Polis Siasat WSJ - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Polis Siasat WSJ

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terhadap media antarabangsa, The Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan yang mendakwa penyaluran sejumlah besar dana ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya menerima banyak laporan dan maklumat berkaitan pembocoran maklumat perbankan seperti mana dakwaan melibatkan Perdana Menteri dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, PDRM bersama Pasukan Petugas Khas akan menyiasat mengenai isu pembocoran maklumat perbankan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang disifatkan sebagai tindakan "sabotaj ekonomi" kepada negara.

"Kita akan menyiasat tentang pembocoran maklumat perbankan dan menyebarkannya. Kita juga akan siasat Wall Street Journal dalam aspek ini.

"Kita akan siasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, Rabu.

Pada Jumaat lalu, WSJ menyiarkan artikel yang memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik 1MDB  disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Khalid adalah salah seorang anggota Pasukan Petugas Khas selain Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pasukan Petugas Khas itu ditubuhkan pada 4 Julai lalu bagi menyiasat dakwaan terhadap Najib membabitkan dana daripada 1MDB.

Khalid menegaskan bahawa tiada soal campur tangan dalam siasatan yang berhubung dakwaan mengaitkan Perdana Menteri.

"Tiada campur tangan dan tidak ada sebab untuk mengetepikan mana-mana pihak (dalam siasatan)," katanya.

Dalam pada itu, Khalid enggan mengulas mengenai pemilik enam akaun bank yang dibekukan, dipercayai terlibat dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun peribadi Perdana Menteri.

"Saya tidak mahu komen. Di bawah Akta SPRM, sesiapa cuba mendedahkan apa juga hasil siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas ini adalah satu kesalahan. Jadi, saya tidak mahu melakukan apa-apa kesalahan," jelasnya.

Sementara itu, mengenai Op Selamat 7/2015 yang dilancarkan pada Rabu, Khalid berkata, operasi yang bertemakan 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi itu dilaksanakan selama 15 hari dari 10 Julai sehingga 24 Julai dengan objektif operasi untuk mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

0 Komentar untuk "Polis Siasat WSJ"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI