Walaupun tidak wajib, Najib sepatutnya ambil cuti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Walaupun tidak wajib, Najib sepatutnya ambil cuti



Oleh Robin Stanley Augustin
Kita semua pernah mendengar kata-kata "Kuasa yang hebat hadir dengan tanggungjawab yang besar" oleh Uncle Ben, watak dalam siri komik Spiderman.

Bagaimana seseorang itu menafsirnya adalah hal yang berbeza.
Dalam konteks Malaysia, kata-kata itu barangkali paling relevan pada hari ini.

Ini berikutan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa RM2.6 bilion dana 1MDB telah dipindah ke dalam akaun peribadi perdana menteri Najib Razak.

Dakwaan itu telah menyebabkan beliau didesak agar mengambil cuti sementara task force khas yang dianggotai peguam negara Abdul Gani Patail, gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

Politikus pembangkang termasuk presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail dan tokoh DAP Lim Kit Siang, serta aktivis hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan telah menggesa Najib agar mengambil cuti untuk membenarkan siasatan yang tidak berat sebelah. Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menggesa timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin memberi tekanan kepada Najib agar berbuat demikian.

Namun menteri-menteri dan tokoh Umno, termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata, Najib tidak perlu berundur sementara kerana masih belum terbukti beliau bersalah, dan hanya perlu melakukannya jika didakwa di mahkamah.

Daripada perspektif perundangan, tiada keperluan undang-undang untuk memaksa Najib bercuti. Perkara ini disahkan oleh bekas peguam negara Abu Talib Othman dalam artikel di the Malaysian Insider.

"Tambahan pula, tidak terdapat bukti perdana menteri campur tangan dalam penyiasatan pasukan petugas khas."

"Tidak ada keperluan bagi Najib berundur atau bercuti hanya kerana beliau sedang disiasat," kata Talib dan menambah, prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah juga perlu digunapakai terhadap Najib.

Katanya, keadaan berbeza jika penyiasatan meunjukkan ada bukti yang lebih daripada cukup untuk mengaitkan Najib dengan kesalahan jenayah.

"Bagaimanapun, ia terpulang kepada peguam negara untuk membuat keputusan, sama ada untuk mendakwa (atau tidak)," katanya lagi.

Justeru patutkah Najib bercuti ketika beliau di bawah siasatan? Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira.

Dari satu sisi, Najib barangkali merasakan pada akhirnya, kebenaran akan menyangkal tuduhan terhadapnya. Justeru beliau tidak perlu berundur.

Beliau mungkin merasakan, oleh kerana belum didakwa dan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, beliau masih perlu menjalankan tugas sebagai perdana menteri.

Malah beliau mungkin merasakan, beliau akan kelihatan lemah di mata Umno jika tunduk kepada tekanan walaupun undang-undang tidak mewajibkan beliau bertindak demikian.

Dari sisi lain pula, dengan mengambil cuti, ia akan membantu menyelamatkan saki baki kredibilitinya. Ini kerana ia menunjukkan beliau tidak menyembunyikan apa-apa.

Memang Najib tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya, namun kedudukannya selaku individu paling berkuasa di negara ini menyebabkan persepsi bahawa task force tersebut tidak dapat menjalankan tugas mereka secara adil.

Ia juga akan menunjukkan komitmennya terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban moral. Dan daripada perspektif politik, Najib juga akan membantu Umno dan BN jika mengambil cuti.

Apatah lagi lebih daripada seorang tokoh Umno, dan malah MCA, pernah berundur selepas berhadapan dakwaan salah laku bagi menjaga maruah parti. Malah ada sesetengah yang berjaya kembali aktif dalam politik selepas itu.

Dakwaan WSJ bahawa wang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib untuk digunakan dalam PRU lalu memang memberi kerosakan teruk.

Beliau adalah presiden Umno dan juga pengerusi BN. Hakikat bahawa beliau kini menjadi subjek siasatan bukanlah sesuatu yang baik bagi kedua-dua Umno dan BN. Jika beliau tidak bercuti, ia pasti menjadi peluru pada PRU akan datang.

Walaupun Najib tidak perlu mengambil cuti ketika siasatan, ia adalah satu tindakan yang bertanggungjawab.

Tindakan pemimpin yang meletakkan jawatan ketika disiasat memang sentiasa berlaku.

Jika Najib yakin kebenaran akan membebaskannya dan memiliki sokongan ahli parti, beliau tidak perlu takut untuk berundur sementara.

Sumber Link

0 Komentar untuk "Walaupun tidak wajib, Najib sepatutnya ambil cuti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI