KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menonjolkan konsep kempen 16-16 dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut nanti.

Konsep sedemikian seolah-olah cuba diketengahkan Pas bagi menarik minat orang ramai memandangkan pelbagai pihak termasuk pengundi sendiri tertanya-tanya mengenai kedudukan BN dan PR di negeri ini sekiranya berlaku kedudukan seri.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Terengganu akan mencatat sejarah pertama dalam negara sekiranya kedudukan seri 16-16 itu berlaku sambil memberitahu kemungkinan itu hanya akan terjadi sekiranya Pas menang dalam PRK ini.

“Kalau rakyat nak tengok sejarah dan apa yang berlaku selepas itu kenalah sokong Pas. Kalau sokong BN, tiada apalah yang berlaku. Mesti buat seri baru boleh tahu dan bagi Pas kita harap Kuala Besut dapat 16-16.

“Sekarang ini timbul pelbagai tafsiran termasuk berlaku kerajaan campuran dan kita sendiri belum tahu apa yang berlaku jika benar ia berlaku seri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau menjelaskan, jika rakyat benar-benar mahu melihat keadaan yang baru, mereka perlu mengambil kesempatan terhadap sistem demokrasi yang bakal berlangsung melalui PRK ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan untuk Pas menang dalam PRK kali ini memandangkan sudah empat kali parti itu bertapak di Dun tersebut.

“Pas menang pada pilihan raya 1959, 1969, 1974 ketika Pas bergabung dengan BN dan pada 1999. Jadi sudah empat kali Pas menang di situ, kekuatan Pas tidak boleh dinafikan di Kuala Besut,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai manifesto, beliau menjelaskan Pas akan tetap menggunakan manifesto PRU13 sekiranya berlaku pertukaran kerajaan yang mungkin berpihak kepada parti itu memandangkan Pas sebelum ini turut memfailkan dua petisyen di Dun Hulu Besut dan Kuala Berang.

Beliau turut mengharapkan pengundi muda membuat sebagai ejen perubahan membantu memberi kemenangan kepada Pas dalam menguatkan kedudukan PR di negara dan negeri ini.

“Tiada apa yang mustahil. Kalau dilihat pada PRU12 lalu, BN menang majoriti dua pertiga di negeri ini tetapi pembangkang menafikan kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU13 sehingga BN menang mudah dengan kelebihan dua undi sahaja,” katanya.