PRK Kuala Besut: Calon ramalan BN
KEKOSONGAN kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar memanaskan kembali iklim politik di Terengganu.

Isu siapa calon yang bakal menjadi taruhan parti antara topik hangat yang dibualkan di mana-mana sahaja.

Beberapa nama disebut-sebut mungkin dalam senarai calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, antaranya Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zulhaiza Ismail.

Beliau mungkin calon sesuai berdasarkan beberapa kriteria seperti latar belakang agama yang dimiliki dan merupakan anak tempatan.

Nik Zulhaiza ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sebagai kakitangan awam berkhidmat dengan kerajaan, beliau akur apa sahaja keputusan dibuat pucuk pimpinan.

"Jika saya diberi mandat untuk bertanding, saya akur dengan keputusan itu tetapi ia bukanlah matlamat asal saya.

"Apa yang penting, pengetahuan dan pengalaman yang ada pada saya dapat dicurahkan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi di tempat sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Setiu, Besut dan Kuala Terengganu.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Besut sebelum bertukar ke Dungun.

Nama beliau dikaitkan dengan kerusi panas itu berikutan 'ketandusan' tokoh agama berikutan beberapa Adun sebelum ini digugurkan, selain kalah PRU13, baru-baru ini.

Calon lain yang diramal jadi pilihan ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf dari Kampung Pangkalan Sentul, Mukim Bukit Puteri, Kuala Besut.

Beliau yang kini Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun dikatakan antara calon yang turut disebut-sebut pada PRU13 lalu.

Seorang lagi muka baru yang disebut-sebut ialah anak veteran Umno Kuala Besut iaitu bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, USM dikatakan antara nama  yang disenarai pendek dan dihantar untuk pemilihan pucuk pimpinan parti.

Tengku Zaihan adalah anak jati Kampung Seri Seratus, Mukim Kuala Besut sebelum ini dikatakan mesra Umno dan mempunyai ciri menjadi pemimpin.

Tidak terkecuali, pensyarah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Mohamad Mat Kadir dari Kampung Alor Peroi, Mukim Kuala Besut.

Walaupun beliau tidak mempunyai jawatan dalam parti tetapi golongan veteran menyukainya.