ALOR SETAR - Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan secara lisan kepada pemaju berkenaan untuk menghentikan kerja-kerja perobohan kawasan bersejarah di Lembah Bujang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau amat kesal dengan insiden tersebut yang disifatkan berlaku di luar pengetahuannya.

“Sebentar tadi (semalam) saya sudah minta melalui Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain memohon kerjasama pihak pemaju berkenaan untuk menghentikan kerja-kerja tersebut.

“Arahan lisan yang dibuat mendapat kerjasama pihak berkenaan dan mereka telah bersetuju untuk menghentikan kerja-kerja itu buat seketika,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘new seasons ward’ di Kedah Medical Centre (KMC), di sini, semalam.

Mukhriz berkata, beliau akan mendapatkan laporan penuh mengenai perkara itu secepat mungkin sebelum diputuskan tindakan susulan yang bakal dibuat oleh kerajaan negeri.

“Saya akan adakan mesyuarat dan perbincangan mengenai apa yang sedang berlaku di kawasan itu. Nampaknya kita ada dua pandangan sedikit berbeza. Biarlah saya mendapat semua berita terkini dahulu,” katanya.

Sebelum ini, kebanyakan laman blog melaporkan kawasan bersejarah di Lembah Bujang sedang dimusnahkan oleh pihak tertentu secara rahsia.

Candi Lembah Bujang yang terletak di Sungai Batu itu dipercayai telah dimusnahkan oleh pemaju berkenaan untuk tujuan pembangunan sejak sebulan lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian ‘new seasons ward’ di tingkat tujuh KMC semalam, Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi KMC berkata, wad baru itu telah beroperasi sejak 1 November lalu.

Jelasnya, kelainan wad tersebut adalah berkonsepkan empat musim, iaitu musim bunga, musim luruh, musim sejuk dan panas.

“Dengan pembukaan new seasons ward ini telah menjadikan jumlah katil di KMC adalah sebanyak 137 buah katil.

“Khas untuk wad tingkat tujuh ini, ia beroperasi dengan 28 buah katil. Tujuh buah katil perseorangan termasuk VVIP, 20 buah katil berdua dan satu katil pengasingan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/henti-ceroboh-lembah-bujang-1.226705