SEPANG - Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha hari ini menyerahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan agama johor (JAJ) dalam menyelesaikan kes surau yang menjadi tempat penyembahan penganut Buddha baru-baru ini.
 
“Jakim hanya membantu, sebab pihak Jakim percaya kepada kebijaksanaan serta peruntukan yang sedia ada di bawah undang-undang negeri Johor dalam menyelesaikan isu ini.
 
“Saya yakin MAINJ dapat melaksanakan tugas ini dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Ketua Setiausaha Negara bersama Masyarakat Asli di Sungai Melut, di sini, hari ini. 
 
Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut semalam menghargai permohonan maaf Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratana Nayake atas tindakan sekumpulan penganut agama itu dari Singapura yang mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Sabtu lepas.
 
"Saya ingin mengucapkan penghargaan dan rasa bangga saya terhadap tindakan beliau memohon maaf kepada umat Islam di negara ini semalam (kelmarin)," katanya. 
 
Berikutan kejadian itu, pemilik resort berusia berusia 45 tahun direman empat hari bermula kelmarin, bagi membantu siasatan.
 
Dia disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat ibadat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.