KOTA BHARU - Dewan Muslimat Pas secara positif menerima keputusan daripada pimpinan Pas Pusat sama ada meletakkan calon lelaki atau wanita dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut akan datang.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, keputusan tersebut akan dibuat pimpinan Pas Pusat, bukan Dewan Muslimat Pas.

“Kami akan memutuskan nama calon bersama pimpinan Pas Pusat dalam mesyuarat yang akan diadakan bersama nanti.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR Pusat, Haniza Mohd Talha menyatakan PKR mahu meletakkan calonnya daripada sayap Wanita untuk bertanding dalam PRK Kuala Besut akan datang.

Haniza berkata demikian apabila beliau berpendapat Pakatan Rakyat ketandusan calon Wanita apabila Napisah Ismail adalah satu-satunya bekas calon Wanita Pakatan yang bertanding kerusi Dun Terengganu PRU13 lalu.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan, kerusi Dun Kuala Besut tersebut akan ditandingi Pas.

Bagi penamaan calon PRK Kuala Besut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN akan mengemukakan tiga nama calon untuk dipertimbangkan bertanding pada PRK Dun Kuala Besut.