjung dan beberapa tempat lagi. Golongan ulama biarlah di kawasan-kawasan kampung yang mana penglibatan aktivitinya seperti mengajar, menjadi imam, menghadiri majlis-majlis kematian dan sebagainya.

Sekarang manusia sudah bijak. Bukan macam dulu UMNO letak beruk pun boleh menang. Sekarang zaman org berfikir. Antara faktor yg memenangkan calon ialah ialah faktor calon itu sendiri, kekuatan jentera parti, strategi kempen, manifesto, isu dan imej pemimpin.

PENUTUP

Akhir kata secara jujur banyak yang perlu PAS lakukan kerana PAS tidak strategis. Sebelum muncul manusia bernama Anwar, PAS langsung tidak terfikir, bagaimana utk PAS mengusai Malaysia. Lebih 50 tahun berjuang PAS masih tercari-cari formula utk menewaskan UMNO sedangkan UMNO menyimpan rahsia tersebut sehingga Anwar membocori rahsia kelemahan PAS.

PAS mesti tahu UMNO tidak hebat jika parti itu sendirian. UMNO bergabung dengan berbelas parti untuk membentuk kerajaan. Tapi PAS bersendirian. Pernah tak pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini memikirkan, mana mungkin PAS dapat mengusai Malaysia jika hanya Melayu Kelantan sahaja yg menyokong.

Anwar beri formula, pertama mesti bergabung untuk menggabungkan kekuatan. Kedua untuk berlawan, pembangkang tidak boleh hadir secara kumpulan masing-masing kerana ia memecahkan penyokong. Cara satu lawan satu. Formula ini hampir berjaya pada PRU 12 dan 13. Malah dlm PRU 13 peratusan pengundi Malaysia memilih Pakatan Rakyat.

Mana datangnya pengundi tersebut? Ia hadir daripada sokongan pengundi kepada parti-parti tadi. Oleh itu PAS mesti melatih orang-orangnya untuk menerima teguran dan bersifat terbuka dengan pelbagai pihak.
Contohnya PAS mesti menggalakkan ahli-ahlinya bersolat atau menghadiri ceramah agama/kenduri/ kematian ahli-ahli UMNO. PAS mesti bersikap mesra kepada jamaah-jamaah dakwah untuk menggunakan masjid atau surau yang dikuasai mereka untuk membantu mengembangkan agama Allah (agar PAS tidak dilihat parti atau jamaah politik).

Ketiga PAS mesti membuka seluas-luas pintu kepada golongan profesional di dalam parti sendiri untuk meneraju parti untuk dilihat PAS bukan parti pondok lagi. Keempat Ulama-Ulama PAS mestilah menyusun strategi bersama Pemuda utk memikirkan apakah langkah untuk mendekatkan aktiviti dengan remaja dan penyokong-penyokong atas pagar dengan memainkan peranan dakwah sebagai salurannya.

Kelima PAS mestilah melakukan banyak aktiviti utk golongan remaja seperti hari-hari sukan dan sebagainya. Ambil contoh Ustaz Azhar Idrus beliau sangat diminati kerana keterbukaannya kepada golongan remaja. Membenarkan golongan remaja menyanyi, bermotosikal dan sebagainya asalkan jangan melalaikan dan melanggar syariat.

Keenam, dlm kempen-kempen PAS selepas ini bab hukum jangan diketengahkan. Saya melihat penyokong ekstrims PAS hanya bergantung kepada satu pandangan sahaja, iaitu menyokong PAS semata-mata kerana Islam. PAS perlu menyusun semula strategi politiknya.

Salam....


Oleh Norman Liverpool



0 Komentar untuk "Surat Terbuka Untuk Ahli PAS Yang Mahu Berfikir"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI