Hormati demokrasi, penyelesaian konflik di Mesir - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hormati demokrasi, penyelesaian konflik di Mesir

http://www.sinarharian.com.my/hormati-demokrasi-penyelesaian-konflik-di-mesir-1.192370

Bagi pihak Kerajaan Selangor, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan takziah kepada saudara kita di Mesir yang kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang dalam pertempuran antara tentera dan para penyokong Ikhwan Muslimin semalam.

Saya merasa amat sedih dan kesal dengan kejadian ini yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat yang tidak bersalah. Tragedi malang ini sememangnya boleh dielak sekiranya semua pihak menghormati semangat demokrasi.

Saya menyeru saudara seagama dan seluruh rakyat Mesir agar mengembalikan prinsip utama fungsi demokrasi yang sebenar. Kegagalan berbuat demikian telah menyebabkan orang awam yang tidak bersalah berterusan menanggung penderitaan dan kesengsaraan.

Perubahan yang dimahukan oleh sesetengah pihak di Mesir tidak boleh dijadikan alasan untuk segera memanggil pilihan raya baharu. Pihak yang menasihatkan rakyat Mesir supaya menentang proses demokrasi sebenarnya cuba membelakangkan kehendak rakyat.

Mana-mana kerajaan yang dipilih secara demokratik menerusi pilihan raya yang sah mesti diberi peluang untuk melaksanakan mandatnya. Perbuatan memburu dan membunuh penyokong Ikhwan Muslimin adalah dosa yang keji dan tidak akan menyelesaikan krisis politik.

Kita kesal ada pihak yang cuba mengenengahkan kuasa tentera sebagai penyelesaian. Mana mungkin rakyat Mesir meletakkan harapan kepada kuasa tentera yang ternyata telah gagal mentadbir negara tersebut selama tiga dekad?

Semua pihak perlu terima hakikat bahawa Ikhwan Muslimin, walaupun mempunyai kelemahan, telah memenangi pilihan raya di Mesir dan oleh itu perlu diberi peluang untuk mentadbir negara dengan adil dan betul. Jika mereka perlu diganti, ia mesti dilakukan melalui proses demokrasi bukan dengan kekerasan seperti yang berlaku sekarang ini.

Justeru, saya mendesak semua negara-negara Islam supaya bersatu untuk menyelesaikan konflik ini menerusi satu pilihan raya yang adil, bebas dan sah di sisi undang-undang. Kita perlu bangun dan berani kehadapan untuk melakukan perkara yang betul demi rakyat Mesir dan umat Islam.

Kita berdoa supaya konflik ini akan berakhir dengan satu penyelesaian yang adil dan aman.


YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
0 Komentar untuk "Hormati demokrasi, penyelesaian konflik di Mesir"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI